Subsidi patut capai matlamat untuk dinikmati golongan sasar - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Subsidi patut capai matlamat untuk dinikmati golongan sasar

CADANGAN Pergerakan Pemuda Umno supaya kerajaan merombak sistem subsidi bagi memastikan pengagihan lebih adil dan hanya rakyat yang benar-benar layak serta berhak, menikmati keistimewaan itu, bukannya golongan kaya, mencerminkan pandangan generasi muda negara mengenai budaya subsidi di negara ini. Kita berpendapat cadangan itu, yang disuarakan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, perlu diberi perhatian oleh kerajaan sebagai permulaan mengurangkan pelbagai bentuk subsidi, terutama yang lebih menguntungkan kalangan peniaga dan kaya. Langkah ini penting kerana harga minyak dunia terus melambung. Sistem subsidi yang diamalkan sekarang bukan saja tidak adil kepada golongan miskin, malah satu pembaziran kerana turut dinikmati golongan kaya. Walaupun rakyat masih memerlukan subsidi tertentu, pendekatan dan pelaksanaannya perlu diubah supaya ia benar-benar dinikmati oleh kumpulan sasar, bukannya pengilang, peniaga dan pedagang. Semakin banyak negara membangun menghapus atau mengubah pendekatan subsidi mereka ekoran kenaikan berterusan harga minyak dunia. Kerajaan China baru-baru ini, walaupun menyediakan subsidi pengangkutan di luar bandar, menaikkan harga minyak hampir 10 peratus. Di negara ini, ada golongan tertentu memanipulasi bahan api serta menyelewengkan pemberian subsidi seperti diesel, meskipun niat kerajaan baik untuk pemberian subsidi itu.

Mungkin belum tiba masanya untuk menghapuskan subsidi secara total, tetapi akhirnya nanti, kita semua perlu menerima hakikat bahawa subsidi cuma bersifat sementara, dan ia bukan tongkat untuk kita bergantung selama-lamanya. Kita yakin rakyat yang berfikiran rasional tidak akan marah jika kerajaan dapat mengurangkan subsidi atau kekalkan hanya untuk rakyat yang memerlukan. Bayangkan, tahun ini saja kerajaan membelanjakan RM35 bilion bagi bantuan subsidi iaitu 25 peratus daripada hasil kerajaan. Dengan RM35 bilion itu, kita boleh membangunkan projek sosioekonomi untuk rakyat khususnya di luar bandar. Kerajaan juga sudah berjanji tidak akan menaikkan harga minyak dalam tahun ini, tetapi rakyat hendaklah bersedia untuk berhadapan kemungkinan kenaikan itu berlaku tahun depan memandangkan aliran harga minyak sedunia yang terus melambung.

Satu lagi perkara yang dibangkitkan Khairy dalam perbahasan itu ialah mengenai isu monopoli dalam rantaian bekalan sehingga memberi kesan kepada beberapa akhbar utama yang sepatutnya menyiarkan ucapan Presiden dalam edisi kelmarin, tidak dapat mencetak akhbar kerana masalah vendor atau pengedar bercuti sempena Deepavali. Isu ini adalah sama dengan isu pekerja asing dalam industri tertentu dan andainya jumlah pekerja asing dikurangkan secara mendadak, sudah pasti industri tertentu seperti peladangan dan pembinaan, akan lumpuh. Justeru, rantaian bekalan seperti disarankan Khairy perlu diberi perhatian bukan saja oleh syarikat penerbitan, malah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya tidak tertumpu kepada kaum tertentu. Bagi GLC umpamanya, mereka boleh menggunakan dana untuk membantu usahawan Melayu memasuki rantaian bekalan seperti menjadi vendor. Kepada GLC terutama yang terbabit dalam projek pembangunan koridor ekonomi wilayah, rantaian bekalan ini perlu dilipatgandakan dengan tumpuan kepada usaha membantu usahawan Melayu. Isu mengenai GLC turut dibangkitkan dalam perhimpunan kali dan apa yang kita harapkan, ketua eksekutif GLC mengambil berat segala pandangan perwakilan. Mereka tidak perlu menunggu arahan kerajaan dan sebarang perkara yang boleh dilaksanakan, lakukanlah segera.
0 Komentar untuk "Subsidi patut capai matlamat untuk dinikmati golongan sasar"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI