Oleh AZMAN ANUAR (WARTAWAN UTUSAN)
HARI ini, hari terakhir kira-kira 2,500 perwakilan UMNO termasuk wakil-wakil Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri berkumpul di Dewan Merdeka kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO Ke-58.
Setelah berbahas panjang, apakah para perwakilan faham perkara-perkara penting yang disampaikan oleh Presiden UMNO. Mereka tidak patut berebut-rebut menawarkan diri menjadi perwakilan sebelum ini tetapi apabila hadir ke perhimpunan UMNO, hanya sekadar mendengar bagaikan masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Jika itu yang ada dalam fikiran sesetengah perwakilan, maka ia satu kehadiran yang sia-sia. Golongan seperti ini jangan diberi peluang untuk menjadi wakil bahagian pada perhimpunan akan datang.
Dalam konteks ini, pemerhati politik, Prof. Madya Dr. Mohd. Zainul Fithri Othman berpendapat para perwakilan yang datang dari latar belakang usahawan perlu mengambil peluang yang terbuka untuk orang Melayu dalam projek-projek pembangunan wilayah ekonomi seperti dijelaskan oleh Presiden UMNO dalam ucapan dasarnya Rabu lalu.
Menurut Dr. Mohd. Zainul Fithri yang juga Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Perhubungan Organisasi, Management & Science University (MSU), projek di Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) hendaklah direbut.
“Kalau tidak mampu berseorangan, lakukan secara pakatan supaya semua pihak merasa. Untuk itu, pelan perlu dibuat bagaimana hendak mendapatkannya.
“Perwakilan yang berada dalam sektor pembinaan modal insan iaitu mereka yang terlibat sebagai pengusaha institusi latihan, pendidik dan guru mesti berusaha melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebagai bekalan sebelum mencurahkannya kepada generasi muda.”
Jadi, beliau yang turut memegang jawatan Pengarah Institut Kepimpinan dan Pembangunan Modal Insan di MSU berkata, para perwakilan dari bidang ini perlu bantu kerajaan menjana bina insan yang berilmu pengetahuan.
“Tugas ini mesti datang daripada ahli-ahli UMNO dahulu,” jelas Mohd. Zainul Fithri.
Presiden UMNO juga mahu orang Melayu ubah pendirian dan usah percaya pada dakyah yang mengatakan orang Melayu malas, penakut. Kita perlu tanam sikap percaya bahawa orang Melayu boleh berjaya. Untuk itu, usaha ini mesti bermula dari sistem keluarga.
Mohd. Zainul Fithri berpandangan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mesti memainkan peranan aktif menukar minda Melayu kepada minda yang dinamik dan terbuka.
“Personaliti unggul datang dari keluarga yang unggul. Jadi KPWKM perlu menjana usaha membina Melayu unggul. Dengan cara itu negara akan dapat generasi yang mempunyai minda ingin berjaya.
“Tanggungjawab ini berat. Dan kita percaya ia dapat dibina dalam tempoh 20 tahun sebelum kita dapat generasi yang tidak takut melakukan sesuatu yang baru,” katanya ketika ditemu bual di Perhimpunan Agung UMNO, semalam.
Dihadapkan
Bagi Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kangar, Perlis, Datuk Hashim Suboh, dalam era Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi orang Melayu dihadapkan dengan pelbagai pemikiran, gagasan wawasan dan projek yang amat besar.
Agenda menjadikan pertanian sebagai suatu perniagaan, wawasan menjadikan Malaysia sebagai peneraju di bidang bioteknologi, perancangan menjadikan Malaysia sebagai hab halal global dan terkini koridor pembangunan ekonomi wilayah WPI, NCER dan ECER bukan agenda kecil.
Ini adalah sektor-sektor dan pendekatan yang mampu memberikan kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Lebih penting ia turut memberikan kesan yang merata kepada rakyat khususnya orang Melayu dan bumiputera.
“Oleh itu adalah tidak wajar sekiranya ada yang menyambut WPI, NCER dan ECER dengan perasaan takut, prejudis dan terancam.
“Kita boleh berasa bimbang tetapi untuk menghadapi kebimbangan, kita seharusnya tidak menjadi emosional dan pemarah. Sebaliknya kita perlu menjadi proaktif dengan merancang persediaan – bukan untuk menghadapi ancaman tetapi dengan semangat bagaimana untuk merebut peluang-peluang yang ada.”
Maka kata Hashim, di sinilah peranan UMNO. Biarlah Pas dan Parti Keadilan Rakyat dengan cerita-cerita seram yang cuba menakut-nakutkan kita dengan gambaran suram mengenai pelaksanaan projek-projek ini kepada orang Melayu.
Cuma, apa yang penting, orang Melayu mesti faham dan melaksanakan apa yang kita cita-citakan.
Apa guna perwakilan datang ke Perhimpunan Agung UMNO jika hanya ingin mendengar perbahasan yang mencuit hati dan menyakitkan hati, tetapi apabila balik ke bahagian dan cawangan, tiada usaha pelaksanaan dijalankan.
“Tiada pelaksanaan, maka gagallah. Para perwakilan perlu melakukan sesuatu kerana Pak Lah hanya seorang Presiden UMNO dan Perdana Menteri, sedangkan ahli UMNO ada 3.3 juta orang itu juga perlu tahu apa yang patut dilakukan untuk agama, bangsa dan negara.
“Melayu perlu berani dengan ilmu dan kebijaksanaan, bukan berani berlandaskan emosi yang tiada haluan,” kata Mohd. Zainul Fithri.
0 Komentar untuk "Tugas perwakilan sampaikan mesej"