Pendapat
DATUK Seri Hishammudin Hussein, dalam ucapan Pergerakan Pemuda UMNO selasa lalu menyarankan supaya orang Melayu jangan alpa, lalai dan hanyut dengan kemewahan, kemasyhuran dan kekuasaan.
Beliau mengajak setiap orang Melayu sama ada dalam UMNO atau sebaliknya memperjuangkan agenda UMNO sebagai membela rakyat dan melestari kegemilangan orang Melayu. Setiap pemimpin muda diharap dapat menggarap idealisme parti sambil melahirkan peribadi kepimpinan yang luhur berpaksikan nilai murni kekuatan bangsa Melayu seperti adab, sopan santun, budi bahasa dan ramah mesra.
Namun, kini beliau risau jika kerakusan dan kesombongan membudayakan pemikiran dan tindak-tanduk pemimpin muda sehingga akibatnya kita kehilangan jati diri lalu tewas dalam daya saing dan menyebabkan kekuatan minda semakin rapuh.
Sebenarnya, kuasa boleh melonjak kecemerlangan kita atau sebaliknya menghancurkan kerana kita menjadi rakus, angkuh dan lupa daratan.
Justeru, orang Melayu menjelang 2020 dan 2057 mesti mempunyai keterbukaan minda kerana minda tertutup tidak menjamin kesejahteraan. Minda terbuka membawa pengertian proses menerima dengan senang hati idea baru, paradigma baru, pemikiran baru dan sekali gus pandangan hidup baru. Sebaliknya, jika minda tertutup, kita berulang-ulang ‘menembok’ pemikiran kita, menolak pandangan orang lain dan sekali gus berprasangka terhadap idea, fikiran dan pandangan baru, kita menjadi jumud dan mandul akal.
Sesungguhnya, tamadun Melayu berasaskan permuafakatan kekuatan maritim dan kekuatan imaginasi yang berjaya dan disegani. Wawasan kelautan ini menjadikan manusia Nusantara sebagai manusia berfikiran terbuka, lapang, dan bebas daripada kedangkalan, fanatik dan kekerdilan. Manusia Melayu sejak dulu merupakan manusia kosmopolitan, global yang terbuka minda.
Sarjana sosiologi Melayu, Prof. A Rahman Embong menulis bahawa orang Melayu merupakan ahli pedagang, pelaut, penggiat dan pencinta seni, sastera yang hebat. Orang Melayu mempunyai minda terbuka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Malangnya faktor konflik dalaman dan penjajahan serta pencabulan Barat terhadap dunia Melayu menyegerakan proses penutupan minda Melayu.
Akibatnya, orang Melayu dilabelkan sebagai malas, nature’s gentlemen dan yang gemar berseronok atau bersantai.
Kemelut kecemerlangan Melayu kini diwacanakan oleh kepimpinan nasional kerana kita menuntut pembinaan modal insan sejajar dengan Misi Nasional.
Kita menuntut agar kebangkitan keilmuan disemarakkan dengan kemampuan berfikir secara saintifik, rasional, kritis dan analitis sesuai dengan tuntutan zaman.
Kita menuntut orang Melayu menghayati Islam sebagai cara hidup bukan tradisi ritual. Kita mahu orang Melayu berjihad ilmu ke arah kelas pertama, bukan menjadi kaya dengan jalan pintas tanpa daya intelek.
Sesungguhnya, 2020 dan 2057 menuntut keterampilan minda orang Melayu yang progresif, terbuka lagi asertif bukan reaktif mahupun jumud. Hakikat kita hanya mempunyai 12 tahun ke arah 2020, memaksa kepimpinan UMNO dan orang Melayu mesti menggerakkan jihad ilmu, ekonomi dan transformasi sosial dengan segera.
Semoga Perhimpunan Agung UMNO kali ini mengangkasakan tamadun Melayu dan melestarikan kecemerlangan, kegemilangan bangsa Melayu sebagai bangsa bermaruah dan bersifat global.
– PROF. MADYA MOHAMAD MD. YUSOFF,
Pusat Pengajian Komunikasi,
Universiti Sains Malaysia.
0 Komentar untuk "Minda Melayu mesti terbuka menjelang 2020"