Minda Pengarang:Usah biarkan perhimpunan haram gugat keamanan - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Minda Pengarang:Usah biarkan perhimpunan haram gugat keamanan

PERHIMPUNAN haram di Dataran Merdeka sehingga ke Masjid Jamek di ibu negara kelmarin, mengembalikan ingatan kita kepada perarakan reformasi selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada kerajaan dan Umno pada 1998. Apakah hasilnya? Banyak harta benda ketika itu musnah, peniaga gelisah hingga terpaksa menutup kedai lebih awal, orang ramai termasuk pelancong berasa tidak selamat dan pelabur melarikan diri dari Malaysia. Apakah keadaan sebegini mahu diulang kembali meskipun atas alasan berbeza? Pada perhimpunan kali ini, Anwar sendiri hadir selaku Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kemudian bersama sembilan wakil termasuk Ketua Pembangkang Lim Kit Siang; Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyerahkan memorandum tuntutan berkaitan proses pilihan raya kepada Istana Negara. Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tiada di istana ketika itu kerana berangkat ke Terengganu, Jumaat lalu untuk merasmikan serta mengambil bahagian dalam Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Terengganu 2007 di Setiu.

Demonstrasi anjuran 26 badan bukan kerajaan (NGO) dan disertai parti pembangkang kelmarin menyebabkan kesesakan teruk di jalan raya. Polis terpaksa membuat pemeriksaan di beberapa jalan utama memasuki pusat bandar demi menjamin keselamatan orang ramai. Bagaimanapun perhimpunan itu gagal menghimpunkan sekitar 100,000 orang seperti diuar-uarkan penganjur sebelum ini. Sekitar 4,000 orang berhimpun secara haram dan pihak polis meleraikan mereka dengan menggunakan gas pemedih mata dan penyembur air. Seramai 245 orang ditahan dan kemudian dibebaskan selepas keterangan mereka diambil. Yang menyedihkan, orang ramai yang sedang bercuti serta membawa anak dan ahli keluarga bersiar-siar atau membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur, turut terperangkap beberapa jam akibat perhimpunan itu. Sesetengah peniaga pakaian, makanan, alat telekomunikasi, salun kecantikan dan kedai buku pula terpaksa menutup premis mereka lebih awal bagi mengelak kejadian tidak diingini. Ekoran kejadian itu, mereka mendakwa kehilangan pendapatan ribuan ringgit. Apa yang jelas, demonstrasi itu menyusahkan orang ramai dan jika tidak ditangani dengan segera mungkin menimbulkan kekacauan.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyifatkan tindakan pembangkang menyerahkan memorandum berhubung beberapa tuntutan mengenai proses pilihan raya di Malaysia kepada Istana Negara itu sebagai cubaan mengheret institusi Raja terutama Yang di-Pertuan Agong ke kancah politik. Bagaimanapun, Perdana Menteri percaya Yang di-Pertuan Agong lebih matang dan tidak terperangkap dengan taktik politik pembangkang. Mereka yang berkeras mengadakan perhimpunan tanpa permit itu sebenarnya mencabar undang-undang negara, bukan mencabar kerajaan. Kita mengucapkan syabas kepada polis kerana menangani perhimpunan dan demonstrasi jalanan itu dengan baik. Kita berharap pihak pembangkang dan NGO tidak menggunakan isu �tidak demokratik� itu sebagai alasan kebebasan mereka disekat dan diharap mereka tidak sesuka menuduh polis kerana menurut Ketua Polis Negara, pihaknya tidak menggunakan kekerasan meleraikan perhimpunan itu. Hakikatnya, polis tidak membenarkan sebarang perhimpunan yang boleh menggugat ketenteraman awam kerana kerajaan lebih mengutamakan keamanan, kestabilan dan kepentingan awam. Perhimpunan haram boleh membawa pelbagai kesan terhadap industri pelancongan dan menyusahkan banyak pihak selain menimbulkan kebimbangan orang ramai termasuk peniaga.


0 Komentar untuk "Minda Pengarang:Usah biarkan perhimpunan haram gugat keamanan"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI