Surah al-Kahf telah diturunkan kepada Nabi Muhammad apabila kaum Quraysh, menghantar 2 orang individu bagi menyiasat sama ada kaum Yahudi, dengan pengetahuan mereka tentang kitab-kitab suci, mampu menasihati mereka sama ada Nabi Muhammad adalah utusan Tuhan yang sebenar
Pendeta Yahudi menyuruh 2 individu tersebut bertemu Nabi Muhammad untuk bertanyakan tentang 3 perkara, salah satu daripadanya adalah soalan berkenaan 'seorang lelaki yang mengembara ke timur dan barat Bumi, dan kisahnya'. Kata pendeta tersebut:
Sekiranya baginda dapat menjawab soalan ini, maka baginda adalah seorang utusan Tuhan, maka ikutilah baginda. Sekiranya baginda tidak dapat menjawabnya, maka lakukanlah apa-apa yang anda rasakan sesuai terhadap baginda.
3 soalan di bawah adalah persoalan yang bermain di minda penulis, dan dijawab berdasarkan rujukan yang penulis lakukan. Semoga kesemua persoalan ini dapat memberi sedikit pencerahan kepada para pembaca tentang kisah Dhul-Qarnayn seperti yang disebutkan di dalam kitab suci Al- Quran.
Soalan 1: Siapakah Sebenarnya Individu Dalam Sejarah Yang Merupakan Dhul-Qarnayn?
Al-Quran ada menceritakan tentang kisah Dhul-Qarnayn atau turut dirujuk sebagai Zulqarnain (yang bertanduk dua) di dalam Surah al-Kahf (83-98).
Terdapat 3 insiden di dalam surah ini, dan kisah Zulqarnain adalah salah satu daripadanya. Surah ini diturunkan sebagai jawapan kepada 3 persoalan yang dibangkitkan oleh kaum Quraish, dan sebagai peringatan kepada umat manusia. Al-Quran tidak menyebut secara khusus nama mahupun individu yang mewakili Zulqarnain. Namun, terdapat beberapa hint yang diberi Al-Quran yang membantu dalam menentukan siapakah Zulqarnain yang sebenarnya.
Soalan pertama merujuk kepada siapakah personaliti dalam sejarah dunia yang mempunyai persamaan dengan Zulqarnain dari segi kepercayaan
keagamaan dan perwatakan, serta melalui 3 pengembaraan seperti yang disebut di dalam Al-Quran. Al-Quran ada menyebut bahawa Zulqarnain adalah seorang pemerintah yang mempunyai sebuah empayar yang sangat luas, dan sebenarnya terdapat 2 individu dalam sejarah sebelum kedatangan Islam yang memenuhi ciri-ciri ini.
Mereka adalah Alexander the Great, seorang pemerintah berbangsa Greek dan Cyrus the Great, seorang pemerintah berbangsa Parsi. Apabila berbicara tentang Zulqarnain, Al-Quran turut menyebut bahawa baginda adalah seorang yang percaya tentang tawhid, yakni Tuhan itu satu dan turut yakin tentang kehidupan di akhirat. Al-Quran turut menceritakan tentang perwatakan Zulqarnain sebagai seorang yang baik hati serta adil dan saksama.
Menurut sejarah, Alexander the Great adalah seorang polytheist, yakni mempercayai lebih daripada satu Tuhan, dan tidak ada satu rekod sejarah yang menunjukkan bahawa baginda adalah seorang yang baik hati mahupun adil. Berlainan pula dengan Cyrus the Great, di mana terdapat beberapa insiden yang menunjukkan kebaikan dan keadilan terhadap subjeknya. Malah, perwatakan Cyrus ini turut diiktiraf oleh kedua rakan dan musuh.
Dari segi kepercayaan agama Cyrus, baginda adalah seorang penganut Zoroastrianism, sebuah agama baharu pada ketika itu. Zarathustra yang turut dikenali sebagai Prophet Zoroaster atau Avestan adalah individu yang bertanggungjawab berdakwah kepada Cyrus tentang kepercayaan kepada Tuhan yang satu, serta kehidupan di akhirat dan amalan kebaikan yang menjadi sebahagian daripada agama tersebut. Untuk menjawab soalan pertama, kisah tentang Cyrus the Great memenuhi ciri-ciri Zulqarnain yang disebut di dalam Al-Quran.
