Bersama Radzi Latif
SELURUH rakyat menumpang gembira setiap kali Perhimpunan Agung Umno diadakan. Lazimnya, ada saja idea bernas, berita baik dan keputusan bermanfaat diumumkan pembahas dan pemimpin negara sempena perhimpunan agung itu. Namun, berbeza daripada Perhimpunan Agung 2004, 2005 dan 2006 sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Badawi menjadi Presiden Umno, perwakilan Umno kini berdepan dengan realiti pelbagai isu dan cabaran semasa yang menuntut keseriusan mereka berfikir sedalam-dalamnya sebelum berhujah dan melontarkan idea, syor dan saranan masing-masing.
Dari satu aspek perwakilan menunggu isyarat jelas Presiden Umno mengenai tarikh pilihan raya. Dalam pada itu pelbagai kemelut melanda antaranya kenaikan harga barang, harga minyak yang melonjak, peningkatan kadar jenayah, penyakit sosial, gara-gara pembangkang mengusahakan pelbagai pendekatan untuk memprovokasi dan mencetuskan kacau bilau umpamanya yang berlaku di Terengganu baru-baru ini dan tidak cukup dengan itu, pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) pula bertelagah secara terbuka di Parlimen dan di akhbar. Suara mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) turut kedengaran, malah ada juga yang mempertikaikan bahawa kontrak sosial perlu dikaji semula.
Namun, bersandarkan kualiti kepemimpinan Abdullah yang pernah bersama sama dengan Allahyarham Tun Razak melakar dan menjana formula penyelesaian masalah dahsyat selepas Peristiwa 13 Mei 1969 dalam kapasitinya sebagai Setiausaha Majlis Gerakan Negara atau Mageran, seluruh perwakilan Umno atau rakyat tidak perlu bimbang dan ragu.
Kalau dinilai daripada pengalaman Abdullah dalam senario mengurus krisis serta ditinjau pula personalitinya yang sentiasa berfikiran positif, yakin boleh, bersangka baik, ikhlas dalam perjuangan, tidak hipokrit dan jujur dalam kata-katanya, pegangan kukuhnya kepada nilai-nilai dan dasar perjuangan agama, maka tidak dapat tidak, perwakilan Umno dan seluruh rakyat wajar berasa senang hati dan tenang untuk menaruh kepercayaan sepenuhnya dan memberi mandat tidak berbelah-bahagi kepada Abdullah untuk mencari dan memperkenalkan formula terbaik bagi mengatasi cabaran hebat yang melanda negara masa kini, khasnya diakibatkan oleh faktor di luar kawalan iaitu akibat kenaikan harga minyak global.
Timbalan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak seolah-olah dapat membaca fikiran Abdullah. Maka itulah dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno, Isnin lalu, Najib mengajak ahli Umno dan orang Melayu ke arah lonjakan kuantum dan perubahan paradigma dengan mesej 'Mengangkasa Tamadun Bangsa'.
Sebagaimana dijelaskan oleh Najib, istilah mengangkasa dimaksudkan sebagai suatu pencapaian setinggi mungkin yang dijadikan wawasan, impian dan cita-cita. Ia juga bermakna menggemilangkan atau memartabatkan sesuatu daripada yang sudah ada kini ke tahap yang lebih tinggi. Ia melambangkan usaha sehabis baik untuk menjadikan impian yang dianggap mustahil dapat menjadi realiti. Istilah mengangkasa yang pertama kali kita dengar ini memberi pemahaman yang tersendiri, terutama setelah kita atau khususnya seorang anak Melayu, Dr Sheikh Muszaphar Shukor sudah menerokai angkasa lepas.
Pembinaan 'Bangsa Angkasa' ini adalah senada dan selari dengan visi dan misi Perdana Menteri yang mengutamakan pembangunan modal insan. Bagi Najib, ungkapan mengangkasa tamadun bangsa adalah satu isyarat jelas Timbalan Presiden itu kepada Presiden Umno betapa beliau rela, bersedia, komited dan bersungguh-sungguh untuk sama-sama membangun bangsa Melayu yang lengkap dengan segala kehebatan.
Bagi ahli Umno dan rakyat, visi dan misi mengangkasa tamadun bangsa wajar disahut dengan penuh kesedaran bahawa apabila bangsa angkasa ini diwujudkan, ia akan berdiri gagah sehingga tidak akan ada sebarang cabaran dan masalah yang tidak dapat dirungkaikan oleh bangsa sedemikian. Sememangnya agenda mengangkasa bangsa memerlukan masa dan tempoh bertahun-tahun untuk direalitikan. Namun, hijrah minda dan sikap ke arah kegemilangan bangsa angkasa boleh bermula sekarang.
Dalam menangani kenaikan harga barang dan harga minyak, sudah ada tanda penghijrahan minda apabila Profesor Datuk Dr Hamdan Adnan, Penasihat Fomca baru-baru ini mengajak pengguna agar bersedia berubah fikiran dan menerima realiti bahawa kenaikan harga barang tidak dapat dielakkan disebabkan oleh kenaikan harga minyak global. Bangsa kerdil akan menyalahkan kerajaan, namun bangsa bertamadun angkasa akan sedar bahawa ini bukanlah masanya untuk salah menyalah. Ini adalah masanya untuk berkorban, mengubah cara hidup, berjimat, mengelak pembaziran, berkongsi kereta, mengguna kenderaan awam, bijak berbelanja, mengelak membeli barangan yang tidak perlu.
Rakyat menunggu kenyataan demi kenyataan oleh pembahas perhimpunan agung Umno mengenai kesanggupan masing-masing untuk hijrah minda dan sikap untuk sama-sama dengan Presiden Umno bagi menghadapi cabaran.
Sekurang-kurangnya ungkapan "sesungguhnya tidak ada istilah cabaran dan yang ada hanyalah peluang" telah mula meniti bibir ramai peserta yang hadir pada majlis taklimat Presiden Umno pada 5 Oktober jam 4.30 petang itu. Ini seolah-olah memberi gambaran bahawa istilah itu telah diuar-uarkan di dalam Majlis Taklimat oleh Presiden Umno.
Turut terdengar adalah ungkapan lain seperti Umno tidak pernah lari dari sebarang masalah, malah sentiasa berhadapan dengan masalah yang kunjung tiba sehinggalah setiap satu daripadanya diatasi dengan jayanya. Ini petanda baik bahawa para perwakilan Umno amat menjiwai mesej Presiden Umno.
Apapun, dalam banyak ucapan Perdana Menteri sepanjang tahun, ucapan beliau sempena Perhimpunan Agung Umno adalah ucapan yang paling penting. Demikian kata Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada jurucakap dan pembahas usul Perhimpunan Agung Umno 2007. Maka itu, sewajarnyalah ucapan Presiden Umno yang disiarkan secara langsung ke seluruh negara ditunggu-tunggu bukan saja oleh perwakilan Umno tetapi juga oleh seluruh rakyat Malaysia.
Bagi Perdana Menteri, ini adalah ruang dan peluang terbuka bagi beliau mencurahkan apa juga yang terbuku di kalbu sama ada mengenai sikap rakyat, masalah pentadbiran, soal kepartian dan sebagainya. Adakalanya, walaupun ungkapan yang diluahkan agak pahit, ia terpaksa juga ditelan. Sesungguhnya, ubat yang mujarab itu lazim amat pahit ditelan. Untuk pembahas usul, terpulang kepada kebijaksanaan masing-masing untuk mengadunkan inti pati ucapan kedua-kedua pemimpin iaitu Presiden dan Timbalan Presiden. Kalau pun ada kelainan cara persembahannya atau isi kandungannya ia hendaklah dianalisis dari segi sinergi mesejnya dan bukan dari segi perbezaan ideanya. Sudah pun diisytiharkan oleh Abdullah bahawa beliau adalah 'political son' Tun Razak manakala Najib adalah 'biological son' Tun Razak.
Maka tidak syak lagi gabungan dua pemimpin hebat yang bermentorkan Tun Razak ini akan berjaya merealitikan aspirasi mengangkasa tamadun bangsa.
Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif ialah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM).
0 Komentar untuk "Aspirasi: Abdullah, Najib berusaha mengangkat tamadun bangsa"