Oleh Azrul Affandi Sobry
NURSERI DI PEJABAT: Taman Asuhan Suruhanjaya Sekuriti (Tassek) di Bukit Kiara memudahkan pekerja mendekati anak mereka. |
Langkah terbaik ibu bapa berkerjaya hadapi masalah hantar anak ke pusat jagaan
MALAYSIA sedang bergerak pantas untuk dikategorikan sebagai negara maju menjelang 2020 dan dalam proses itu, setiap lapisan masyarakat menjadi sandaran utama menunjangi setiap sektor sama ada melalui agensi kerajaan mahupun di sektor swasta.
Pembabitan lebih ramai wanita juga membuktikan negara kini berada pada landasan tepat menggunakan semua aset yang ada untuk merealisasikan matlamat itu, malah pada masa sama kerajaan melaungkan hasrat melahirkan modal insan bertaraf dunia melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Namun, di sebalik semua itu, ramai yang terlupa dalam usaha membentuk modal insan seperti acuan yang dikehendaki, perkara asas yang perlu diberi keutamaan adalah pembentukan institusi keluarga yang berkualiti. Ia hanya boleh direalisasikan jika ibu bapa menjalankan peranan dengan sebaiknya.
Justeru, apabila direnung dan ditimbang, adakah institusi keluarga di negara ini benar-benar kukuh kerana dalam kesibukan mengejar kemajuan, hampir semua individu dewasa termasuk tiga perempat wanita sibuk dengan kerjaya sehingga aspek penjagaan anak diabaikan.
Masalahnya, itu bukan kehendak mereka. Jika diselami hati semua wanita di negara ini pastinya mereka akan menangisi kesuntukan masa yang dapat diluangkan bersama anak, malah mungkin ada yang terpaksa melepaskan tanggungjawab itu kepada pihak ketiga.
Lihat saja senario masyarakat kita. Bangun pagi, suami isteri tergesa-gesa mempersiapkan diri dan kelengkapan anak untuk dihantar ke pusat penjagaan berhampiran dengan rumah. Lapan hingga sembilan jam di tempat kerja, perihal anak terpaksa tidak diendahkan.
Pulang ke rumah apabila matahari sudah tenggelam. Sampai ke rumah, sibuk pula dengan urusan itu dan ini, sudahnya anak terlena sendiri.
Ia perkara dianggap biasa sedangkan menurut pakar psikologi tempoh kritikal ketika anak perlu menerima pendidikan dan kasih sayang terbaik ialah sejak lahir hingga berusia tiga tahun. Berapa ramaikah ibu yang mampu menyusukan anak atau sekurang-kurangnya mengambil tahu apa yang anak lakukan sepanjang hari. Semuanya kerana anak dihantar jauh dari tempat ibu bapa bekerja.
Justeru, wajarlah apabila kajian yang dijalankan oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menunjukkan hampir 50 peratus daripada wanita bekerja menuntut supaya diwujudkan pusat penjagaan anak atau nurseri di tempat kerja mereka.
Alasannya cukup mudah tetapi amat munasabah. Kebanyakannya memberi alasan ia dapat memudahkan mereka menyusukan anak apabila ada masa terluang. Soal keselamatan anak juga diyakini kerana hampir dengan mereka, kos lebih murah kerana mungkin ada subsidi daripada majikan dan kualiti pendidikan lebih terjamin kerana pastinya dikendalikan oleh pengasuh berkemahiran serta terlatih.
Semua alasan itu adalah isu utama yang sering menjadi gangguan sehingga mampu menjejaskan prestasi kerja mereka yang berkeluarga. Manakan tidak, apabila saban masa asyik memikirkan keadaan anak, pastinya sedikit sebanyak kekacauan akan menjentik jiwa dan sudahnya, kualiti kerja jatuh merudum.
Bagi golongan berkemampuan, mungkin ia tidak begitu menjadi masalah besar kerana mampu membayar kos tinggi kepada nurseri bertaraf lima bintang yang pastinya lebih terjamin kualiti dalam pelbagai aspek. Namun, apa nasibnya bagi yang kurang berada dan anak kecil pula bersusun ramainya. Pasti lebih memeningkan kepala.
Pilihan terakhir bagi golongan ini ialah menghantar anak kepada sebarang orang yang sanggup menjaga anak mereka dengan kos lebih murah. Kenal atau tidak bukan soalnya. Apa yang penting anak mereka ada penjaga. Lantaran itulah banyak kes membabitkan pengasuh tidak berlesen terpampang di dada akhbar dari masa ke semasa.
Jawapan kepada semua persoalan ini tidak lain tidak bukan ialah kerajaan perlu membuka mata mencari jalan penyelesaian seperti memberi insentif kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan mahupun swasta untuk membantu mereka mewujudkan nurseri di tempat kerja.
Sekurang-kurangnya, dengan ada nurseri itu, pastinya banyak perkara dapat diselesai atau dikurangkan. Isu pekerja kerap mengambil cuti kecemasan kerana anak tidak sihat pasti selesai kerana anak kini dekat dengan ibu bapanya.
Saranan supaya ibu mengutamakan susuan badan juga dapat dicapai kerana tiada alasan lagi bagi ibu tidak menyusukan anaknya dengan lebih kerap.
Rumusannya, jika kerajaan serius mahu melihat generasi kecil yang bakal menjadi pewaris kepemimpinan negara pada satu hari nanti benar-benar berkualiti, janganlah biarkan isu penjagaan anak menjadi bom jangka yang sudahnya akan melahirkan lebih ramai 'hantu' di kalangan remaja lantaran tidak mendapat bimbingan yang sewajarnya.
Sementara itu, Pengurus Jabatan Pengurusan Pelaburan Tabung Amanah Suruhanjaya Sekuriti (SC), Shahrin Shaikh Mohd ketika menceritakan faedah diperolehnya apabila SC membuka Taman Asuhan Suruhanjaya Sekuriti (Tassek) di tempat kerjanya di Bukit Kiara.
"Saya tidak perlu risau lagi mengenai keselamatan anak dan boleh meluangkan lebih banyak masa bersamanya. Kini, saya dapat memberi lebih tumpuan kepada kerja kerana masalah penjagaan anak bukan lagi isu besar yang boleh mengganggu kerjaya saya.
"Jika dibandingkan dengan rakan lain yang tidak mempunyai nurseri di tempat kerja, ternyata banyak masalah yang kerap mereka hadapi. Kadangkala terpaksa berkejar ke sana sini untuk menguruskan hal anak, malah masalah lebih rumit sekiranya tiba-tiba mendapat makluman yang anak tidak sihat," katanya.
Katanya, kemudahan disediakan di Tassek itu membolehkan pekerja menarik nafas lega kerana soal keselamatan anak kini lebih terjamin, malah banyak masa dapat dijimatkan berbanding sebelum ini, apabila mereka terpaksa bersiap lebih awal kerana terpaksa menguruskan anak untuk dihantar ke tempat lain.
Pembantu Pegawai Penguatkuasa, Nur Katherina Cheong Abdullah pula berkata, dia dapat lebih banyak masa untuk menyusukan anaknya sendiri tanpa perlu bersusah payah memerah susu ke botol seperti yang terpaksa dilakukan ibu lain yang menghantar anak jauh dari tempat kerja.
"Saya dapat memberi lebih banyak kasih sayang kepada anak berbanding sebelum ini apabila anak terpaksa dihantar kepada ibu di kampung kerana saya tidak ada pilihan lain. Berjumpa dengan anak pun hanya seminggu sekali.
"Malah, masalah utama menghantar anak kepada jiran atau keluarga akan menyebabkan anak menjadi antisosial kerana kurang bergaul dengan rakan seusianya. Di sini, anak saya dapat ramai kawan dan dapat belajar banyak perkara. Disiplinnya pun dididik dengan cukup sempurna," katanya.
Penyelia Tassek, Zuraidah Abdul Manan, yang menguruskan nurseri itu sejak awal penubuhannya pada awal 2001, berkata penubuhan nurseri di tempat kerja sewajarnya menjadi keutamaan semua majikan kerana mampu mengurangkan banyak masalah yang biasanya dihadapi pekerja.
Katanya, dengan ada nurseri di tempat kerja, wanita dapat memaksimumkan masa bersama anak tanpa menjejaskan kualiti kerja mereka. Majikan juga tidak risau pekerja kerap mengambil cuti lantaran masalah kesihatan anak.
0 Komentar untuk "Laporan Khas: Nurseri tempat kerja erat kasih sayang"