Syed Saddiq cabar naib presiden PPBM letak jawatan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Syed Saddiq cabar naib presiden PPBM letak jawatan



PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak lagi tahan dengan Naib Presiden PPBM Hamidah Osman yang dia percaya bertanggungjawab ke atas perpecahan parti itu di Perak.
Ketua pemuda PPBM berkata Hamidah punca tindakan 1,000 ahli PPBM Perak keluar parti kononnya kerana tidak berpuas hati dengan kepimpinan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Susulan itu, beliau mencabar Hamidah meninggalkan parti daripada menjadikan ahli-ahli “yang baik” mangsanya.

“Saya tahu dia (Hamidah) punca keadaan ini. Saya akan berkata secara terus terang: Saya mahu Hamidah letak jawatan.

“Dia perlu berhenti jadi pengecut dengan menghantar askarnya ke depan dan mengorbankan orang yang baik bagi tujuan peribadi.
“Jika anda masuk parti untuk jawatan, sila berambus,” katanya kepada FMT.

Syed Saddiq juga menyifatkan bekas ketua Wanita Umno Gopeng itu sebagai seorang hipokrit yang kecewa selepas Muhyiddin tidak menamakan beliau sebagai ketua PPBM negeri.
Beliau berkata Hamidah suka mengampu Muhyiddin, sehinggalah Ahmad Faizal Azumu dinamakan ketua PPBM Perak.

“Sebelum ini, beliau selalu memuji Muhyiddin, di depan saya dan semua orang, sehingga saya berasa tidak selesa.
“Titik perubahan apabila Muhyiddin dan (Pengerusi PPBM) Tun Dr Mahathir (Mohamad) tidak melantik beliau sebagai ketua di Perak.

“Tiba-tiba, beliau mula mengutuk Muhyiddin tidak tahu bagaimana untuk memimpin.
“Secara jujurnya, ia agak menjijikkan, terutamanya bagi Faizal, seorang anak muda yang benar-benar berbakat.
“Hanya kerana Faizal tidak setua atau berpengalaman sepertinya, Hamidah kini menyerang Faizal dan Muhyiddin.”
Syed Saddiq berkata serangan Hamidah didokumenkan dalam mesej WhatsApp dari pelbagai pihak, dan dalam perbualan dengan ahli parti.
“Jadi (PPBM) menang atau kalah (pilihan raya umum akan datang) … jika dia punca keadaan ini, lebih baik tinggalkan parti ini.
“Saya tidak fikir parti perlu bertolak ansur dengan orang yang masuk parti hanya untuk kuasa dan kedudukan.”
Pada Jumaat, Ketua Bahagian Ipoh Timur PPBM, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Teluk Intan Jemaat Yaacob membawa lebih 1,000 anggota PPBM bahagian Perak menyerahkan surat peletakan keahlian mereka.

Azrul dipetik sebagai berkata Muhyiddin gagal untuk menyelesaikan konflik di peringkat kebangsaan dan negeri walaupun diberi seminggu untuk berbuat demikian.
Bekas ketua pendaftar PPBM negeri itu juga berkata beliau kecewa kerana tiada tindakan diambil selepas beliau mengingatkan bekas timbalan perdana menteri tentang peletakan keahlian yang akan membawa kesan negatif terhadap imej dan kredibiliti parti.
Tetapi menurut Syed Saddiq, lebih baik mereka meninggalkan sekarang dan bukan apabila PPBM, bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH), berjaya melangkah ke Putrajaya.
Ini kerana kerosakan mereka yang didakwa “ejen Umno” boleh lakukan jika PH menjadi kerajaan adalah lebih teruk.

“Parti akan menjadi lebih kuat kerana ini berbeza dengan orang yang meninggalkan parti, sebagai contoh, atas kesalahan jenayah yang dilakukan pucuk pimpinan parti, atau apabila kita tidak menjalankan tugas kami.
“Jika kita melihat Mahathir, Muhyiddin, dan (timbalan presiden PPBM) Mukhriz Mahathir, setiap hari mereka bergerak ke seluruh Malaysia untuk memberi ceramah.
“Tetapi apabila ia mengenai orang yang tamak dan gila kuasa, saya fikir lebih baik mereka meninggalkan parti agar parti kekal bersih daripada orang korup dan tamak.

Syed Saddiq berkata demikian selepas Mahathir di blognya 22 Mei lepas berkata mereka yang menggesa Muhyiddin meletak jawatan atau dipecat, mahu menggagalkan usaha PPBM untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya umum ke-14.
Hamidah ketika dihubungi untuk mengulas dakwaan ini, berkata beliau akan menjawabnya “kemudian”.


‘Budak hingusan’ jangan angkuh cabar naib presiden, kata Khairuddin

PETALING JAYA: Seorang ahli politik mentah seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman jangan angkuh mencabar orang yang lebih atas daripadanya, kata bekas pengasas bersama PPBM Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Menjawab kenyataan ketua pemuda PPBM itu, Khairuddin berkata Syed Saddiq perlu merendah diri kerana dia masih baru dalam kerjaya politiknya.
“Banyak asas serta peradaban politik yang budak hingusan ini harus pelajari dalam politik. Dalam politik kita harus bersikap tawadduq, rendah diri, berjiwa besar dan minda terbuka seikhlas mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Andaikata saya ini ketua pemuda PPBM, pendekatan yang akan diambil untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti ialah dengan mengadaptasikan kaedah memujuk agar semua balik ke pangkuan parti.”

Khairuddin mengulas cabaran Syed Saddap terhadap Naib Presiden PPBM Hamidah Osman hari ini.
Semasa bercakap kepada FMT awal hari ini, Syed Saddiq mencabar Hamidah meletak jawatan, mendakwa beliau bertanggungjawab bagi perpecahan di Perak.
Ini berlaku selepas lebih 1,000 ahli PPBM Perak meletak jawatan, kononnya disebabkan kelemahan pimpinan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Syed Saddiq juga menyifatkan Hamidah sebagai seorang hipokrit yang kecewa selepas Muhyiddin tidak menamakan beliau sebagai ketua PPBM negeri.
“Cabar mencabar secara melulu merupakan cara angkuh yang hanya akan mengeruhkan lagi suasana dalaman parti,” kata Khairuddin.

“Reaksi budak hingusan Syed Saddiq ini akan membuatkan lebih ramai rakyat jelata bertambah menyampah dengan parti nanti,” katanya.
Khairuddin akui beliau sebagai orang luar tidak berhak mencampuri urusan dalaman PPBM, tetapi beliau mahu mengingatkan orang ramai sedang memerhatikan mereka.
Oleh itu, semua konflik dalaman mesti dikendalikan secara profesional dengan cara yang akan membuahkan hasil positif.

“Jangan jadikan PPBM sebagai sebuah parti berimej angkuh,” kata Khairuddin.
Pada Jumaat, Ketua Bahagian Ipoh Timur PPBM, Azrul Suhadi Ahmad Mokhtar dan Ketua Teluk Intan Jemaat Yaacob membawa lebih 1,000 ahli PPBM Perak menyerahkan surat peletakan keahlian mereka.

Azrul dipetik sebagai berkata Muhyiddin gagal untuk menyelesaikan konflik di peringkat kebangsaan dan negeri walaupun diberi seminggu untuk berbuat demikian.
Tetapi menurut Syed Saddiq, lebih baik mereka meninggalkan sekarang dan bukan apabila PPBM, bersama-sama dengan Pakatan Harapan (PH), berjaya melangkah ke Putrajaya.
Ini kerana kerosakan mereka yang didakwa “ejen Umno” boleh lakukan jika PH menjadi kerajaan adalah lebih teruk.



PETALING JAYA: Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengajak semua pihak yang menggelarnya “budak hingusan” untuk berdialog dengannya daripada berselindung disebabkan faktor umur.

Syed Saddiq berkata demikian selepas bekas pengasas bersama PPBM Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menggelarnya “budak hingusan” yang angkuh mencabar seseorang yang lebih atas daripadanya, dalam kenyataan hari ini.
“Dulu pun Umno-BN panggil saya budak hingusan. Datuk Seri Nazri Aziz panggil saya budak hingusan sebab mengkritik Datuk Seri Najib. Pemimpin MCA panggil saya budak hingusan kerana mengutuk hipokrasinya,” katanya dalam kenyataan balas terhadap Khairuddin.
Syed Saddiq juga menyelar pihak yang hanya mendiamkan diri selepas diajak untuk bersemuka, berdialog ataupun berdebat.

Dalam membalas kenyataan Khairuddin yang menyatakan ketua pemuda itu perlu merendah diri disebabkan masih baru dalam kerjaya politiknya, Syed Saddiq berkata semua badan pemuda di peringkat negeri berjaya ditubuhkan, selain di peringkat pusat.
Beliau juga mengingatkan lebih 55% jumlah ahli PPBM dari golongan anak muda bawah usia 35 tahun.

Semasa bercakap kepada FMT awal hari ini, Syed Saddiq mencabar Hamidah meletak jawatan kerana beliau percaya Hamidah bertanggungjawab ke atas perpecahan PPBM di Perak.
Syed Saddiq juga menyifatkan Hamidah sebagai seorang hipokrit yang kecewa selepas Muhyiddin tidak menamakan beliau sebagai ketua PPBM negeri.
Khairuddin berkata semua konflik dalaman mesti dikendalikan secara profesional dengan cara yang akan membuahkan hasil positif.

0 Komentar untuk "Syed Saddiq cabar naib presiden PPBM letak jawatan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI