Rencana Pengarang
PERANAN syarikat-syarikat milik kerajaan atau GLC terus menjadi bahan perbahasan dan perbincangan dalam Perhimpunan Agung UMNO. Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan dasarnya meminta GLC menjuarai usaha membantu meningkatkan keupayaan serta kredibiliti syarikat dan individu bumiputera.
Jika diimbas kelahiran dan kekuatan beberapa GLC sekarang, ia adalah hasil ilham dan usaha para pemimpin UMNO. Namun, komitmen GLC dalam meningkatkan pembangunan negara perlu juga diiringi bantuan menjayakan agenda bumiputera.
Justeru sebagai syarikat milik kerajaan, dan kerajaan ini pula dipimpin oleh UMNO, maka GLC perlu turut bersama-sama menghayati aspirasi untuk melahirkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).
Setakat ini, hasil daripada peranan UMNO, kita dapat lihat penglibatan GLC seperti Khazanah Holding, Sime Darby dan Petronas dalam memikul tanggungjawab sebagai perancang kepada pembangunan ekonomi WPI, NCER dan ECER.
Pun begitu, tugas sebagai perancang itu harus dipanjangkan dengan menjadi pemangkin dan memimpin usahawan bumiputera melaksanakan pembangunan di wilayah ekonomi ini.
Kerajaan sebenarnya mempunyai 37 buah GLC dengan pengkhususan dalam bidang-bidang tertentu. Namun adalah malang apabila pemimpin GLC terlalu memikirkan indeks prestasi utama (KPI) berdasarkan keuntungan dan bukan kejayaan membantu ramai bumiputera.
Jika dihayati pendirian Presiden UMNO ketika menyatakan perasaan bangganya terhadap prestasi GLC, jelas pencapaian itu belum begitu memuaskan hati beliau, bahkan orang Melayu juga.
Kesediaan GLC untuk menjadi ‘payung’ dalam membantu bumiputera mengharungi cabaran dalam perdagangan dan perindustrian sebenarnya belum mencukupi.
Sesungguhnya ada banyak usahawan Melayu yang tidak lagi memerlukan subsidi tetapi apa yang mereka mahu ialah kesaksamaan peluang. Sebab itu GLC tidak perlu bersaing dengan usahawan bumiputera untuk merebut kontrak kerajaan.
Bantuan, panduan dan perhatian perlu diberikan kepada usahawan Melayu, bukan bersaing merebut projek dengan mereka.
Kita yakin, jika GLC sedar tanggungjawabnya dan mampu menyediakan peluang kontrak, insya-Allah mereka akan berjaya.
Adalah amat mustahak jika GLC mempunyai pendekatan dan matlamat yang sama dengan kerajaan serta UMNO supaya ia dapat berperanan sebagai lapisan kedua untuk membantu orang Melayu dalam bidang ekonomi.
Oleh itu, para pemimpin GLC perlu faham dan mampu menterjemahkan hasrat kerajaan dalam menjayakan agenda bumiputera ini memasuki fasa kedua 50 tahun kemerdekaan negara.
0 Komentar untuk "GLC PERLU FAHAM ASPIRASI UMNO BINA USAHAWAN MELAYU"