KECAM PRESIDEN: Wartawan Pakistan di Islamabad membawa sepanduk membantah sekatan ke atas media. |
Musharraf beri kuasa kepada Mahkamah Tentera bicara kes awam
ISLAMABAD: Presiden Pervez Musharraf meminda undang-undang untuk memberi lebih kuasa kepada mahkamah tentera membicarakan penduduk awam atas pelbagai dakwaan daripada khianat hingga mencetuskan ketegangan, kata pegawai semalam.
Langkah itu dibuat seminggu selepas Musharraf melaksanakan perintah darurat, yang dikatakannya penting untuk memerangi militan Islam. Namun setakat ini, sasaran utamanya adalah pengkritik lantang termasuk media dan badan perundangan bebas.
Beribu penduduk ditahan, berita televisyen diarahkan menghentikan siaran dan hakim dipecat. Berikutan tekanan Amerika Syarikat dan sekutu Barat lain supaya mengembalikan demokrasi, Musharraf juga mengumumkan bahawa pilihan raya akan diadakan sebelum 9 Januari depan tetapi tidak memberitahu bila perintah darurat akan ditamatkan.
Apapun, keputusan meminda Akta Tentera Pakistan disahkan oleh Peguam Negara, Malik Qayyum, - menimbulkan kebimbangan baru. Pindaan itu membolehkan mahkamah tentera membicarakan orang ramai yang dituduh khianat, menghasut atau 'mencetuskan kekecohan.'
Secara teori, ia termasuk pemimpin Parti Rakyat Pakistan (PPP), Benazir Bhutto, yang berkata dia tidak menghiraukan larangan Musharraf daripada mengadakan perhimpunan awam dan mengetuai penyokongnya berarak dari Lahore di timur ke Islamabad Selasa ini.
KETUAI BANTAHAN: Jemima Khan mengetuai protes terhadap perintah darurat di Pakistan di Downing Street , semalam. |
"Apabila orang ramai bergabung, bunyi langkah mereka akan mengatasi bunyi but tentera," katanya selain menyifatkan kerajaan tentera diketuai Musharraf di ambang kejatuhan.
Di LONDON, Jemima Khan, bekas isteri Imran Khan, bekas bintang kriket yang menerjuni politik Pakistan sebagai pemimpin pembangkang, mengetuai satu demonstrasi membabitkan beratus-ratus penduduk menggesa demokrasi dipulihkan di negara itu.
Kekecohan meletus seketika di Whitehall, bangunan kerajaan berdekatan pejabat Perdana Menteri, Gordon Brown, apabila Jemima tiba bersama dua anak lelakinya dan bercakap bagi pihak bekas suaminya.
Penunjuk perasaan kemudian mengibarkan poster Imran Khan memulakan bantahan.
Selepas menyerahkan petisyen di pejabat Brown menggesa supaya Pakistan membebaskan hakim dan ahli politik yang ditahan, Jemima menggesa kerajaan Britain mengenakan lebih banyak tekanan terhadap Musharraf. � AP
0 Komentar untuk "Presiden Pakistan pinda akta kawal keganasan"