JANGAN CEMAR KEDAULATAN INSTITUSI RAJA - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

JANGAN CEMAR KEDAULATAN INSTITUSI RAJA

Rencana Pengarang
YANG di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Istana Negara minggu lalu sudah menjelaskan tidak terlibat apatah lagi memperkenan tindakan perhimpunan haram di depan Istana Negara. Kelmarin, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah pula yakin Yang di-Pertuan Agong difitnah.

Perkembangan politik yang dibawa oleh pemimpin parti-parti pembangkang sekarang nampaknya menjurus untuk melibatkan institusi raja dalam politik negara.

Mereka barangkali percaya dengan melibatkan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana sultan, perjalanan politik mereka akan lebih mudah.

Dengan mengaitkan institusi raja kononnya berkenan untuk menerima memorandum mereka, pembangkang akan menggunakannya bagi meyakinkan rakyat bahawa institusi raja turut menyokong mereka.

Jika perhimpunan haram itu tidak dihalang, mereka akan gunakan peristiwa itu untuk mengadakan perhimpunan lain pula.

Dengan menggunakan Istana Negara untuk memburuk-buruk kepimpinan kerajaan Barisan Nasional dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah suatu tindakan tidak betul.

Pendekatan meniru corak politik negara jiran yang mengguna ‘kuasa rakyat’ untuk menjatuhkan kerajaan sebenarnya tidak sesuai di negara kita.

Misalnya apa yang berlaku dalam politik Thailand yang melibatkan rajanya, tidak sesuai berlaku di negara kita. Apakah masalah politik Thailand sama dengan Malaysia, hinggakan pembangkang mahu menggerakkan perhimpunan rakyat dengan memakai baju kuning seperti di Bangkok.

Kita rasa bangga apabila institusi raja yang menjadi payung negara tidak terperangkap dengan taktik politik pembangkang, sebaliknya berdiri teguh menyokong kepimpinan sekarang yang meneruskan tradisi membela rakyat.

Dalam sistem pemerintahan negara kita, ia terbahagi kepada tiga iaitu institusi Raja Berperlembagaan, Eksekutif dan Kehakiman yang mempunyai bidang kuasa masing-masing.

Jadi, sebarang masalah politik harus diselesaikan melalui cara politik dan bukan melibatkan pihak istana. Pilihan raya umum adalah saluran yang betul untuk parti-parti politik mendapatkan kerusi di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Pada hari pengundian, biar rakyat yang menentukan siapa yang mereka pilih untuk menjadi pemimpin.

Sebenarnya sudah banyak tuntutan pihak pembangkang telah dilaksanakan oleh SPR.

Jika perjalanan pilihan raya tidak bersih, bagaimana pembangkang boleh menawan negeri Kelantan hingga sekarang?

Ingat, apa yang berlaku di negara orang tidak semestinya elok untuk negara ini. Jangan sekali-kali kita biar institusi raja dicemari dengan tindak-tanduk pihak yang sentiasa tidak puas hati dengan kerajaan.

Jangan biar pihak istana dipandang rendah. Oleh itu, institusi raja jangan dikacau, apatah lagi melibatkannya dalam kancah politik.

0 Komentar untuk "JANGAN CEMAR KEDAULATAN INSTITUSI RAJA"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI