BUKU teks perlu sentiasa dikemas kini supaya sesuai dengan perkembangan isu semasa serta menepati fakta supaya pelajar tidak menerima maklumat yang salah selama belajar pada peringkat sekolah.
Malah, guru sebagai teraju utama yang menggunakan buku teks dalam pengajaran setiap hari sewajarnya lebih pakar dalam mengenal pasti sebarang kesilapan atau kepincangan yang perlu diperbaiki demi kepentingan pelajar di negara ini.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Aminah Ayob, berkata guru di negara ini terlalu patuh pada arahan dan menerima apa saja yang disajikan kepada mereka bulat-bulat tetapi apabila berasakan ia kurang sesuai, guru akan mengambil sikap mengabaikan apa yang sudah diberi.
Beliau berkata, merujuk kepada isu buku teks yang didakwa kebanyakan guru sebagai tidak membantu dalam meningkatkan kefahaman murid, selama ini guru hanya menerima saja arahan menggunakan buku teks, tetapi kebanyakannya tidak menggunakan buku teks secara optimum apabila berasakan bahannya kurang mantap dan berkesan.
"Sewajarnya guru yang dipertanggungjawab menggunakan bahan terbabit menyuarakan sebarang ketidakpuasan hati serta memberi pandangan untuk meningkatkan kualiti bahan itu manakala kementerian pula perlu mengambil berat semua pandangan guru.
�Apa yang saya perhatikan ketika melakukan pemantauan ke atas beberapa buku teks sebelum ini, boleh dikatakan bahannya terlalu biasa, malah tidak mampu menyaingi kualiti bahan latihan yang disediakan oleh buku lain yang berlambak dijual di pasaran.
"Malah, kualiti buku teks itu sendiri sangat lemah dan faktanya sangat cetek serta ketinggalan zaman. Ia nyata sekali kurang berguna kerana tidak memberi kesan untuk mendatangkan impak dalam mengukuhkan kefahaman pelajar," katanya.
�Kerajaan membelanjakan berjuta ringgit malah mungkin berbilion ringgit bagi membekalkan buku teks kepada pelajar. Perbelanjaan itu akan lebih tinggi tahun depan apabila kerajaan menjanjikan buku teks percuma kepada semua pelajar tanpa mengira pendapatan keluarga.
"Jika guru tidak menggunakan buku teks secara optimum, ia pastinya sesuatu yang amat merugikan dan menjadi pembaziran wang rakyat yang sangat besar. Justeru, kementerian perlu memandang serius perkara ini," katanya.
Mengulas lanjut, tokoh akademik dan sejarah, Profesor Datuk Dr Khoo Kay Kim, pula berkata jika diperhalusi setiap bahagian dalam buku teks terutama subjek sejarah, akan didapati terlalu banyak fakta yang kurang tepat serta tidak diperjelaskan secara terperinci kepada pelajar.
Katanya, sebagai contoh, kebanyakan masyarakat terus beranggapan negara ini dijajah selama 446 tahun sebelum mencapai kemerdekaan pada 1957 sedangkan hakikatnya Tanah Melayu hanya dijajah pada zaman pendudukan Jepun dan ketika zaman Malayan Union.
"Realiti yang tidak disedari masyarakat itu berlaku kerana mereka sudah menerima pelbagai maklumat yang kurang tepat sejak zaman persekolahan malah boleh dikatakan pelajar hanya menghafal fakta tetapi tidak memahami peristiwa.
"Justeru, apabila memasuki universiti didapati kebanyakan pelajar terlalu cetek kefahaman mengenai sejarah malah ada yang tidak ingat langsung apa yang dipelajari kerana selama ini mereka hanya menghafal.
"Contohnya, adakah buku teks menjelaskan secara terperinci apa itu feudal dan imperialis malah penerangan mengenai komunisme juga dibuat secara ringkas," katanya.
Dr Khoo berkata, adalah menjadi kewajipan kementerian memastikan buku teks yang dihasilkan menepati kehendak pendidikan dan mampu membantu memudahkan guru menyampaikan pengajaran, bukan menyusahkan mereka sehingga terpaksa bergelut memberi kefahaman kepada pelajar.
Ketua Panel Penilai buku teks Bahasa Malaysia Tingkatan Empat dan Lima, Profesor Dr Hashim Musa, pula berkata punca utama guru enggan menggunakan buku teks kerana latihannya tidak selari dengan kehendak dalam soalan peperiksaan.
Beliau berkata, bahan yang digunakan juga ketinggalan zaman kerana buku teks yang digunakan kini ditulis pada pertengahan 2000 menyebabkan banyak isunya kurang relevan dengan perkembangan semasa.
"Contohnya, negara kini sudah melangkah setapak lebih maju dalam mengangkat industri pertanian sebagai sektor utama negara melalui pelbagai projek agropolitan, tetapi buku teks masih membincangkan isu teknologi maklumat dan komunikasi yang hanya popular pada ketika ia ditulis.
"Latihan dalam buku teks terlalu umum dan kurang memfokuskan peperiksaan seperti yang dibekalkan buku kerja lain. Sewajarnya buku teks turut menyelitkan analisis peperiksaan untuk lebih menggalakkan penggunaannya.
"Jika Bahagian Buku Teks, Unit Kurikulum dan Lembaga Peperiksaan dapat menyelaraskan perkara ini dan mengambil bahan daripada buku teks untuk peperiksaan, pastinya buku teks akan menjadi aset paling penting di sekolah," katanya.
0 Komentar untuk "Guru, kementerian kena bincang usaha pertingkat kualiti bahan"