Pengganas ancam serang rapat umum Benazir - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pengganas ancam serang rapat umum Benazir

ISLAMABAD 8 Nov. – Pengebom berani mati dilaporkan sudah menyusup masuk ke bandar Rawalpindi di mana bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto merancang untuk mengadakan rapat umum esok bagi memprotes perintah darurat.

Ketua Polis Rawalpindi, Saud Aziz hari ini berkata, pihak beliau menerima laporan perisikan “sangat khusus” bahawa beberapa pengebom berani mati telah pun memasuki bandar di utara itu.

Menurut Saud, sehingga lapan pengebom dipercayai berada di bandar itu dan mensasarkan perhimpunan besar-besaran bagi membunuh orang tidak berdosa.

Polis telah memaklumkan Benazir bahawa beliau menghadapi ancaman sangat serius daripada pengebom berkenaan, katanya.

“Situasi sekarang sangat genting, terutamanya di Rawalpindi yang menyaksikan dua serangan berani mati baru-baru ini,” ujar Ketua Polis itu.

Parti Rakyat Pakistan (PPP) pimpinan Benazir berikrar akan meneruskan protes di Rawalpindi esok bagi membantah perintah darurat yang dikenakan oleh Presiden Pervez Musharraf.

Ketua Polis itu mengulangi pendirian pihak berkuasa bahawa PPP tidak akan dibenarkan mengadakan rapat umum tersebut.

“Kami sangat tegas mengenai perkara ini, kami tidak membenarkan mereka mengadakan perhimpunan umum di Rawalpindi dan telah memaklumkan mereka secara bertulis,” katanya.

Beliau berharap parti Benazir tidak akan cuba mengingkari perintah mengharamkan rapat umum.

“Jika mereka mengingkarinya, tindakan undang-undang akan diambil,” tegas beliau memberi amaran.

Dua pengebom berani mati menyerang rapat umum meraikan kepulangan Benazir ke tanah air di Karachi pada 19 Oktober lalu, menyebabkan 139 orang terbunuh dan lebih 300 lagi cedera.

– AFP

0 Komentar untuk "Pengganas ancam serang rapat umum Benazir"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI