Tuntut ikut cara tertib - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tuntut ikut cara tertib


Shahrizat Abdul Jalil.

MUKADIMAH
SEBAGAI orang nombor dua dalam Pergerakan Wanita UMNO, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bukan mudah.

Pada masa yang sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang telah tujuh tahun memegang jawatan Naib Ketua Wanita UMNO ini bekerja keras supaya kedudukan Wanita UMNO meningkat dari satu tingkat ke tingkat atas lagi.

Justeru, antara perkara yang meninggalkan kesan dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini ialah gelombang mahukan polisi 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar dalam semua bidang termasuk jawatan politik.

Bagi Shahrizat, sasaran beliau kini ialah untuk melihat 30 peratus pemimpin pergerakan itu diberi tempat dalam pilihan raya umum akan datang selain jawatan penting dalam UMNO.

Dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, ROSNI HASSAN, RAJA LUVENA SHARIFUDDIN dan SAIFULIZAM MOHAMAD, di Bilik Johor, Pusat Dagangan Dunia Putra semalam, Shahrizat menyatakan pandangannya mengenai Wanita UMNO serta kerja-kerja yang sedang dilakukan bagi memperkasakan pergerakan itu.

UTUSAN: Ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Wanita kelmarin, Datuk Seri menggesa supaya 30 peratus wanita yang berkelayakan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, kenapa?

Isu penyertaan 30 peratus wanita dalam politik merupakan susulan atas kejayaan kita meningkatkan jumlah wanita yang berkelayakan menduduki jawatan-jawatan bertaraf ‘pembuat keputusan’ sama ada dalam kerajaan atau luar kerajaan.

Ia bermula sebaik-baik sahaja Kabinet meluluskan satu memorandum kementerian (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) berhubung isu ini pada 4 Ogos 2004.

Alhamdulillah sejak Kabinet luluskan polisi ini, semakin ramai wanita berkelayakan menduduki jawatan penting.

Kementerian berpendapat bahawa input dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang termasuk politik adalah amat mustahak.

Daripada pengamatan Datuk Seri, apakah kekuatan wanita-wanita ini hingga mereka diberi peluang seluas-luasnya untuk memegang jawatan penting khususnya dalam kerajaan?

Mereka ini bukan calang-calang wanita. Mereka mempunyai kelayakan, pengalaman dan kebolehan untuk menyandang jawatan ini. Itulah istimewanya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau merupakan seorang pemimpin yang sentiasa memberi peluang kepada wanita untuk memegang jawatan-jawatan utama dalam kerajaan.

Dalam sistem pentadbiran Abdullah tiada istilah diskriminasi. Semua orang diberikan peluang yang saksama. Bagaimanapun dalam politik perkara itu tidak berlaku. Oleh itu sudah tiba masanya polisi 30 peratus ini diperluaskan dalam konteks politik UMNO.

Siapakah sebenarnya yang harus dipersalahkan dalam hal ini hingga kaum wanita boleh dianggap ketinggalan berbanding kaum bapa di dalam UMNO?

Kita tidak boleh marah dan salahkan sesiapa tetapi mungkin perkara ini berlaku disebabkan wanita kita sendiri malu alah untuk meminta-minta. Kita tidak mahu membuat satu perkara yang boleh menjejaskan parti. Kalau boleh, kita mahu tuntutan ini ditunaikan mengikut cara yang tertib.

Bilakah masa yang paling sesuai bagi memulakan usaha meletakkan 30 peratus wanita dalam politik UMNO?

Inilah masanya yang paling sesuai. Untuk peringkat permulaan, mungkin kita boleh letakkan mereka dalam jawatan-jawatan berbentuk lantikan seperti ketua penerangan, setiausaha dan bendahari. Jawatan-jawatan ini boleh dijadikan sebagai medan latihan bagi golongan wanita kita untuk menjadi pemimpin.

Saya sebenarnya tidak mahu perubahan ini dilakukan secara drastik tetapi secara beransur-ansur.

Apakah kelebihan wanita sekiranya mereka terlibat secara serius dalam politik?

Dalam perjuangan politik hari ini banyak isu yang merangkumi kesejahteraan rakyat.

Oleh itu peranan wanita amat diperlukan bukan sahaja di peringkat sayap tetapi mereka perlu terlibat sama dalam aliran politik arus perdana.

Apakah harapan Datuk Seri berhubung jumlah calon wanita pada pilihan raya akan datang?

Berdasarkan rekod pilihan raya umum 2004 dan Pilihan Raya Negeri Sarawak 2006 jumlah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita mengikut negeri hanya sekitar 6.9 peratus manakala ahli Parlimen adalah sebanyak 8.5 peratus.

Justeru, untuk pilihan raya umum akan datang sasaran kita ialah 10 peratus untuk peringkat DUN dan 15 peratus untuk peringkat Parlimen.

Sasaran ini saya sifatkan sebagai angka yang amat realistik. Saya berharap Menteri Besar dan Ketua Menteri mengambil tindakan positif untuk mengenal pasti pemimpin-pemimpin wanita di peringkat negeri yang boleh diketengahkan.

Setakat hari ini, adakah Wanita mempunyai pemimpin-pemimpin yang boleh diketengahkan?

Dalam Wanita UMNO kita mempunyai ramai pemimpin yang berbakat dan mampu menunaikan tanggungjawab. Mereka sebenarnya tidak diberi peluang. Saya yakin jika mereka diberi peluang, golongan wanita ini akan dapat melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Bagaimana senario dalam Wanita UMNO sekarang?

Kita kena tengok apa akan berlaku semasa pilihan raya umum. Saya rasa terlalu awal untuk meramalkannya. Kita tak tahu apa akan berlaku semasa dan selepas pilihan raya. Saya sendiri pun tak tahu sama ada saya akan jadi calon, boleh menang dan sama ada akan ada dalam Kabinet. Bagi saya, tidak payah buang masa, kita mesti tumpu pada pilihan raya.

0 Komentar untuk "Tuntut ikut cara tertib"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI