Bayaran RM170,000 dikenakan kepada tetamu menginap satu malam
SUWON: Seorang ahli politik Korea Selatan yang dikenali sebagai 'Mr Toilet' kerana kempennya untuk mengindahkan tandas awam membuktikan cita-citanya itu dengan mendiami sebuah rumah berbentuk bilik air.
Sim Jae-duck membina rumah dua tingkat berbentuk tandas yang dijangka siap semalam bagi menyambut mesyuarat pembukaan Persatuan Tandas Dunia lewat bulan ini.
Kumpulan itu, yang mendapat sokongan kerajaan Korea Selatan, bertujuan melancarkan 'revolusi tandas' dengan menyedarkan orang ramai supaya membuka pintu bilik mandi mereka bagi kebaikan kebersihan seluruh dunia.
Wakil dari 60 negara akan berkumpul di Seoul merangsang penubuhan persatuan tandas kebangsaan di negara masing-masing dan menyebarkan kepada dunia mengenai kebersihan.
Penganjur berkata, isu itu layak mendapat perhatian lebih meluas dan memetik perangkaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kira-kira 2.5 bilion penduduk dunia tinggal tanpa tahap kebersihan atau bekalan air sempurna.
"Revolusi tandas perlu bermula dengan bercakap mengenai isu tandas secara bebas," kata Song Young-kwon, ketua jawatankuasa penganjur bagi persidangan lima hari yang bermula 21 November ini.
Persidangan itu akan diiringi dengan ekspo tandas menonjolkan pameran untuk menarik minat orang ramai mengenai matlamatnya: termasuk bilik mandi 'Hansel and Gretel' diperbuat daripada biskut dan gula-gula yang akan diberi kepada kanak-kanak apabila mereka mengepam tandas dan 'kafe galeri tandas' yang membolehkan pengunjung duduk di atas penutup berwarna warni sambil minum teh.
Sim adalah ahli perundangan dalam Perhimpunan Kebangsaan dan berharap rumahnya yang berbentuk tandas di Suwon, kira-kira 45 kilometer ke selatan Seoul, akan membantu menarik perhatian kepada matlamat mesyuarat kali ini.
Beliau meminta bayaran AS$50,000 (RM170,000) daripada seorang tetamu untuk menginap satu malam dan keuntungan daripada caj berkenaan akan diberi kepada persatuan berkenaan.
Beliau berharap dapat bekerja dengan negara membangun untuk membina lebih banyak tandas yang lebih cantik.
Beberapa pihak sudah menunjukkan minat tetapi Sim turut menekankan, dia akan memilih seseorang yang sesuai dengan matlamat kempennya.
Pelawat yang mahu memerhati ke dalam kediaman itu dari luar pula dikenakan bayaran AS$1 (RM3.40). � AP
0 Komentar untuk "Ahli politik Korea bina rumah bentuk tandas"