Pemuda Pakatan ‘rempuh pagar’ perjuangkan individu, kata Khairy - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pemuda Pakatan ‘rempuh pagar’ perjuangkan individu, kata Khairy

Khairy Jamaluddin, selaku Ketua Pemuda Umno, berkata BN pertahankan generasi muda tetapi PKR pertahan individu. - Gambar The Malaysian Insider, 2 November, 2014.

Terdapat perbezaan ketara antara corak politik Pemuda Barisan Nasional (BN) dan Pemuda Pakatan Rakyat (PR), kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar, menurut Sinar Harian Online.

Pengerusi Pemuda BN itu berkata, perbezaan itu merujuk kepada perjuangan BN yang membawa suara pemuda dalam mendepani cabaran hidup, sementara PR pula membawa corak politik yang memperjuangkan individu.

"Seminggu dua ini, Pemuda MCA, PPP ada perhimpunan. Dalam semua perhimpunan, yang dibangkitkan ialah suara generasi anak muda.

"Sementara pemuda PR, dia tidak cakap pasal pembangunan belia tetapi pasal 'one man' (seorang lelaki)," beliau dipetik berkata, merujuk kepada Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"PR tidak bawa isu kos sara hidup anak muda, isu perumahan belia... tetapi mereka rempuh pagar pertahankan seorang individu, kumpul di mahkamah pertahankan Anwar.

"Tetapi dalam BN, kita tidak pertahan individu. Yang kita pertahankan ialah hak generasi muda. Inilah yang membezakan politik mereka dan politik kita," Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan dilaporkan berkata.

Politik Pemuda BN berteraskan nilai dan generasi muda, katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda PPP, di Hotel Dynasty di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam pada itu, Khairy berkata, Pemuda BN akan sentiasa bergerak bawah satu bumbung bagi memperjuangkan hak anak muda.

"Kita akan bergerak dengan satu hati dalam memperjuangkan nasib anak-anak muda Malaysia.

"Kita akan bantu mereka, kita akan jadi jurucakap kepada generasi muda," katanya seperti laporan portal berita itu

Pada 27 Oktober, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) menganjurkan program '40 Tahun: Dari Universiti Malaya ke Penjara' dengan menjemput Anwar berucap di dalam kawasan kampus.

Bagaimanapun, program itu diisytiharkan haram oleh pentadbiran universiti dan pihak pengawal keselamatan mengunci pagar di ketiga-tiga pintu masuk utama UM beberapa jam sebelum ia dijadualkan bermula.

Mereka menghalang semua kenderaan dan pelajar dari masuk dan keluar tetapi akhirnya terpaksa membuka pagar setelah pelajar dan anak muda merempuh pintu masuk utama di sebelah Kuala Lumpur.

Anwar kemudiannya berjaya memasuki kawasan kampus dan berucap di hadapan kira-kira 2,000 orang di dataran Dewan Tunku Canselor UM. – 2 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/pemuda-pakatan-rempuh-pagar-perjuangkan-individu-kata-khairy#sthash.VpHachCN.dpuf
0 Komentar untuk "Pemuda Pakatan ‘rempuh pagar’ perjuangkan individu, kata Khairy"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI