ISLAMABAD: Timbalan Setiausaha Negara Amerika, John Negroponte memberi nasihat berbaur amaran kepada Presiden Pakistan Pakistan Pervez Musharraf bahawa undang-undang darurat mesti ditarik balik, manakala anggota pembangkang dibebaskan menjelang pilihan raya umum negara itu.
Bagaimanapun setakat ini, tiada tanda presiden itu akan mematuhi nasihat berkenaan, manakala seorang rakan rapatnya berkata Musharraf tetap bertegas undang-undang darurat akan ditamatkan hanya selepas tahap keselamatan semakin baik.
"Saya menggesa kerajaan Pakistan menghentikan tindakannya, menarik balik undang-undang darurat dan membebaskan semua tahanan politik," kata Negroponte pada sidang akhbar di pejabat kedutaan Amerika yang dikawal ketat pada akhir lawatannya.
Rakan rapat Musharraf yang enggan mendedahkan namanya berkata, pemimpin Pakistan itu percaya undang-undang darurat diperlukan bagi mengadakan satu pilihan raya yang aman.
Disebalik kedegilan Musharraf, Negroponte tidak menganggap pertemuannya dengan pemimpin itu satu kegagalan.
Sementara itu, pakatan antara pemimpin pembangkang Pakistan, Benazir Bhutto dan Nawaz Sharif menuju ke arah 'keselesaan perkahwinan' politik jangka pendek disebabkan perbezaan pandangan politik kedua-duanya walaupun kini bergabung untuk menyingkirkan Presiden Pervez Musharraf, kata penganalisis Pakistan kelmarin.
"Pakatan sementara antara Nawaz dan Benazir boleh wujud tetapi ia tidak akan bertahan lama," kata pemerhati kanan politik dan bekas Pengerusi Jabatan Hubungan Antarabangsa Universiti Karachi, Profesor Shameem Akhtar.
Selepas sekian lama berusaha menjatuhkan Musharraf, Benazir mengubah fikiran minggu lalu, menghubungi semula pencabar tradisi, parti Islam dan Nawaz.
"Saya bercakap dengan Nawaz Sharif selama dua jam semalam, dan secara prinsip kami bersetuju untuk bekerjasama menentang pemerintahan kuku besi tentera," kata Benazir dalam sidang akhbar di Lahore Jumaat lalu,
Penganalisis, Ikram Sehgal, berkata tujuan sebenar Nawaz dan Benazir ialah untuk menyingkirkan Musharraf tetapi pakatan itu terlalu rapuh untuk mengubah nasib mereka. - Agensi
FAKTA NOMBOR
Krisis Pakistan
2 - Bekas Perdana Menteri bersatu menentang Parvez
2 - Stesen TV ditutup
0 Komentar untuk "Wakil Bush suruh Musharraf tamat darurat"