Oleh ZULKIFLI ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)
‘‘DI sekolah tidak belajar, dah habis periksa,’’ itulah kata-kata yang sering didengar di kalangan ibu bapa yang diluahkan oleh anak-anak mereka setiap kali menjelang cuti penggal akhir persekolahan terutama mereka yang sudah menduduki peperiksaan.
Ini kerana anak-anak kita merasakan mereka sudah ‘bebas’ atau ‘berehat’ dan tidak lagi perlu ke sekolah selepas mengambil peperiksaan akhir tahun atau peperiksaan utama.
Biarpun dianggap satu perkara remeh tetapi ini sebenarnya perbuatan ponteng dan jika tidak dibendung, dikhuatiri ia menjadi masalah besar kemudian hari.
Tambahan pula, ada pula sekolah yang gagal untuk mengadakan program bagi menarik minat pelajarnya ke sekolah.
Kebimbangan ini dapat dirasai oleh kebanyakan ibu bapa terutama yang bekerja kerana memikirkan apakah anak-anak mereka lakukan di rumah jika tidak ke sekolah.
Menyedari perkara ini, mulai tahun depan, Kementerian Pelajaran memutuskan peperiksaan akhir tahun di semua sekolah dianjakkan kepada seminggu atau dua minggu sebelum cuti penggal akhir bermula.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd. Dom berkata, perubahan itu juga membabitkan tarikh peperiksaan awam iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang pada masa ini diadakan pada September dan Oktober.
Ini sudah tentu menarik nafas lega kebanyakan ibu bapa bahawa tidak ada ‘ruang’ lagi kepada pelajar terbabit untuk tidak datang ke sekolah dan ini dianggap bijak kerana proses pencarian ilmu pengetahuan tidak pernah ada noktahnya.
Apa yang menarik, keputusan itu dibuat dengan persetujuan kesatuan-kesatuan guru dan ini juga bermakna para guru perlu menyemak kertas-kertas peperiksaan akhir tahun pada cuti penggal tersebut.
Dengan itu, janganlah adanya rasa tidak puas hati di kalangan guru berhubung perubahan tersebut sebaliknya perlu menganggapnya sebahagian daripada tugas. Sewajarnya tidak ada guru yang merungut kerana tugas murni itu sememangnya memerlukan pengorbanan demi untuk anak bangsa kita.
Sesungguhnya Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak membantah perubahan ini malah Presidennya, Anuar Ibrahim menganggapnya ia satu langkah bijak bagi membendung gejala ponteng di kalangan pelajar.
Biar apa pun timbul persoalan, jika pendekatan ini diambil, mungkinkah selepas ini tiada lagi sekolah menganjurkan majlis penyampaian anugerah cemerlang kerana kertas peperiksaan hanya dapat disemak pada cuti penggal ketiga.
Inilah antara persoalan yang mungkin dibangkitkan oleh sesetengah pihak tetapi perubahan tarikh peperiksaan ini tidak harus menggusarkan semua pihak kerana generasi muda perlu menimba pelbagai ilmu pengetahuan ke arah melahirkan modal insan cemerlang.
Aspek ini selalu diluahkan oleh pucuk pimpinan agar negara ini dapat terus dipacu untuk mencapai kegemilangan dalam era globalisasi dan melahirkan masyarakat glokal.
0 Komentar untuk "Anjak tarikh peperiksaan awam"