Pilih penulis di kalangan pakar, berpengalaman - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pilih penulis di kalangan pakar, berpengalaman

KEBANYAKAN guru terutama yang mengajar mata pelajaran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris berpendapat buku teks yang dibekalkan ke sekolah sebagai kurang membantu guru menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Malah, hasil soal selidik yang dijalankan Berita Harian terhadap 170 guru sekitar Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Johor, Labuan dan beberapa daerah di Selangor mendapati kebanyakan mereka memilih untuk tidak menggunakan buku teks sekiranya diberi pilihan lain.

Gambaran itu sekali gus menunjukkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dan perlu dilihat semula oleh Kementerian Pelajaran terutama apabila kerajaan mengumumkan untuk membekalkan buku teks secara percuma kepada semua pelajar seluruh negara tanpa mengira latar belakang ekonomi dan pendapatan keluarga.

Soal selidik Berita Harian mengetengahkan beberapa persoalan untuk melihat sejauh mana kebenaran dakwaan sebahagian guru berkenaan buku teks dengan fokus kepada guru bahasa Malaysia, bahasa Inggeris, matematik, sejarah dan sains di sekolah rendah dan menengah.

Hasil soal selidik itu mendapati 65 peratus daripada 170 guru mengkelaskan buku teks sebagai kurang dan tidak membantu dalam memudahkan proses penyampaian pengajaran dan pembelajaran di kelas.

Malah, 56 peratus daripada mereka memberi alasan terpaksa menggunakan buku teks lantaran tiada pilihan lain selain terpaksa akur arahan kementerian yang mengkehendaki setiap topik dalam buku teks perlu dihabiskan sebelum akhir sesi persekolahan.

Selain itu, 62 peratus daripada mereka juga berpendapat kurang atau tidak menggunakan buku teks sekiranya ada pilihan lain.

Merujuk kepada kesesuaian buku teks bagi semua peringkat pelajar, 70 peratus daripada mereka tidak bersetuju buku teks adalah bahan yang sesuai untuk semua peringkat pelajar, malah jauh tidak sesuai bagi pelajar luar bandar dan murid lemah.

Guru bahasa Malaysia dari SK Tanjung Tokong, Pulau Pinang, Norhasmiza Md Noor, berkata buku teks yang dibekalkan ke sekolah terlalu tinggi arasnya untuk kegunaan pelajar lemah terutama pelajar dalam tahap satu sekolah rendah.

Beliau berkata, guru terpaksa memberi jawapan untuk setiap soalan dalam buku teks dan meminta murid menyalin sepenuhnya jawapan itu kerana sekiranya murid diminta menjawab sendiri, pastinya murid tidak mampu menjawabnya.

Guru Bahasa Malaysia dari SJK (C) Hun Bin, Pulau Pinang, pula berpendapat buku teks yang dihasilkan tidak seiring dengan kehendak sistem pendidikan negara yang jelas berorientasikan peperiksaan.

Katanya, guru terpaksa mencari bahan lain atau meminta pelajar membeli buku tambahan bagi memudahkan guru menyiapkan pelajarnya dengan kemahiran menjawab soalan peperiksaan, walaupun hakikatnya kementerian tidak menggalakkan penggunaan buku luar.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim, berkata penghasilan buku teks sewajarnya perlu sesuai dengan semua peringkat pelajar tidak kira sama ada kelompok pelajar bandar atau di pedalaman.

Namun, katanya, apa yang berlaku kini, buku teks hanya sesuai untuk kelompok pertengahan dan langsung tidak sesuai bagi kelompok pelajar elit kerana bahannya tidak sesuai malah langsung tidak sesuai bagi kawasan pedalaman kerana bahannya pula dirasakan terlalu tinggi arasnya.

Beliau berkata, guru dibebani dengan kehendak ibu bapa yang mahu melihat anak mereka cemerlang dalam peperiksaan menyebabkan kebanyakan guru terpaksa mengambil jalan pintas menggunakan lebih banyak buku latihan luar berbanding buku teks yang terlalu berselirat dengan kemahiran sepanjang hayat.

"Justeru, suka atau tidak, arahan atau larangan, guru tetap akan menggunakan pelbagai bahan lain termasuk meminta pelajar membeli buku kerja luar bagi memastikan murid menerima latihan yang secukupnya menghadapi peperiksaan.

"Satu kajian segera perlu dibuat bagi melihat kembali isi dalam buku teks supaya sekurang-kurangnya selari dengan kehendak pendidikan dan matlamat pendidikan di sekolah serta dapat menyediakan pelajar dengan latihan secukupnya berkenaan kemahiran yang mahu diajar," katanya.

Beliau berkata, apa yang mendukacitakan ialah penulis buku teks bukan dipilih di kalangan guru pakar dan berpengalaman tetapi dipertanggungjawabkan kepada Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) semata-mata.

Katanya, kelemahan ketara dalam buku teks adalah bahannya yang terlalu bersifat umum sehingga memaksa guru berfikir panjang serta memakan masa lama untuk membolehkan pelajar menguasai sesuatu kemahiran.

"Justeru, saya sendiri lebih gemar menggunakan bahan daripada surat khabar ketika mengajar terutama membabitkan subjek Bahasa Malaysia kerana bahannya lebih tepat, fokus dan sentiasa mengikut peredaran zaman," katanya.

"Apa yang saya perhatikan, penulis buku teks dan penghasilan buku teks itu sendiri lebih bersifat 'syok sendiri' sehingga mengenepikan keperluan dan kehendak guru ketika mengajar. Reformasi dalam sistem pendidikan perlu dilakukan segera bagi menyelamatkan berbilion ringgit wang kerajaan untuk membekalkan buku teks kepada pelajar tetapi kurang digunakan," katanya.
0 Komentar untuk "Pilih penulis di kalangan pakar, berpengalaman"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI