LAHORE 8 Nov. – Mahkamah antikeganasan di sini hari ini membebaskan lebih 300 peguam yang ditahan semasa bantahan menentang Presiden Pervez Musharraf berikutan perintah darurat yang dikenakan oleh beliau.
Penasihat kepada para peguam itu, Aftab Ahmed Bajwa berkata, 331 peguam yang ditahan di timur bandar Lahore, Isnin lalu dituduh melakukan keganasan, rusuhan dan menyerang polis dan harta benda awam.
“Hakim telah membenarkan permohonan mereka dan akan dibebaskan selepas melangsaikan bayaran bon sebanyak AS$333 (RM1,098),” katanya.
Tambah Aftab, pihak polis memaklumkan bahawa 20 ketua peguam dan aktivis hak asasi yang dipercayai menjadi ketua bantahan tersebut masih lagi ditahan.
Kebanyakan peguam mengetuai bantahan menentang perintah darurat yang dikeluarkan Sabtu lalu berikutan pemecatan Ketua Hakim Mahkamah Agung, Iftikhar Muhammad Chaudhry apabila beliau enggan mengisytiharkan darurat tersebut.
Iftikhar dan lapan lagi Hakim Mahkamah Agung masih lagi ditahan di rumah tahanan.
– AFP
0 Komentar untuk "Mahkamah bebaskan lebih 300 peguam"