‘Darurat tamat sebulan lagi’ -- Pilihan raya umum Pakistan sebelum 15 Februari ini - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

‘Darurat tamat sebulan lagi’ -- Pilihan raya umum Pakistan sebelum 15 Februari ini


Kumpulan peguam yang tidak menghiraukan ancaman pihak berkuasa, meneruskan bantahan ke atas perintah darurat yang dikenakan oleh Presiden Pervez Musharraf di Islamabad, Pakistan, semalam. – AP.

ISLAMABAD 8 Nov. – Kerajaan Pakistan hari ini menegaskan, perintah darurat yang dikenakan oleh Presiden Pervez Musharraf Sabtu lalu akan ditarik balik dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi sementara pilihan raya umum dijadualkan pada Februari nanti.

Keputusan kerajaan itu diumumkan oleh Peguam Negara, Malik Mohammad selepas Pervez menghadapi desakan daripada pelbagai pihak termasuk Amerika Syarikat (AS), agar mengadakan pilihan raya seperti yang dijadualkan iaitu pada Januari ini.

“Keputusan telah dibuat untuk mengadakan pilihan raya pada Februari sementara perintah darurat akan ditarik balik dalam tempoh sebulan dua lagi,’’ kata Malik.

Sementara itu, Pervez yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional hari ini turut mengumumkan pilihan raya itu akan diadakan sebelum 15 Februari.

“Kita sedang mencari tarikh sesuai bagi membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya serentak di seluruh negara.

“Saya telah mengumumkan pilihan raya akan diadakan mengikut jadual, tiada keraguan mengenainya kerana saya akan mengotakan janji,’’ tegasnya.

Pervez turut mengalami tekanan daripada bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto yang mengancam untuk melancarkan perarakan besar-besaran minggu depan jika Presiden tidak memulihkan perlembagaan dan mengadakan pilihan raya.

Pegawai sebelum ini memberi amaran, pilihan raya yang dilihat sebagai langkah penting ke arah pemulihan demokrasi awam mungkin tertangguh sehingga setahun.

Sementara itu di Washington, seorang penasihat undang-undang Pervez, mendakwa AS lebih berminat dengan kempen memerangi keganasan daripada melihat demokrasi berkembang maju di Pakistan.

Advokat kanan di Mahkamah Agung Pakistan, Ahmad Raza Khan Qasuri juga berkata, Pakistan mengharapkan nasihat dan bukannya arahan daripada rakan-rakan.”

Presiden George W. Bush semalam menggesa Pervez supaya mengadakan pilihan raya mengikut jadual dan melepaskan jawatannya sebagai ketua tentera.

“Pernahkah kami meminta senarai semakan daripada AS untuk menjawab soalan, mengapa awak menyerang Iraq, mengapa awak menyerang Afghanistan?” kata Ahmad dalam ucapan di Middle East Institute di sini semalam.

– AFP

0 Komentar untuk "‘Darurat tamat sebulan lagi’ -- Pilihan raya umum Pakistan sebelum 15 Februari ini"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI