Asean bakal bentuk identiti sendiri - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Asean bakal bentuk identiti sendiri

Oleh Mutazar Abd Ghani

Pemeteraian piagam bolehkan 10 negara guna satu mekanisme perundangan

PERSIDANGAN Kemuncak Asean ke-13 dan beberapa mesyuarat berkaitan yang bermula di Singapura hari ini hingga Khamis, sekali lagi menemukan 10 pemimpin Asean bagi membincang dan bertukar pandangan, sekali gus membuat keputusan berhubung hala tuju serta memacu kesatuan serantau itu dalam berdepan cabaran abad ke-21, terutama ke arah meletakkannya sebagai organisasi disegani.

Sidang kemuncak tahun ini yang bertemakan 'Asean Tunggal di Tengah-Tengah Asia yang Dinamik' dijangka memberikan tumpuan terhadap isu tenaga, alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan mapan, yang bakal diketengahkan Singapura selaku tuan rumah.


Penonjolan isu berkenaan pada sidang kali ini memang tepat pada masanya memandangkan isu seperti perubahan iklim dan persekitaran yang kian mendapat perhatian seluruh dunia hasil pembangunan berterusan dalam era globalisasi, yang mana sekiranya ia tidak dikawal, sudah tentu memudaratkan bukan saja untuk generasi akan datang, malah generasi masa kini.

Begitu juga dengan peningkatan ketara harga bahan api global, terutama minyak yang mana baru-baru ini harganya mencecah hampir AS$100 setong, turut membimbangkan negara seluruh dunia, termasuk Asean, walaupun ada negara Asean yang juga pengeluar minyak. Sekiranya harga minyak kekal pada tahap sekarang (melebihi AS$90 setong) atau mungkin meningkat lagi pada masa depan, ia pasti meninggalkan banyak impak negatif terhadap negara serta rakyat, khususnya dari segi kenaikan kos pengeluaran dan harga barang.

Justeru, langkah segera dan berkesan amat ditagih dalam usaha mencari tenaga alternatif kepada minyak dan sidang kemuncak kali ini adalah medan terbaik untuk pemimpin Asean berbincang serta mencari penyelesaian jangka panjang kepada masalah itu, termasuk memajukan bahan api alternatif seperti biodiesel atau biofuel yang kini dipelopori Malaysia.


Isu pembangunan mapan pula diketengahkan tuan rumah berikutan wujudkan pembangunan yang tidak sekata di kalangan negara anggota. Justeru, beberapa mesyuarat berkaitan sempena sidang kemuncak kali ini mampu menjana idea ke arah mewujudkan pembangunan yang lebih seimbang, sekali gus merapatkan jurang antara negara Asean baru dan lama.

Antara mesyuarat berkaitan yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Asean kali ini ialah Sidang Kemuncak ke-11 Asean + 3; Sidang Kemuncak ke-11 Asean + 1 bersama China; Sidang Kemuncak ke-11 Asean + 1 bersama Jepun dan Sidang Kemuncak ke-11 Asean + 1 bersama Korea Selatan.

Turut diadakan ialah Sidang Kemuncak ke-6 Asean-India dan Sidang Kemuncak ke-3 Asia Timur (EAS), selain dua sidang kemuncak sub-serantau iaitu Sidang Kemuncak ke-4 Kawasan Pertumbuhan Timur Asean-Brunei (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak ke-3 Pertumbuhan Segitiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMTGT). Sebagai tambahan, Sidang Kemuncak Memperingati Asean-Kesatuan Eropah (EU) akan turut diadakan bagi memperingati 30 tahun hubungan dialog kedua-dua kesatuan terbabit.

Namun, apa yang lebih bermakna pada sidang kemuncak tahun ini ialah sejarah yang bakal dicatatkan organisasi berusia 40 tahun itu apabila Ketua Negara - Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam dijangka melulus serta memeterai satu Piagam Asean, yang deklarasinya bermula di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Pemeteraian piagam itu adalah satu detik bersejarah kerana ia akan memberikan identiti perundangan kepada perkumpulan serantau yang meraikan ulang tahun ke-40 penubuhannya tahun ini. Piagam itu membolehkan Asean menggunakan satu mekanisme perundangan bagi membolehkannya bertindak atau menguatkuasakan sesuatu keputusan.

Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata Piagam Asean adalah perkara paling penting untuk dibincangkan pada sidang kemuncak kali ini dan Malaysia melihat perkara itu dari sudut optimistik.

"Pada mulanya, ketika Malaysia mula-mula mencadangkan perkara ini pada Sidang Kemuncak ke-11 di Kuala Lumpur, kita tidak dapat membayangkan ia akan dapat mencetuskan pandangan positif daripada negara anggota yang lain. Kita berasakan sudah sampai masanya, Asean mempunyai piagamnya yang tersendiri dan ia kini bukan hanya satu kemungkinan, tetapi akan menjadi realiti di Singapura nanti," katanya.

Menerusi piagam itu, beliau berkata, segala perkara yang kabur serta kurang jelas di kalangan negara anggota akan boleh dirujuk kepadanya, justeru, ia akan mengubah keadaan dalam Asean itu sendiri daripada pesimistik kepada optimistik.

Katanya, bentuk piagam itu bergantung pada Ketua Negara Asean yang akan bersidang pada sidang kemuncak kali ini dan mereka yang akan memberikan keputusan muktamad.

"Bagaimanapun, saya yakin sekiranya piagam ini dapat dibentuk di Singapura, dunia akan bertambah yakin dengan keupayaan dan kelangsungan Asean untuk mencapai penyatuan, kerana kita bersatu hati membentuk satu piagam yang sebenarnya, amat sukar jika tiada kesepakatan antara negara anggota.

"Malaysia berharap apabila piagam ini dapat dibentuk, kita akan dapat membabitkan masyarakat negara anggota Asean sebagai contoh, kakitangan awam. Kita tidak mahu Asean bergerak sebagai pertubuhan bersifat kerajaan atau menjadi pertubuhan elit, sedangkan rakyat semua negara anggota perlu merasai pertubuhan ini," katanya.

Satu lagi peristiwa bersejarah yang bakal dicatat pada sidang kemuncak kali ini ialah ia diadakan sempena ulang tahun ke-40 penubuhan Asean. Ini sekali gus, menunjukkan Asean kini bergerak ke arah kesepaduan untuk melahirkan komuniti Asean berteras kepada tiga tonggak iaitu politik/keselamatan, ekonomi dan sosiobudaya.

Penonjolan Asean juga kini diterima sebagai satu organisasi serantau dan masyarakat antarabangsa mengakui bahawa Asean adalah sebagai pertubuhan rantau yang berjaya, dengan manfaat dan keuntungannya dapat dinikmati kira-kira 560 juta penduduknya.

Pada sidang di Singapura ini, negara anggota Asean juga akan memeterai 'pelan induk ekonomi' dan ia usaha untuk mencapai misi Asean maju pada 2020.

Selain agenda yang dirancang, ada juga kemungkinan pihak tertentu akan 'menyentuh' isu yang masih hangat membabitkan satu daripada anggota Asean iaitu Myanmar, berhubung tindakan tegas pemerintah junta tentera itu terhadap penunjuk perasaan antikerajaan di negara itu, baru-baru ini.

Walaupun kebanyakan negara anggota, termasuk Malaysia berharap isu Myanmar akan reda pada sidang kemuncak kali ini dan tidak menjadi tumpuan, ia tidak dapat dielakkan untuk dibincangkan di kalangan Ketua Negara Asean, tambahan pula dunia sedang melihat kepada pendirian yang bakal dibuat Asean pada sidang kali ini.

Di pihak tuan rumah sendiri, mereka sudah mengambil langkah untuk melaksanakan undang-undang tegas yang melarang bantahan umum ketika pemimpin serantau bermesyuarat di republik itu, termasuk mengharamkan perhimpunan awam melebihi lima orang atau lebih tanpa mendapat permit. Ia sebagai amaran terhadap pihak yang merancang mengadakan protes anti-Myanmar sepanjang Sidang Kemuncak kali ini berlangsung.

Bagi pihak Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi mengetuai delegasi ke sidang kemuncak serantau itu kali ini, sambil disertai isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah. Kedua-dua mereka diiringi Syed Hamid, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz dan pegawai kanan kerajaan.

Esok, Abdullah dijadual menyertai rakan sejawatannya dari Asean dalam majlis bersejarah untuk memeterai Piagam Asean, yang akan memberikan identiti perundangan kepada perkumpulan serantau yang dianggotai 10 negara itu.

Pada mesyuarat berkaitan Asean itu, pemimpin terbabit dijangka memeterai beberapa dokumen. Ia termasuk, Rangka Tindakan Komuniti Ekonomi Asean, Deklarasi Pemimpin Asean mengenai Pengekalan Alam Sekitar, dan Deklarasi Singapura mengenai Perubahan Iklim, Tenaga dan Alam Sekitar yang akan turut dimeterai pemimpin Sidang Kemuncak EAS.

INFO
Sidang Kemuncak Asean ke-13


  • Bertemakan 'Asean Tunggal di Tengah-Tengah Asia yang Dinamik'.

  • Dijangka memberikan tumpuan terhadap isu tenaga, alam sekitar, perubahan iklim dan pembangunan mapan.

  • Dijangka diluluskan serta dimeterai satu Piagam Asean, yang deklarasinya bermula di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

  • Pemeteraian Piagam Asean memberikan identiti perundangan kepada perkumpulan serantau.

  • Satu lagi peristiwa bersejarah bakal dicatat ialah ia diadakan sempena ulang tahun ke-40 penubuhan Asean.

  • 'Pelan induk ekonomi' dijangka dimeterai dan ia usaha mencapai misi Asean maju pada 2020.
  • 0 Komentar untuk "Asean bakal bentuk identiti sendiri"

    ISU SEMASA

    LIKE FACEBOOK

    Networkedblogs

    Popular Posts

    BERITA HARI INI