WALAUPUN Universiti Malaya (UM) tidak tersenarai dalam 200 universiti terbaik dunia tahun ini, tetapi peranannya sebagai gedung yang menjana ilmu sejak lebih 100 tahun terus dilaksanakan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat.
Usaha terbaru UM ialah menerbitkan sebuah buku berjudul Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2005 karya Faridah Jaafar, siswazah Jabatan Sejarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM menarik untuk dibaca.
Buku ini bertujuan menganalisis peranan lima Perdana Menteri dalam penggubalan dasar luar Malaysia, di samping menilai pengaruh keperibadian mereka ke atas dasar tersebut.
Pengarang memberi fokus terhadap idiosinkratik iaitu hubungan peribadi politik dalam dasar luar Malaysia dari tahun 1957 hingga 2005, dan peranan yang dimainkan oleh Perdana Menteri dalam hubungan antarabangsa.
Menurut pengarang, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi menunjukkan penguasaan, kekuatan, kepimpinan, inisiatif dan pengaruh yang begitu ketara dalam dasar luar Malaysia.
Dalam menganalisis dasar luar Malaysia, pengarang berjaya mengenal pasti satu faktor iaitu peranan peribadi yang didapati begitu dominan dalam proses membuat keputusan.
Hal ini terbukti apabila para penganalisis dasar luar Malaysia sering secara literal mengklasifikasikan dekad dasar luar bersandarkan penguasaan dan pengawalan setiap Perdana Menteri ke atas dasar tersebut.
Lima fasa pemerintahan di bawah setiap Perdana Menteri memberi gambaran tersendiri dalam keupayaan mereka merangka dasar luar Malaysia, malahan menampilkan keperibadian pemimpin melalui dasar luar yang digagaskan.
Menurut penulis, di zaman Tunku Abdul Rahman dari 1957-1970, dasar luar Malaysia berada pada tahap pengasasan dan pengembangan. Pendekatan ini bersumberkan pengaruh keperibadian Tunku yang begitu pro-Barat dan antikomunis, selain situasi politik domestik yang kurang stabil ketika itu.
Era pemerintahan Perdana Menteri kedua (1970-1976) memperlihatkan keupayaan mendalam Tun Abdul Razak mengendalikan hubungan luar Malaysia mengikut arus perubahan.
Tokoh itu telah merintis usaha ke arah peneutralan dasar luar Malaysia dengan menjalinkan hubungan diplomatik dengan hampir semua negara tanpa mengira ideologi.
Perkembangan ini selaras dengan gaya kepimpinan beliau yang sederhana dan pragmatis dalam menyampaikan aspirasi nasional di peringkat antarabangsa.
Beliau juga telah mengadakan penyelarasan dalam aspek politik, ekonomi dan dasar pertahanan bagi memenuhi tuntutan strategik negara.
Pengganti beliau, Tun Hussein Onn yang memimpin dari 1976-1981, tidak menunjukkan sebarang perubahan drastik dalam dasar luar Malaysia. Hal ini bersesuaian dengan keperibadian beliau yang tidak mempunyai ciri-ciri radikal.
Tun Hussein lebih banyak mengekalkan dan meneruskan dasar yang telah diasaskan oleh pemimpin sebelumnya. Apa yang dapat disimpulkan oleh pengarang ialah dasar luar Malaysia pada zamannya telah menunjukkan era pengukuhan.
Dalam periode kepimpinan Tun Dr. Mahathir (1981-2003), dasar luar Malaysia dilihat begitu menarik kerana bersalutan isu-isu yang menimbulkan kontroversi dan mengundang perdebatan hangat.
Peranan beliau dalam dasar luar begitu meluas melebihi penguasaan Perdana Menteri sebelumnya. Menurut pengarang, ini disebabkan Dr. Mahathir mempunyai minat dan pengetahuan yang mendalam, sekali gus perhatian yang tinggi ke atas dasar luar Malaysia.
Persoalan mengenai kebangkitan Islam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Komanwel, krisis ekonomi serta jurang penguasaan negara maju dengan negara sedang membangun yang ketara menjadi tumpuan dasar luar Malaysia pada zamannya.
Pengarang melihat Tun Dr. Mahathir mempelopori beberapa perubahan drastik dalam pelaksanaan dasar luar iaitu tidak sekadar refleksi daripada situasi dan kedudukan antarabangsa, tetapi menggambarkan pendekatan proaktifnya dalam menangani isu-isu semasa khususnya yang berkaitan dengan kepentingan negara dunia ketiga dan negara-negara Islam.
Dasar luar Malaysia di zaman Abdullah dari 2003-2005 (penyelidikan pengarang hingga 2005) pula disifatkan telah melalui proses evolusi yang dinamik. Perdana Menteri kelima itu meneruskan kesinambungan dasar luar Malaysia era Perdana Menteri sebelumnya di samping memperhalusi dan mengukuhkan dasar luar sedia ada.
Menurut pengarang, walaupun dasar luar yang diamalkan Abdullah masih sama namun pendekatan yang digunakan bagi menyampaikan aspirasi nasional di arena antarabangsa agak berbeza bersesuaian dengan keperibadian beliau yang agak sederhana.
Walaupun baru beberapa tahun memegang teraju pemerintahan negara, tetapi apabila menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu dasar luar beliau telah mempamerkan kematangan, ketelusan dan sikap yang pragmatik, jelas pengarang.
Buku ini sesuai digunakan sebagai bahan bacaan dan rujukan penting para peminat mengenai dasar luar Malaysia yang dipengaruhi dan diwarnai oleh lima Perdana Menteri.
Judul: Perdana Menteri dan Dasar Luar Malaysia 1957-2005
Pengarang: Faridah Jaafar
Penerbit: Penerbit Universiti Malaya
Tahun: 2007
Pengulas: MOHD. YAHYA MOHAMED ARIFFIN
0 Komentar untuk "Pendekatan dasar luar"