Wakil hak asasi PBB lawat Myanmar - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Wakil hak asasi PBB lawat Myanmar

YANGON 11 Nov. – Utusan khas hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Paulo Sergio Pinheiro tiba di Myanmar hari ini untuk melakukan lawatan pertamanya dalam tempoh empat tahun.

Misi Pinheiro adalah untuk menyiasat dakwaan pencabulan hak asasi semasa tindakan pihak berkuasa menghancurkan protes prodemokrasi pada September lalu.

Menurut pegawai PBB di Geneva, profesor undang-undang dari Brazil itu telah mengemukakan senarai penjara dan pusat tahanan yang mahu dikunjunginya semasa lawatan lima hari tersebut.

Pinheiro yang lantang mengkritik junta tentera Myanmar tidak mendedahkan butir-butir jadual lawatannya kepada wartawan.

Bagaimanapun seorang diplomat berkata, beliau akan terus pergi ke Bago, 50 kilometer ke utara Yangon dan dijangka melawat sebuah wat Buddha yang menjadi sasaran pihak berkuasa sewaktu bantahan itu.

Seorang pembantu Pinheiro berkata, pihak berkuasa Myanmar telah memperlihatkan “kesediaan untuk bekerjasama.”

Beliau dijadual menyerahkan laporannya kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada sesi akan datang iaitu 10-14 Disember ini tetapi dijangka mengadakan sidang media di Bangkok pada 16 November sejurus selepas lawatannya.

Media rasmi Myanmar melaporkan, 10 orang terbunuh apabila askar dikerahkan untuk menamatkan protes terbesar dalam tempoh 20 tahun itu, sekalipun kerajaan Barat mempercayai angka sebenar jauh lebih besar.

Lawatan Pinheiro bermula dua hari selepas berakhirnya kunjungan utusan khas PBB mengenai Myanmar, Ibrahim Gambari.

Kunjungan kedua Ibrahim ke sini meniupkan harapan junta tentera mungkin bersedia untuk membincangkan pembaharuan politik dengan pemimpin pembangkang yang ditahan, Aung San Suu Kyi.

– Reuters

0 Komentar untuk "Wakil hak asasi PBB lawat Myanmar"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI