Hakikat hak antara kaum - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Hakikat hak antara kaum

Oleh AZLINARIAH ABDULLAH (WARTAWAN UTUSAN)

KALAU ingatan kita masih segar, semasa menyampaikan ucapan dasar pada tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO pernah mengingatkan supaya jangan sesekali mengungkit soal-soal berkaitan isu perkauman.

Di pentas yang sama, sekali lagi beliau meminta agar jangan diungkit-ungkit lagi hal-hal keistimewaan yang dinikmati orang Melayu dan kontrak sosial.

‘‘Atas penghormatan menjaga semangat Melayu sebagai kaum majoriti, rakan-rakan kaum lain tidak seharusnya mengungkit perkara-perkara asas yang sudah dipersetujui dalam Perlembagaan.

‘‘Ini termasuk mengenai kesucian agama, kepercayaan, amalan dan kepentingan orang Melayu,’’ begitu pesan Presiden UMNO.

Ada beberapa perkara yang barangkali cukup mengganggu beliau sehingga terpaksa mengingatkan soal yang sama berkali-kali.

Di lapis lain, dapat difahami mengapa perkara itu disentuh lagi pada ucapan dasar Presiden kali ini.

Yang jelas tentunya rasa dan suara tidak puas hati, yang kemudiannya menimbulkan ungkitan, masih ada di kalangan segelintir kaum-kaum lain di negara ini.

‘‘Polemik berhubung isu perkauman dan mengungkit soal keistimewaan orang Melayu perlu dimuktamadkan. Ia tidak perlu diungkit lagi, bukan selepas perhimpunan dan tidak juga pada tahun hadapan, lebih molek jangan memulakannya sampai bila-bila.

‘‘Sejarah telah memaktubkan bahawa ada keistimewaan tertentu yang tidak boleh dipertikai sama sekali. Maka jika keistimewaan itu diberikan kepada kaum tertentu, kaum-kaum lain wajar menghormatinya. Mempertikai, menolak dan membangkitkan semula perkara itu hanya bererti membidas sejarah,’’ kata ahli sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam.

Dalam hal ini, beliau mengakui bahawa kewujudan hak keistimewaan Melayu bertujuan mempertingkatkan kedudukan orang Melayu yang tidak begitu berjaya berbanding kaum lain.

Di samping itu, ada pihak-pihak tertentu yang sudah berani mempertikaikan hak keistimewaan Melayu ini atas hujah kononnya negara kita sudah dewasa dan hak ini tidak perlu dikekalkan.

Kepada yang membuat dakwaan itu Dr. Ramlah berkata, ada kemungkinan mereka ini kurang jelas dalam fahaman tentang kedudukan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di negeri Borneo sepertimana diperuntukkan dalam Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan.

‘‘Dalam laporan yang disediakan oleh Federation of Malaya, Constitutional Commission 1956 – 1957 yang dikenali sebagai Reid Commission (Suruhanjaya Reid), hak keistimewaan orang Melayu telah diakui dan diiktiraf sebagai hak asasi (fundamental right) sebelum merdeka,’’ jelas beliau yang ditemui semasa mengikuti perbahasan perhimpunan Wanita UMNO.

Dr. Ramlah, yang kini Rektor Kolej Yayasan Melaka (KYM) menambah, hak keistimewaan orang Melayu telah wujud sebelum suruhanjaya ditubuhkan dan ia ditugaskan untuk memastikan bahawa hak ini dipelihara dan dilindungi.

Kaum-kaum lain sebenarnya tidak terpinggir dengan pemberian hak keistimewaan kepada kaum Melayu.

Formula

Modelnya sekali lagi kontrak sosial.

‘‘Gerakan tidak akan berpeluang menerajui kerajaan negeri Pulau Pinang sekiranya UMNO dan orang Melayu melupakan formula kontrak sosial antara kaum.”

Tegas Dr. Ramlah, sikap toleransi UMNO terhadap kaum lain selama ini membuka peluang terlalu lama kepada Gerakan meletakkan pemimpinnya sebagai Ketua Menteri di negeri berkenaan.

Selebihnya kata beliau, pelantikan beberapa pemimpin parti itu dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan turut dipengaruhi oleh sikap UMNO dan orang Melayu yang menghormati semangat setia kawan dalam Barisan Nasional (BN).

‘‘Maka ia (kontrak sosial) jangan hanya dilihat dari sudut sosial dan ekonomi semata-mata, tetapi juga dari segi pemilikan kuasa dan politik.’’

Pada masa ini, lihat sahaja pembangunan yang rancak, walaupun diberikan keistimewaan kepada kaum tertentu, kaum lain turut sama-sama mengaut laba dan kemakmuran.

Sementara itu, memperkatakan tentang soal perkauman ini, kita perlu juga memahami ada pelbagai jenis masyarakat berbilang kaum.

Amerika Syarikat (AS) contohnya adalah masyarakat berbilang kaum, salah satu yang paling beraneka. Tetapi apakah keadaannya sama dengan negara kita? Masyarakat berbilang kaum di AS wujud selepas dua kezaliman yang luar biasa – penghapusan masyarakat pribumi dan penganiayaan terhadap masyarakat Amerika Afrika.

‘‘Kita juga tidak sama dengan Switzerland, berlainan dengan negara-negara lain yang menjadi berbilang kaum kesan tekanan kolonialisme.

Kita meriah kerana kepelbagaian ini terbina menjadi sistem kenegaraan, sekali gus diangkat sebagai kekuatan kita. Dan ini perlu dipelihara,’’ kata seorang ahli akademik, Dr. Sivamurugam Pandian.

Menurut pensyarah kanan bidang Sains Kemasyarakatan dengan pengkhususan hubungan etnik dan politik Universiti Sains Malaysia,” Tidak ada sebab untuk kaum-kaum lain mempertikaikan mengapa keistimewaan ini diberikan kepada kaum Melayu dan tidak buat kaum lain atau sebagainya.

‘‘Sudah tiba masanya mereka (kaum-kaum lain) memahami bahawa keistimewaan tertentu adalah milik kaum tertentu.’’

Sepatutnya dalam rentang masa yang cukup panjang itu, Melayu dan kaum-kaum lain boleh hidup senada dan berupaya mengetepikan semangat perkauman.

0 Komentar untuk "Hakikat hak antara kaum"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI