Melayu mesti berani baiki kemiskinan minda - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Melayu mesti berani baiki kemiskinan minda

Pendapat
ANTARA inti pati penting dalam Perhimpunan Agung UMNO 2007 adalah melibatkan isu ekonomi di samping cara-cara yang sudah dan bakal dilaksanakan bagi menangani kemiskinan orang Melayu sama ada kemiskinan minda dan juga jiwa.

Sehubungan itu, dalam ucapan dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menekankan betapa pentingnya kalangan Melayu mengubah sikap, terutamanya sering berasa rendah diri, merasakan diri mereka kecil, kurang upaya dan sebagainya sejak zaman penjajahan dan kebanyakannya masih bertahan sampai kini.

Sebaliknya apa yang perlu ditekan dan diberi perhatian ialah bagaimana orang Melayu boleh menjadi lebih berani menempuh pelbagai cabaran, meneroka dan menjana kaedah-kaedah baru, dan juga mencari jalan terbaik untuk memperkasa bangsa yang dianggap masih ketinggalan ini.

Oleh itu, orang Melayu digesa supaya bersaing dengan peringkat global jika mahu melonjakkan bangsa ke peringkat dunia berlandaskan cita-cita dan kemahuan yang tinggi untuk mengubah nasib dan persepsi orang asing terhadap Melayu.

Selepas kita mencapai kemerdekaan 50 tahun lepas, apa yang dapat kita lihat sekarang ialah segala macam pembangunan yang berlaku di sekeliling kita. Orang Melayu sudah mampu menjadi ahli korporat, berjawatan tinggi, berpendidikan tinggi dan mempunyai kesedaran untuk memajukan bangsa dan negara.

Garis kasar membasmi saki-baki kemiskinan dan menaik taraf hidup masyarakat kampung dan tempat-tempat lain seperti yang dilakukan dalam wilayah ekonomi perlu dilihat sebagai usaha murni kerajaan dalam usaha menaikkan ekonomi penduduk.

Mereka yang terlibat dalam koridor ekonomi ini sebaik-baiknya merebut peluang untuk sama-sama menjayakannya, dan bukannya melihat dari jauh, mengkritik pelbagai aspek, apatah lagi membiarkan orang lain yang mengaut keuntungan.

Pembangunan modal insan yang dianggap sebagai jalan terbaik membentuk jati diri dan masa depan negara janganlah dipandang mudah. Melayu mestilah merebut peluang dalam pendidikan kerana miskin pendidikan bererti menempah masalah kemudian hari.

Melayu mestilah menyedari pentingnya ilmu bantu walaupun mereka sudah berpendidikan sampai ke peringkat universiti, kolej dan sebagainya kerana pendidikan tidak berakhir di situ sahaja. Pelbagai peluang disediakan oleh kerajaan seperti kursus, seminar dan sebagainya termasuklah dalam usaha melahirkan usahawan dalam pelbagai bidang.

Yang pentingnya juga ialah Melayu mestilah mengamalkan budaya hidup cara positif, tidak terlibat dengan pelbagai masalah sosial yang boleh menjejaskan masa depan mereka. Masalah lepak, penagihan najis dadah, mat rempit, jenayah remaja masih dipegang oleh golongan Melayu. Semua ini memperlihatkan bahawa golongan Melayu masih berdepan dengan pelbagai masalah yang boleh membantutkan usaha kerajaan menaikkan imej bangsa dan juga negara.

Kesimpulannya, Melayu mestilah berani ditegur, dikritik dan menganggap segala bentuk teguran dan kritikan itu bertujuan untuk memperbaiki diri dan masa depan. Janganlah kerana orang mengkritik kita, maka kita menjauhkan diri daripadanya kerana sikap itu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Itulah antara kemiskinan minda dan jiwa kita, sedangkan kemiskinan itu mampu diubah sejak sekian lama.

– M. JASNI MAJED,

Bukit Kapar,

Selangor.

0 Komentar untuk "Melayu mesti berani baiki kemiskinan minda"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI