Perubahan isi tertakluk kehendak aspirasi negara - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Perubahan isi tertakluk kehendak aspirasi negara

KEMENTERIAN Pelajaran sentiasa bertanggungjawab memastikan buku teks yang dihasilkan berkualiti serta memenuhi kriteria untuk menterjemahkan dan menepati kehendak sukatan pelajaran termasuk huraian sukatan mata pelajaran berkaitan.

Pengarah Bahagian Buku Teks (BBT), Datuk Ab Hamid Md Shah, berkata untuk memastikan kualiti yang digariskan, buku teks perlu dipastikan menepati spesifikasi umum yang ditentukan oleh kementerian serta memastikan kandungan buku teks termasuk aktivitinya mampu menarik perhatian murid dan konsep serta pengetahuan mestilah tepat, terkini.

Beliau berkata, bahan dalam buku teks akan dikemas kini apabila ada perubahan atau semakan semula kurikulum terhadap sesuatu mata pelajaran. Buku teks yang digunakan di sekolah seluruh negara sudah disemak apabila wujud sebarang perubahan terhadap kurikulum.


Katanya, sistem pendidikan di negara ini menggunakan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), manakala buku teks bagi mata pelajaran Sains dan Matematik juga disemak serta dikemaskini lantaran pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

"Ia bermakna tiada satu tempoh tertentu ditetapkan oleh kementerian dalam proses mengemas kini buku teks dan sebarang semakan serta perubahan yang dilaksanakan kementerian adalah bertitik tolak daripada perubahan dasar dan kehendak aspirasi negara.

"Kementerian memilih panel penyemak terdiri daripada golongan pendidik yang mempunyai kepakaran dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran berkaitan selain menggunakan kepakaran pensyarah universiti untuk memantapkan ahli panel," katanya.


Berkaitan kaedah pemilihan penulis, beliau berkata, kementerian mengamalkan perolehan kerajaan melalui kaedah tender, sebut harga dan rundingan terus. Ia bermakna, kementerian tidak memilih penulis sebaliknya tanggungjawab itu dipikul oleh kontraktor atau penerbit yang mengambil bahagian dalam tender ditawarkan kementerian.

Beliau berkata, kontraktor atau penerbit juga bertanggungjawab melantik Jawatankuasa Kawalan Mutu Kandungan Buku Teks bagi memastikan mereka menepati kehendak sukatan pelajaran serta mematuhi garis panduan dan spesifikasi buku teks ditetapkan kementerian.

Selain itu, katanya, kementerian menekankan supaya guru dan murid menggunakan buku teks sebagai sumber utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Namun, bagi tujuan memperkayakan kaedah pengajaran dan pembelajaran, guru serta murid digalak menggunakan bahan atau sumber lain sebagai bahan bacaan tambahan.

Mengenai keluhan ramai guru berkaitan bahan dalam buku teks yang tidak menepati kehendak peperiksaan, katanya, buku teks yang dihasilkan bukan bertujuan untuk menghadapi peperiksaan sebaliknya sebagai sumber ilmu bagi tujuan pembentukan insan berguna yang menepati kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

"Buku teks juga menjadi bahan asas untuk pembelajaran seumur hidup dan pembangunan insan," katanya.

Ab Hamid berkata, kementerian sudah menyediakan peruntukan begitu besar untuk penghasilan buku teks sekolah dan menengah bagi kegunaan guru serta pelajar seluruh negara.

Justeru, guru seharusnya menggunakan buku teks secara optimum supaya guru dan anak didiknya memperoleh manfaat serta kebaikan daripada buku teks.

Malah, sekiranya ada guru tidak menggunakan buku teks, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan 2002).

"Bagi membantu guru dalam meningkatkan penggunaan buku teks secara optimum, kementerian sudah mengadakan taklimat peningkatan penggunaan buku teks KBSR dan KBSM kepada guru mengikut zon.

"Taklimat itu menekankan pendekatan dan strategi bagi meningkatkan penggunaan buku teks secara optimum dalam proses pengajaran dan pembelajaran," katanya.

0 Komentar untuk "Perubahan isi tertakluk kehendak aspirasi negara"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI