TELUK INTAN - DAP hari ini mengumumkan Setiausaha Politik kepada anggota Parlimen Gelang Patah, Dyana Sofya Mohd Daud, 27, sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membuat pengumuman itu semasa perasmian Pusat Operasi Utama PRK Teluk Intan di sini.
Lim dalam ucapannya berkata: "Jawatankuasa membuat keputusan memilih Dyana Sofya sebagai calon berdasarkan tiga sebab iaitu sudah tiba masanya untuk pilih orang muda, memberi peluang kepada golongan wanita untuk kesaksamaan gender dan mahu tonjolkan prinsip DAP yang berbilang bangsa."
Sementara itu Dyana Sofya yang merupakan seorang peguam berkata cabaran yang akan dihadapinya akan lebih hebat dan ia akan mendewasakan perjuangan demokrasi yang dijunjungnya selama ini.
"Malaysia memerlukan politik baharu dan meninggalkan politik perkauman. Saya memilih untuk ikut haluan serta sebuah usaha ke arah Malaysia yang lebih baik," kata Dyana Sofya.
Anak kelahiran Ipoh, Perak dan lulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Teknologi Mara itu berkata sebagai calon muda beliau sentiasa menyokong amalan politik baharu yang melampaui benteng perkauman.
"Ibarat minuman teh tarik yang tidak mengenal sempadan warna, umur dan segala-galanya, teh tarik terus digemari seluruh rakyat Malaysia. Begitulah perjuangan kita di tanah air tercinta, bersama-sama mencari ramuan teh tarik terbaik untuk kita, rakyat Malaysia," katanya.
Dyana Sofya yang menjadi anggota DAP pada Disember 2011 dan dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang pada tahun lepas, berkata penglibatan aktif ibunya Yammy Samat, 59, dalam politik dan aktiviti masyarakat menjadi pembakar semangatnya.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser pada 1 Mei lepas. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Seah, 48, menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.
Penamaan calon bagi PRK Parlimen Teluk Intan ditetapkan pada 19 Mei ini dengan disusuli pengundian awal pada 27 Mei serta hari pengundian 31 Mei.
Sementara itu, Yammy yang merupakan anggota Umno sejak berusia 18 tahun sehingga kini, menyifatkan sokongannya kepada Dyana Sofya adalah daripada seorang ibu kepada anak dan sudah tentu beliau tidak 'membuang' anaknya hanya kerana parti.
"Saya memberi beliau kebebasan sebelum dia membuat keputusan untuk menyertai DAP, saya berfikiran terbuka. DAP sebuah parti yang berdaftar dan ia juga adalah sebahagian daripada kerajaan," katanya yang pernah menjadi Setiausaha Umno Bahagian Ipoh dari 1976 hingga 1980.
Beliau berkata terpulang kepada Umno jika ingin mengambil tindakan terhadapnya kerana menyokong Dyana Sofya sebagai seorang ibu.
"Saya menyokong anak, bukan parti... saya sama sekali tidak akan keluar daripada parti Umno. Saya sebagai ibu, bagaimanakah anda jika berada dalam keadaan saya...saya akan temankan dia sepanjang kempen ini," kata Yammy yang menyifatkan cabaran yang diterima berikutan pencalonan DAP itu sebagai asam garam dalam politik.
Mengenai pencalonan anaknya yang dikatakan menjadi strategi DAP untuk mengambil hati orang Melayu selepas menentang pelaksanaan hukum Hudud, beliau berpendapat DAP juga mempunyai risiko kehilangan kerusi Teluk Intan dengan meletakkan calon Melayu. - Bernama

0 Komentar untuk "PRK Teluk Intan: Dyana Sofya sah calon DAP"