Soalan 2: Apakah Kaitan Cyrus the Great dengan Dhul-Qarnayn, dan Kepentingannya Terhadap Kaum Yahudi?
Bagi mereka yang tahu tentang sejarah Yahudi, sudah pasti anda pernah mendengar tentang kisah kejatuhan kerajaan Judea atau Kingdom of Judah (kerajaan Yahudi) pada kurun ke-6 BC kepada raja Babylon iaitu Nebuchadnezzar. Kuil Jerusalem turut dijarah dan dimusnahkan. Sejak dari itu, kaum Yahudi hidup di Babylon sebagai tawanan perang selama 70 tahun. Pada ketika itu, Nabi Daniel telah dilantik daripada kalangan kaum Yahudi. Sebagai seorang Nabi, baginda ada menerima wahyu dari Tuhan tentang kemunculan seorang penyelamat Yahudi, yang akan membebaskan kaum itu daripada tawanan Babylon.
Dalam mimpi tersebut, Nabi Daniel melihat penyelamat itu sebagai seekor biri-biri yang bertanduk dua (Daniel 8:1-4). Bertanduk dua diterjemahkan sebagai metafora yang menunjukkan dua buah kerajaan suku kaum Media (Medes) dan Parsi yang disatukan, dan biri-biri pula mewakili penyelamat sebagai pemerintah kepada dua buah kerajaan yang bersatu. Menurut rekod sejarah, pemerintah yang berjaya menyatukan Media dan Parsi adalah Cyrus the Great.
Baginda adalah individu yang bertanggungjawab menakluki kerajaan Babylon dan membebaskan kaum Yahudi daripada tawanan dan membenarkan mereka pulang ke tempat asal mereka bagi membina semula kuil suci. Atas sebab inilah kaum Yahudi sangat menghargai baginda sebagai penyelamat kaum itu. Menurut Yahudi selain Nabi Daniel, Nabi Isaiah dan Nabi Jermiah turut meramalkan kehancuran Jerusalem, penawanan kaum Yahudi, dan pembebasan mereka oleh seorang penyelamat (Isaiah 44:26-28, 45:1-3) (Jermiah 50:1-3, 29:11).
Berdasarkan penerangan ini, adalah jelas bahawa kaum Yahudi sangat mengagumi dan menghormati raja Parsi Cyrus the Great. Ini turut menjawab persoalan yang diutarakan bahawa kaum Yahudi turut percaya tentang seorang individu sejarah yang memenuhi ciri-ciri Zulqarnain. Individu tersebut (iaitu Cyrus) yang dikisahkan di atas turut memenuhi jawapan kepada soalan pertama. Perbicangan ini jelas menunjukkan bahawa terdapat persamaan ketara antara individu sejarah yang bernama Cyrus the Great dengan personaliti Zulqarnain yang disebut di dalam Al-Quran.
Soalan 3: Apakah Kaitan Antara 3 Pengembaraan (Penaklukan) Zulqarnain Dengan Alexander, Cyrus dan Yakjuj Makjuj?
Adalah penting untuk menceritakan secara ringkas pengembaraan/penjelajahan dan dinding yang dibina oleh Zulqarnain. Al- Quran ada menyebut tentang 3 pengembaraan yang dilakukan oleh
Zulqarnain iaitu ke barat, timur dan suatu lagi arah. Alexander the Great pernah melakukan dua buah penjelajahan bagi meluaskan daerah taklukan iaitu ke timur dan selatan. Selepas menjadi raja Parsi, Cyrus the Great melakukan penjelajahan ke barat, timur dan utara, dan berjaya menakluki 80 peratus kawasan dunia pada ketika itu.
Ketika pengembaraan ke barat, Cyrus the Great berjaya menakluki bandar Lydia dan Lonian di pesisiran pantai barat Asia Minor (Turki). Kemungkinan besar ini adalah ekspedisi yang disebut di dalam Al-Quran di mana Zulqarnain sampai ke sebuah kawasan di mana baginda melihat matahari tenggelam di dalam air. Ada pendapat mengatakan itu adalah sebuah metafora yang menerangkan tentang penaklukan arah barat dan pengalaman yang dilalui oleh baginda ketika sedang berdiri di pantai Mediterranean di Asia Minor. Baginda mungkin melihat imej yang sama (matahari tenggelam ke laut) di hadapannya pada ketika itu.
Kemudiannya, Cyrus bertemu dengan sebuah suku kaum kejam yang mengamalkan kehidupan secara berpindah randah ketika penaklukan di timur. Al-Quran turut menyebut tentang pengembaraan ke-3 Zulqarnain. Andai kata Cyrus the Great adalah Zulqarnain, pengembaraan tersebut boleh dikaitkan dengan penaklukan Cyrus ke utara (timur laut empayarnya), iaitu di sebuah kawasan pergunungan Caucasus, di antara Laut Hitam dan Laut Caspean. Di sana, Cyrus mengarahkan pembinaan sebuah halangan bagi menghalang serangan suku kaum kejam yang hidup di bahagian pergunungan Caucasus. Suku kaum tersebut dirujuk sebagai Yakjuj dan Makjuj (Gog and Magog) seperti di dalam Al-Quran. Bagi lokasi dinding halangan yang dibina pula, ia mungkin berada di kawasan pergunungan Caucasus yang dikenali sebagai Dariel Pass.
KESIMPULAN
Berdasarkan perbicangan ini, penulis berpandangan bahawa kemungkinan besar bahawa Cyrus the Great adalah individu yang disebut sebagai di dalam Al-Quran sebagai Zulqarnain. Perbincangan ini hanya berdasarkan persamaan antara personaliti menurut rekod sejarah, dan ciri-ciri yang disebut di dalam Al-Quran. Walaubagaimanapun, perlu diingatkan bahawa Al-Quran sama sekali tidak menyebut nama mana-mana individu sebagai Zulqarnain, dan adalah perlu dielakkan untuk mengatakan mana-mana pandangan sebagai fakta. Kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan bagi menjawab persoalan- persoalan di atas dengan hujah dan bukti yang lebih teliti, dan pintu kajian dan tafsiran sentiasa terbuka untuk semua.
KISAH DZULQARNAIN
SURAH AL-KAHFI (18)(83-99)
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai Zulkarnain. Katakanlah: "Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Allah yang menerangkan) sedikit tentang perihalnya": (83) Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi, dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya. (84) Lalu ia menurut jalan (yang menyampaikan maksudnya). (85) Sehingga apabila ia sampai ke daerah matahari terbenam, ia mendapatinya terbenam di sebuah matair yang hitam berlumpur, dan ia dapati di sisinya satu kaum (yang kufur ingkar). Kami berfirman (dengan mengilhamkan kepadanya): "Wahai Zulkarnain! Pilihlah sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka". (86)
Ia berkata: "Adapun orang yang melakukan kezaliman (kufur derhaka), maka kami akan menyeksanya; kemudian ia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkannya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya. (87) Adapun orang yang beriman serta beramal soleh, maka baginya balasan yang sebaik-baiknya; dan kami akan perintahkan kepadanya perintah-perintah kami yang tidak memberati". (88) Kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. (89)
Sehingga apabila ia sampai di daerah matahari terbit, ia mendapatinya terbit kepada suatu kaum yang kami tidak menjadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya. (90) Demikianlah halnya; dan sesungguhnya Kami mengetahui secara meliputi akan segala yang ada padanya. (91) kemudian ia berpatah balik menurut jalan yang lain. (92) Sehingga apabila ia sampai di antara dua gunung, ia dapati di sisinya satu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perkataan. (93) Mereka berkata: "wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" (94)
Dia menjawab: "(kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku jadikan daku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah daku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh. (95) Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu, dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu" sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya". (96) Maka mereka tidak dapat memanjat tembok itu, dan mereka juga tidak dapat menebuknya. (97)
(Setelah itu) berkatalah Zulkarnain: "Ini ialah suatu rahmat dari Tuhanku; dalam pada itu, apabila sampai janji Tuhanku, Dia akan menjadikan tembok itu hancur lebur, dan adalah janji Tuhanku itu benar". (98) Dan Kami biarkan mereka pada hari itu (keluar beramai-ramai) bercampur-baur antara satu dengan yang lain; dan (kemudiannya) akan ditiup sangkakala, lalu Kami himpunkan makhluk-makhluk seluruhnya di Padang Mahsyar. (99)
0 Komentar untuk "Kaitan Antara Dhul-Qarnayn, Alexander the Great, Cyrus the Great & Yakjuj Makjuj"