10,000 dipercayai maut -- Berjuta penduduk hilang tempat tinggal angkara Taufan Sidr - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

10,000 dipercayai maut -- Berjuta penduduk hilang tempat tinggal angkara Taufan Sidr


Seorang guru mengajar di kawasan terbuka selepas sekolah mereka musnah akibat Taufan Sidr. – AP.

DHAKA 18 Nov. – Seramai 10,000 orang dipercayai terbunuh manakala berjuta lagi penduduk hilang tempat tinggal akibat Taufan Sidr yang melanda selatan Bangladesh malam kelmarin.

“Angka kematian setakat ini disahkan mencecah 3,000 orang.

“Ia mungkin akan meningkat melebihi 5,000 korban tetapi tidak akan melebihi 10,000,” demikian menurut Pengerusi Persatuan Palang Merah Bangladesh, M. Abdur Rab.

Laporan oleh stesen televisyen ATN Bangla berkata, masih belum ada sebarang berita dari rangkaian pulau di perairan selatan negara itu dan di Teluk Bengal yang teruk dibantai oleh Sidr.

Pihak berkuasa Bangladesh hari ini me laporkan bantuan setakat ini hanya dapat disalurkan kepada kurang satu peratus daripada jutaan mangsa yang hilang tempat tinggal dan amat memerlukan bekalan makanan, air dan ubat-ubatan.

Bilangan korban meningkat kepada beratus-ratus orang pada satu-satu masa sementara pekerja penyelamat terpaksa bertungkus-lumus untuk memasuki kawasan kemusnahan di mana kampung-kampung diranapkan oleh Taufan Sidr yang melanda pantai selatan negara ini malam kelmarin.

“Saya tidak pernah menyaksikan malapetaka sebesar ini dalam tempoh 20 tahun bertugas sebagai pentadbir kerajaan,” kata pegawai tempatan di daerah Jhalokati, Harisprasad Pal.

Menurut beliau, satu demi satu kampung musnah sama sekali.

“Berjuta-juta penduduk tinggal di kawasan lapang dan bantuan sampai kepada kurang satu peratus daripada mangsa,” katanya.

Petugas Palang Merah Antarabangsa, Shafiquzzaman Rabbani pula memberitahu, menurut anggaran pihaknya 900,000 keluarga menjadi mangsa bencana itu dan kebanyakan kematian disebabkan pendu duk dihanyutkan oleh ombak besar.

Tentera dan pekerja bantuan masih berusaha untuk membuka semula jalan ke kawasan bencana di mana rumah-rumah yang hanya dibina daripada buluh dan beratap zink diterbangkan oleh angin kencang.

Di banyak tempat, penduduk berkata, mereka terpaksa mengebumikan mangsa secara beramai-ramai.

“Kami mengesahkan 2,000 kematian setakat ini tetapi angka ini akan terus meningkat apabila kami menerima laporan lanjut dari daerah terjejas,” kata Ketua Pengarah Biro Pengurusan Bencana, Ma sood Siddiki.

Di sepanjang pantai selatan negara ini, tempat tinggal bagi sebilangan penduduk termiskin di dunia, pihak berkuasa dijangka menemui ribuan lagi mayat.

Pekerja bantuan terpaksa menggunakan khidmat gajah untuk menarik pokok tumbang yang merentangi jalan.

Sementara itu penduduk yang berteduh di pusat-pusat perlindungan semasa taufan melanda kembali ke kampung masing-masing untuk mendapati rumah me reka sudah tiada.

Di banyak tempat, bekalan elektrik terputus dan pegawai memberi amaran tempoh berminggu-minggu akan diperlukan untuk memulihkan bekalan.

Timbalan Komisioner Jhalokati, K.M. Rahatul Islam berkata, setiap satu dari pada 554 kampung di daerah beliau menerima pukulan taufan itu.

“Semua rumah beratap zink telah diterbangkan,” katanya sambil menyifatkan kejadian itu sebagai satu tragedi kemanusiaan yang besar.

Di kampung tepi pantai, Char khali, lebih 100 penduduk terkorban dan 30 lagi masih hilang selepas ombak setinggi enam meter menenggelamkan kawasan itu.

“Angin dan ombak begitu kuat sehingga memusnahkan jalan bertar sepanjang empat kilometer,” kata seorang penduduk, Anowar Hossen Khan.

Helikopter tentera menggugurkan bekalan bantuan dari udara sementara lima kapal tentera laut mengagihkan bantuan makanan, ubat-ubatan dan keperluan lain di kawasan pantai.

Jerman, Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Eropah (EC) menyuarakan rasa simpati dan menawarkan bantuan segera.

“Kami menawarkan bantuan segera untuk operasi bantuan menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sentiasa bersedia untuk menyalurkan bantuan lanjut apabila diperlukan,” kata Menteri bagi Asia di Jabatan Luar Britain, Mark Malloch Brown.

EC mengumumkan penghantaran bantuan kecemasan bernilai 1.5 juta euro (RM7.48 juta) kepada negara ini.

– AFP

0 Komentar untuk "10,000 dipercayai maut -- Berjuta penduduk hilang tempat tinggal angkara Taufan Sidr"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI