Oleh MOHD. NAZREE MOHD. YUNUS
DALAM Perhimpunan Agung UMNO kali ini, didapati isu pengayaan minda dan usaha ke arah memperkukuhkan perpaduan menjadi teras kepada ucapan, perbahasan dan perbualan para perwakilan dan pemerhati.
Isu kemiskinan minda, jiwa dan miskin perjuangan merupakan antara perkara yang sudah disedari oleh para perwakilan untuk diselesaikan.
Namun apabila membicarakan soal pengayaan minda, jiwa dan pengorbanan, sudah pasti keupayaan generasi muda dibentuk bagi membolehkan mereka memenuhi cita rasa nilai perjuangan agama, bangsa dan negara merupakan antara perkara yang perlu dititikberatkan.
Ilmuwan Indonesia Soedjatmoko dalam bukunya Manusia Indonesia Menjelang Abad Ke-21 menyebut bahawa “Kekuatan sesebuah negara di masa akan datang tidak bergantung kepada kekuatan ketenteraannya, tetapi akan bergantung kepada kekuatan ekonomi dan keunggulan diplomasinya.”
Oleh yang demikian, keupayaan generasi muda untuk bersuara dalam membina minda dan jiwa tidak harus dibunuh potensinya, sebaliknya mereka harus diberikan peluang dan tunjuk ajar sejak awal lagi.
Apabila pemimpin UMNO membicarakan soal pengayaan minda dan minda ke arah perpaduan yang tulen, kita melihat persoalan ini ke arah untuk membawa kemajuan kepada orang Melayu dalam bentuk yang lebih holistik. Slogan ini juga mampu untuk memberikan satu cetusan semangat yang baru tanpa ada rasa prejudis daripada kaum yang lain.
Kemajuan Melayu dalam aspek pengayaan minda, jiwa dan perjuangan merupakan suatu aspek yang perlu kepada sentuhan dinamik bagi menghasilkan penterjemahan yang holistik dalam kehidupan untuk membina tamadun bangsa yang unggul.
UMNO perlu berfikir tentang membina satu barisan generasi baru Melayu yang mempunyai daya ketahanan dan mampu untuk bersaing dengan kaum yang lain dengan pecutan kemajuan yang optimum. UMNO juga perlu bersedia untuk melahirkan kepimpinan negara yang sedia diterima oleh masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.
Persoalan pembentukan minda perpaduan juga harus berasaskan Rukun Negara yang merupakan suatu prinsip bernegara yang diterima umum.
Sebelum kita mengimpikan cita-cita meninggi di angkasa, ayuh kita terus menggali ilmu pengetahuan dan mengakarkan budaya bangsa kita yang tulen sebagai suatu persediaan untuk membentuk tamadun yang hebat. Ayuh kukuhkan perpaduan antara kita rakyat Malaysia.
* MOHD. NAZREE MOHD. YUNUS ialah Pengerusi Jaringan Pemikir Anak Muda, Institut Kajian Asas
Kemasyarakatan (INSKA).
0 Komentar untuk "Pengayaan perpaduan"