KARACHI 8 Nov. – Pakistan hari ini mendakwa tiga ahli politik dan seorang pemimpin kesatuan sekerja atas tuduhan melakukan penderhakaan kerana membuat ucapan menentang perisytiharan darurat oleh Presiden Jeneral Pervez Musharraf.
Keempat-empat mereka direman selama dua minggu oleh sebuah mahkamah di Karachi, dua hari selepas mereka ditangkap kerana mengkritik Pervez dalam ucapan di sebuah kelab akhbar.
Dakwaan penderhakaan atau hasutan boleh menyebabkan mereka dihukum mati.
Mereka terdiri daripada pemimpin nasionalis Baluch, Hasil Bizenjo; ketua wilayah, Ayub Qureshi; Naib Presiden Parti Pekerja Nasional, Yusuf Mustikhan; dan pemimpin kesatuan sekerja, Liaquat Sahi.
Mereka juga didakwa mengedarkan risalah yang menentang perintah darurat yang diisytiharkan oleh Pervez.
Polis Karachi semalam telah mendaftarkan dakwaan hasutan terhadap lapan peguam termasuk seorang wanita kerana menghasut orang ramai menentang perintah darurat tersebut.
– AFP
0 Komentar untuk "Empat aktivis anti-Pervez didakwa menderhaka"