WASHINGTON: Senator Hillary Clinton dari parti Demokrat dan bekas datuk bandar New York Demokrat, Rudy Giuliani dari parti Republikan, hampir seri dalam tinjauan pendapat terbaru berhubung siapa patut jadi Presiden Amerika Syarikat pada 2009.
Kedua-dua tokoh mendahului pencabar lain daripada parti masing-masing yang turut bersaing untuk dipilih sebagai calon presiden bagi pemilihan presiden 2008 itu, dengan Hillary mengatasi pesaing Demokrat terdekat Senator Barack Obama dari Illinois sebanyak 22 mata, manakala Giuliani mendahului 17 mata pesaing Republikan terdekat Senator John McCain dari Arizona.
Menurut tinjauan pendapat terbaru NBC News/Wall Street Journal, 76 peratus daripada penyokong Demokrat yang terbabit dalam tinjauan menyatakan Hillary mempunyai pengalaman dan pengetahuan untuk mentadbir negara berbanding 41 peratus untuk Obama.
Namun apabila ditanya siapa yang lebih digemari, 72 peratus memihak kepada Obama, manakala Hillary memperoleh 49 peratus. Selain itu, 65 peratus melihat Obama lebih jujur dan berterus terang berbanding 53 peratus untuk Hillary.
Walaupun Hillary kini di depan kebanyakan pesaing Demokratnya, berbanding dengan Giuliani yang kini muncul sebagai calon pilihan Republikan, isteri bekas Presiden Amerika Syarikat itu hanya mendahului dengan satu peratus apabila 46 peratus memihak kepada Clinton. � Reuters
0 Komentar untuk "Hillary, Giuliani bakal berentap"