Ubat hentikan ‘ketagihan’ ambil pekerja asing - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Ubat hentikan ‘ketagihan’ ambil pekerja asing

Rencana Pengarang
DALAM Perhimpunan Agung UMNO yang berakhir Jumaat lalu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa majikan segera menghentikan ‘ketagihan’ mengambil pekerja asing kerana ia memberi kesan negatif kepada pembangunan negara.

Tindakan majikan mengambil pekerja asing sama ada secara sah atau haram, tanpa mereka sedari menghalang usaha kerajaan untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi di kalangan rakyat tempatan.

Bagaimana teknologi perindustrian dalam pelbagai sektor ekonomi dapat dipindahkan kepada rakyat tempatan jika majikan banyak menggunakan pekerja asing yang mempunyai kemahiran yang rendah.

Adalah sukar cita-cita negara kita hendak mencapai matlamat guna tenaga berasaskan ekonomi pengetahuan jika tenaga pekerja asing yang kurang kemahiran masih menjadi pilihan majikan.

Kita cukup bimbang jika ‘ketagihan’ ini meresap dalam projek-projek di Wilayah Pembangunan Iskandar, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Ekonomi Pantai Timur hingga tujuan asal untuk membantu penduduk tempatan tidak tercapai.

Ini kerana sudah ada tanggapan bahawa penggunaan tenaga asing tidak dapat dielakkan kerana permintaannya dijangka semakin meningkat daripada majikan.

Oleh itu, langkah memperketat prosedur pengambilan pekerja asing diharap tidak sekadar untuk meredakan kebimbangan rakyat.

Kalau semua kerja kosong dalam industri di negara ini mahu menggunakan tenaga pekerja asing, apa akan terjadi kepada tenaga kerja tempatan. Perdana Menteri sudah memberi lampu hijau supaya amalan mengambil pekerja asing untuk semua kerja perlu dihentikan.

Kita tahu muslihat majikan tempatan dan pelabur asing yang cenderung untuk mengambil rakyat asing bekerja dengan mereka.

Perkara ini sudah berlanjutan terlalu lama. Kita perlu cari jalan untuk menghentikan penggantungan kepada buruh asing. Sudah banyak cadangan supaya kita beralih menggunakan mesin dan teknologi tinggi, namun masih kurang sambutan.

Memang pada awal majikan akan mengeluh kerana kosnya tinggi tetapi pada jangka masa panjang ia lebih menjimatkan dan membantu negara mencapai kemajuan.

Ubat untuk merawat sikap ketagihan mengambil pekerja asing sebenarnya ada pada diri para majikan. Jika mereka mempunyai tanggungjawab untuk membina kemajuan negara ini berasaskan ilmu pengetahuan maka mereka perlu hentikan pengambilan buruh asing. Jika berdegil tidak ikut prosedur yang ditetapkan, usah berlembut, kenakan tindakan undang-undang.

Itu sahaja pendekatannya. Apabila majikan kurangkan permintaan maka beransur-ansur akan berkuranglah penawarannya.

Jika tiada permintaan daripada majikan, maka dengan sendiri pekerja asing akan sedar tiada lagi syurga pekerjaan untuk mereka datang ke Malaysia.

0 Komentar untuk "Ubat hentikan ‘ketagihan’ ambil pekerja asing"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI