Melayu mesti yakin, sedia teroka era baru - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Melayu mesti yakin, sedia teroka era baru

JELAS dan lantang. Itulah antara mesej yang kita boleh garap daripada inti pati ucapan dasar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Perhimpunan Agung Umno 2007, kelmarin. Presiden Umno menekankan mengenai soal tolak ansur rakyat pelbagai kaum tanpa perlu mengorbankan kontrak sosial dalam proses menuju ke arah 100 tahun kemerdekaan, menjelang 2057. Beliau mengajak orang Melayu bangkit menggerakkan perjuangan fasa kedua 50 tahun akan datang dengan memastikan bangsa Melayu mentakrif masa depan Malaysia berdasarkan keyakinan, kekuatan dan keupayaan baru. Satu program terpenting dalam fasa itu adalah pembangunan koridor ekonomi iaitu pendekatan baru bagi menjana pembangunan ekonomi yang lebih menyeluruh dan bersepadu. Pembangunan ekonomi koridor Selatan, Utara, Timur serta Sarawak dan Sabah itu, mempunyai impak dari segi pemikiran kerana ia menyokong langkah mewujudkan 'towering Malays' iaitu untuk melahirkan anak Melayu yang tidak gentar bersaing di dunia luar. Perdana Menteri turut merungkaikan permasalahan antara kaum apabila dengan nada lembut, tetapi tegas menyatakan perkara asas mengenai kesucian agama, kepercayaan dan amalan serta kepentingan orang Melayu seperti yang dipersetujui dalam Perlembagaan Persekutuan tidak perlu diungkit. Kenyataan itu menerima tepukan gemuruh perwakilan, menandakan sokongan mereka terhadap pendekatan tidak berkompromi Abdullah terhadap isu membabitkan orang Melayu dan Islam. Pemimpin kanan semua 14 parti komponen Barisan Nasional (BN) yang hadir sama mendengar ucapan itu hendaklah menerima mesej ini dengan jelas dan memperjelaskan pula kepada ahli mengenai usaha mengukuhkan persefahaman dan mengelak tercetus sebarang kontroversi berkaitan kaum dan agama. Kaum lain perlu faham bahawa perkara asas yang dipersetujui ketika Perlembagaan Persekutuan digubal itu tidak boleh dirundingkan lagi. Ketegasan Abdullah diharap bukan saja meletakkan titik noktah kepada isu perkauman, malah menangkis sebarang dakwaan kononnya Umno cuma mementingkan kaum tertentu. Seperti kata Abdullah, Umno tidak mengamalkan sifat lidah bercabang iaitu bernada lain di hari siang, lain pada hari malam seperti makhluk dua alam yang bertukar warna berasaskan suasana.

Kita meletak harapan tinggi bahawa selepas ini, jika wujud sebarang perselisihan faham membabitkan kaum perlu diselesaikan di meja rundingan dan biarlah pemimpin BN mencari jalan terbaik merungkai segala permasalahan tanpa perlu dihebohkan melalui media, termasuk dalam blog di internet. Semua pihak termasuk pembangkang perlu bertanggungjawab kerana ketegangan kaum boleh menggugat keharmonian dan kestabilan politik. Kepada orang Melayu dan ahli Umno, mereka perlu menghayati ucapan yang penuh dengan mesej penting bertemakan 'Memperkukuh Keyakinan - Meneroka Era Baru' itu sebagai panduan dan pengajaran. Ingatlah fasa kedua yang akan ditempuhi 50 tahun akan datang atau nasib bangsa pada 2057, ketika negara meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-100, ditentukan dengan apa yang Umno dan orang Melayu lakukan hari ini. Untuk melonjakkan bangsa Melayu 50 tahun akan datang, komponen pembangunan negara perlu dilengkapkan dengan usaha membina gagasan kukuh dalam jiwa raga insan. Sementara kita boleh berbangga dengan nostalgia 50 tahun lalu, kita juga perlu mengangkat martabat Melayu untuk berfikiran lebih terbuka dan segala nilai negatif dan 'minda beracun' perlu dihapuskan supaya sasaran bangsa Melayu untuk dijadikan bangsa gagah perkasa, berilmu dan menguasai teknologi serta berbudaya tinggi, tercapai.
0 Komentar untuk "Melayu mesti yakin, sedia teroka era baru"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI