BANTUAN TIBA: Penduduk Bangladesh yang terjejas kerana taufan Sidr menunggu bekalan diedarkan oleh petugas helikopter di Khulna, 136 kilometer di tenggara Dhaka, kelmarin. |
2,300 maut, 600,000 tan beras musnah
DHAKA: Mangsa taufan Sidr yang terselamat mula membongkar sisa runtuhan rumah mereka untuk mencari anggota keluarga dan sanak saudara yang masih terperangkap, ketika angka kematian meningkat melebihi 2,200 orang, semalam.
Angka rasmi kematian meningkat 2,206 semalam, tetapi media tempatan pula mendakwa, jumlahnya melebihi 4,000 orang.
Kapal tentera laut dan helikopter cuba membantu beribu-ribu penduduk dipercayai masih terperangkap di beberapa pulau di Teluk Benggala dan kawasan pantai yang terputus hubungan.
Pesawat terbang rendah untuk menggugurkan makanan dan ubat-ubatan kepada mangsa, selepas gagal mendarat kerana banyak kawasan masih ditenggelami air.
Selain itu, kira-kira 600,000 tan beras musnah kerana taufan berkenaan yang menjadi faktor kekurangan makanan.
KUMPUL SEMULA: Beberapa orang guru mengatur beberapa buah komputer dan dokumen di satu kawasan di Moralganj, kelmarin selepas kolej mereka dilanda taufan Sidr. |
Pegawai berkata, sasaran pengeluaran beras mungkin kurang 1.6 juta tan kerana kemusnahan berkenaan membabitkan beras jenis Aman.
Sementara itu, beberapa nelayan yang berjaya diselamatkan di laut berkata, mereka melihat berpuluh mayat terapung berhampiran hutan paya bakau Sundarban, antara kawasan hutan simpanan yang dihuni pelbagai spesies haiwan dilindungi, termasuk harimau Benggala.
Pegawai menjangka angka kematian akan meningkat berikutan kerja mencari beratus-ratus orang yang hilang masih diteruskan.
"Kami memerlukan beberapa hari untuk melakukan kerja mencari dan mengetahui angka kematian sebenar selain menilai jumlah kerosakan," kata pegawai Kementerian Makanan dan Bencana Alam, Ayub Miah.
Anggota penyelamat bertungkus lumus untuk menghantar bekalan makanan, minuman dan khemah kepada berpuluh ribu penduduk yang menjadi mangsa ribut paling buruk melanda Bangladesh sejak 1991, apabila 143,000 orang terbunuh.
Taufan Sidr melanda pantai selatan Bangladesh lewat malam Khamis lalu dengan angin selaju 250 kilometer sejam, menghasilkan ombak besar sehingga lima meter. - Reuters
FAKTA NOMBOR
Mangsa taufan Sidr
1,000 - Nelayan belum pulang
150 - Bot belum ditemui
0 Komentar untuk "Korban Sidr meningkat"