Parlimen bubar Khamis -- Pakistan adakan pilihan raya sebelum 9 Januari - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Parlimen bubar Khamis -- Pakistan adakan pilihan raya sebelum 9 Januari


Berpeluh... Pervez Musharraf dalam nada marah dan berang mengumumkan pembubaran Parlimen Pakistan pada sidang akhbar khas di Islamabad, semalam. – AFP.

ISLAMABAD 11 Nov. – Presiden Jeneral Pervez Musharraf hari ini memecah kebuntuan mengenai masa depan demokrasi Pakistan apabila mengotakan janjinya untuk mengadakan pilihan raya bagi memberi laluan kepada pemerintahan awam.

Dalam sidang media khas hari ini, Pervez mengumumkan bahawa pilihan raya umum tersebut akan diadakan sebelum 9 Januari tetapi Pakistan masih terikat di bawah undang-undang darurat yang diisytiharkan pada 3 November lalu.

Menurut Pervez, Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen) akan dibubarkan pada Khamis ini sementara kesemua dewan undangan wilayah akan ditamatkan pada 20 November.

“Tarikh sebenar pilihan raya tersebut akan diputuskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan.

“Namun ini merupakan pembubaran bersejarah kerana buat kali pertama kesemua dewan akan menyempurnakan penggal masing-masing,’’ tegas Pervez.

Musuh politiknya, Benazir Bhutto menerima baik pengumuman tersebut dan menganggapnya sebagai satu langkah positif ke arah demokrasi.

“Ia adalah langkah positif pertama tetapi masih banyak yang perlu dilakukan,’’ kata Benazir.

Sementara itu, Pervez bagaimanapun enggan menjawab bilakah perlembagaan negara akan dipulihkan atau tarikh sebenar undang-undang darurat akan ditarik balik.

Peguam Negara, Malik Mohammed Qayyum kelmarin menegaskan bahawa undang-undang darurat tersebut akan ditarik balik dalam tempoh sebulan lagi.

“Undang-undang darurat akan diteruskan bagi memastikan pilihan raya itu dilaksana dengan adil dan telus tetapi kita tidak campur tangan dalam proses tersebut,’’ kata Pervez.

Beliau yang ada ketikanya bercakap dalam nada suara yang agak marah dan berang berkata, pengisytiharan darurat itu dilakukan demi kepentingan Pakistan dan bukannya untuk menyelamatkan kedudukan politiknya.

“Ia merupakan keputusan yang paling sukar pernah saya ambil seumur hidup. Saya tidak mahu menjahanamkan negara. Saya mendapati diri saya berada dalam kedudukan yang sukar untuk memilih.

“Saya tidak mempunyai ego peribadi atau kepentingan diri untuk dipertahankan tetapi meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

“Saya ingin tegaskan, apa saja kesannya, saya akan tanggung dan saya akan hadapi,’’ tegas beliau.

Ketua tentera Pakistan itu turut memberitahu media bahawa beliau akan meletak jawatan dalam tentera dan mengangkat sumpah sebagai Presiden awam sebaik sahaja Mahkamah Agung mengetepikan petisyen yang mencabar kesahihan pemilihan beliau pada 6 Oktober lalu.

“Saya harap perkara itu akan berlaku secepat mungkin. Namun walaupun saya tidak lagi mengenakan uniform, tentera masih bersama saya,’’ tegas beliau.

Kenyataan itu sekali gus menjawab persoalan mengenai bagaimana Pervez akan mendapatkan sokongan bagi memastikan beliau menjadi Presiden yang berkuasa di negara kuasa nuklear ini setelah meletak jawatan daripada tentera.

Terdahulu, Pervez hari ini turut mengumumkan pindaan undang-undang bagi memberikan kuasa meluas kepada mahkamah tentera untuk membicarakan orang awam atas pelbagai tuduhan termasuk mengkhianat dan mencetuskan kekacauan awam.

Setakat ini, pihak berkuasa telah menahan ramai penentang yang disifatkan menimbulkan kekacauan selain menekan mereka yang paling lantang mengkritik Pervez, termasuk badan kehakiman yang semakin bebas dan pihak media.

Beribu-ribu orang telah ditangkap, stesen berita televisyen ditutup dan hakim- hakim dipecat.

0 Komentar untuk "Parlimen bubar Khamis -- Pakistan adakan pilihan raya sebelum 9 Januari"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI