Kecemerlangan bukan sekadar di sekolah asrama penuh - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Kecemerlangan bukan sekadar di sekolah asrama penuh

KITA berharap ibu bapa yang mempunyai anak mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini akan memahami hakikat, bahawa tempat di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sebenarnya terhad dan tidak dapat menampung sebahagian besar daripada lebih 48,000 murid mendapat 5A. Keputusan cemerlang dalam akademik bukan jaminan bagi mereka diterima masuk ke sekolah berasrama penuh. Bagi memenuhi tuntutan sebagai insan mulia dan mempunyai sahsiah tinggi, murid juga harus menunjukkan kecemerlangan dalam bidang kokurikulum. Syarat ditetapkan meliputi calon warga negara Malaysia dan terdiri daripada pelajar sekolah kebangsaan saja, berminat memasuki SBP, aktif dalam kokurikulum, mencapai 5A atau 4A 1B dalam UPSR 2007 (Matematik dan Sains mesti Gred A), dicalonkan Jawatankuasa Pencalonan Peringkat Sekolah dan disahkan Jawatankuasa Pengesahan Pencalonan. Ketika permohonan ditutup 30 Oktober lalu, Kementerian Pelajaran menerima 98,500 permohonan ke SBP, iaitu rekod tertinggi pernah diterima. Namun, kerana tempat terhad, hanya 6,000 pelajar ditawarkan melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu di SBP di seluruh negara.

Walaupun minat pelajar dan ibu bapa ini menunjukkan keyakinan tinggi terhadap SBP, mereka harus menerima hakikat kejayaan sebenar anak bukan terletak pada sekolah semata-mata, tetapi pada diri murid itu sendiri serta sokongan keluarga. Ini bermakna jika murid itu tekun dan menumpukan perhatian kepada pelajaran serta mempunyai azam yang tinggi untuk maju, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) pun sudah memadai. Lihat saja di sekeliling kita, begitu ramai orang berjaya tidak semuanya mendapat pendidikan menengah di SBP. Sekolah adalah tempat pelajar menimba ilmu dan mendapat tunjuk ajar sebelum menghadapi peperiksaan. Apa yang penting ialah disiplin diri untuk mendapat kejayaan dalam pendidikan dan azam kuat yang mendorongnya untuk memperoleh keputusan cemerlang. Malah, cabaran di SMK adalah lebih hebat memandangkan bilangan pelajar lebih ramai dan latar belakang pendidikan yang berbeza. Selain SBP, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) juga turut menjadi sasaran utama pelajar dan ibu bapa, namun keadaannya juga sama kerana tempatnya yang terhad.

Memandangkan kecenderungan yang tinggi di kalangan pelajar dan ibu bapa untuk ke SBP dan MRSM, adalah wajar Kementerian Pelajaran mengambil langkah membaiki mutu pendidikan di SMK dengan mewujudkan kelas khas yang mungkin boleh menempatkan pelajar cemerlang ini. Selain memberi peluang kepada mereka bersaing sesama sendiri, guru juga boleh merangka strategi agar mereka mendapat layanan seperti diperoleh pelajar di SBP atau MRSM. Di samping itu, sebagai langkah merapatkan jurang antara pelajar cemerlang dengan yang kurang cemerlang, sekolah juga boleh melaksanakan program mentor-mentee bagi pelajar tidak bermasalah dari segi disiplin yang ingin meningkatkan kemampuan mereka dalam bidang akademik. Selain itu, dari segi jangka panjang, pihak kementerian perlu juga melihat kepada kemungkinan mewujudkan lebih banyak SBP dan MRSM di seluruh negara bagi menampung pelajar cemerlang yang meningkat setiap tahun. Apapun, kita berharap pencapaian pelajar kita akan terus mencatat kecemerlangan tidak kira sama ada mereka belajar di SBP mahupun di SMK yang tidak kurang hebatnya dari segi prestasi akademik.

0 Komentar untuk "Kecemerlangan bukan sekadar di sekolah asrama penuh"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI