Aspirasi: Anugerah penyapu menongkah arus - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Aspirasi: Anugerah penyapu menongkah arus

Bersama Radzi Latif
radzilatif@yahoo.com

TINDAKAN 'kreatif' Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang memperkenalkan hadiah penyapu untuk menilai prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor memakan diri sendiri. Niat Dr Mohamad Khir mungkin baik untuk meningkatkan prestasi PBT dan memberi pengajaran kepada pegawai berkenaan, tetapi disebabkan cara yang cuba diketengahkan tidak sesuai dengan budaya rakyat negara ini, ia dengan spontan menimbulkan polemik.

Sejak berita dan laporan mengenai anugerah penyapu berharga RM3.80 berserta gambar upacara penyerahan anugerah itu disiarkan di muka depan beberapa akhbar, ramai yang membuat ulasan sama ada menerusi media, blog, kedai kopi dan tidak kurang juga menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada rakan yang berbaur negatif.

Kejadian ini berlaku pada Isnin minggu lalu pada majlis anugerah sempena Bulan Kualiti 2007 apabila Dr Mohamad Khir menghadiahkan penyapu kepada Majlis Daerah Hulu Selangor diwakili Yang Dipertuanya, Tukiman Nail dan bekas pegawai daerah Pejabat Tanah Hulu Selangor, Mislan Tugiu yang kini Presiden Majlis Perbandaran Klang, kerana tidak mencapai sasaran 50 peratus kutipan cukai.

Media menjadikan berita dan gambar mengenai peristiwa penganugerahan itu kerana mendapati ia mempunyai unsur luar biasa dan mungkin boleh melariskan akhbar. Jika selama ini anugerah diberikan kepada penerima yang mencapai sesuatu kejayaan, umpamanya anugerah khidmat cemerlang untuk kakitangan perkhidmatan awam, guru yang cemerlang, pelajar yang mendapat keputusan terbaik dan sebagainya, di Selangor ia dilihat menongkah arus.

Isu ini turut dibangkitkan di Parlimen dan pelbagai pertubuhan termasuk kesatuan sekerja didahului Cuepacs memberi pandangan mereka terhadap tindakan kerajaan Selangor itu. Pihak lain yang turut memberi teguran dan pandangan berhubung isu ini ialah golongan ulama yang melihatnya dari segi agama. Mereka mengecam langkah itu dengan menyifatkannya sebagai terlalu hina dan mengaibkan kakitangan awam.

Walaupun tindakan Dr Mohamad Khir turut mendapat sokongan positif, kewajaran 'hukuman' yang diperkenalkannya itu akhirnya dinilai dari segi budaya rakyat Malaysia, khasnya budaya dan kepercayaan orang Melayu. Bagi orang Melayu, penyapu adalah satu alat yang membawa konotasi tidak baik. Bagi sesetengah orang, mereka percaya penyapu membawa sial. Itulah sebabnya, sejak kecil orang Melayu diajar supaya tidak menggunakan penyapu untuk memukul seseorang kerana padahnya akan menyebabkan seseorang itu menjadi 'sial'. Penyapu digunakan untuk menyapu sampah.

Walaupun pada peringkat awal ada usaha untuk mempertahankan tindakannya itu dengan alasan tersendiri, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikan pandangannya, yang juga boleh dianggap sebagai sinis dan sindiran.

Kesannya anugerah itu yang pada awalnya akan diteruskan lagi tahun akan datang, terpaksa dihentikan secara mengejut. Anugerah penyapu itu mungkin boleh dianggap sebagai simbol menyindir untuk memberi pengajaran kepada PBT yang tidak melakukan tugas dengan sempurna, tetapi pada masa sama ia juga membawa aib.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Selangor perlu memikirkan kaedah lain bagi menilai PBT di negeri itu mengikut cara yang tidak menyinggung mana-mana pihak. Jika hendak diperincikan maksudnya, Abdullah mungkin ingin memberitahu kepada Menteri Besar Selangor bahawa cara yang dilakukannya itu tidak sesuai dalam konteks budaya rakyat Malaysia. Ia lebih banyak membawa kepada kelemahan, bukan mengajar.

Banyak cara lain yang boleh difikirkan daripada membuat kejutan yang boleh menimbulkan kesan negatif kepada rakyat. Memandangkan ura-ura pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi, tindakan Dr Mohamad Khir itu adalah sesuatu yang tidak diundang. Apakah perlu mencari masalah sedangkan dalam keadaan hari ini kerajaan perlu mengamalkan sikap bertimbang rasa, bukan mengambil sikap penentangan yang boleh menimbulkan tentangan daripada rakyat.

Perdana Menteri mengakui bahawa sejak isu pemberian anugerah penyapu kepada PBT disiarkan di dalam media, ada dua pandangan wujud di kalangan rakyat. Ada yang menerima dan ada rakyat tidak menerima cara itu.

Yang jelas berita mengenai anugerah itu mendapat tempat di media beberapa negara asing apabila agensi berita yang berada di negara ini memetik berita mengenai anugerah penyapu itu. Bagi media asing yang menyiarkan berita itu, ini adalah berita yang boleh dianggap sebagai berita pesona atau 'human interest' yang biasanya menarik perhatian pembaca.

Apa pun, tindakan Dr Mohamad Khir itu mempunyai banyak implikasi politik dan sosial. Sebab itulah Abdullah tidak terburu-buru dalam menyelesaikan polemik isu penyapu ini. Beliau sendiri menghubungi Dr Mohamad Khir bagi mendapatkan penjelasan bagaimana keputusan pemberian anugerah itu dilakukan.

Beliau diberitahu keputusan itu dibuat dalam mesyuarat dengan pegawai kerajaan negeri. Agak pelik bagaimana pegawai kerajaan membuat keputusan berkenaan dan Dr Mohamad Khir menerima cadangan itu. Sekiranya pegawai kerajaan membuat cadangan itu untuk menimbulkan kebencian terhadap Dr Mohamad Khir, mereka terbukti berjaya. Anugerah itu adalah salah dari segi politik.

Sekarang, terpulanglah kepada Dr Mohamad Khir memikirkan kaedah lain dengan membincangkan perkara itu dengan pegawai kerajaan negeri. Yang jelas, selepas membiarkan perkara itu berlarutan, Dr Mohamad Khir akhirnya terpaksa mengalah. Ia mengubah pendiriannya untuk tidak lagi memberikan penyapu sebagai anugerah kepada PBT yang gagal memperoleh tahap pencapaian minimum tahun depan, sebaliknya mengarahkan pegawai atasan PBT melepaskan jawatan masing-masing dengan bersara awal atau mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS).

Dr Mohamad Khir juga seharusnya berhati-hati dengan cadangan barunya ini. Kerajaan negeri bukanlah syarikat swasta. VSS bukanlah boleh ditawarkan kepada seseorang dengan sewenang-wenangnya. Ia tidak boleh dilaksanakan sesuka hati. VSS hanya dibenarkan atas tujuan tertentu. Melakukannya dengan sesuka hati adalah melanggar peraturan Akta Pekerjaan.

Bagi sesebuah syarikat, VSS dibuat mungkin disebabkan untuk menyelamatkan kewangan syarikat, mengurangkan bilangan pekerja akibat kekurangan permintaan sesuatu barang yang dikeluarkan oleh sesebuah perusahaan, inflasi dan masalah lain yang dibenarkan.

Ada juga syarikat yang memohon untuk mengadakan VSS daripada Kementerian Sumber Manusia untuk memberi hadiah kepada kakitangannya. Sekiranya syarikat berpendapat, ada kalangan pegawainya mempunyai potensi di luar untuk memperbaiki dirinya, mereka akan diberikan VSS terutama selepas memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada syarikat.

VSS mempunyai kaitan dengan undang-undang pekerjaan dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Ia berbeza dengan 'golden handshake' yang diberikan atas persetujuan kedua-dua pihak. Jika penerimanya bersetuju dengan tawaran ganjaran, barulah 'golden handshake' ini boleh dilaksanakan. Sebaliknya, jika ia dibuat secara paksaan, pekerja berkenaan boleh mengambil tindakan undang-undang. Pekerja adalah dilindungi undang-undang dan mereka tidak boleh dianiaya oleh majikan.

Apapun, tindakan memberi ganjaran kepada yang berprestasi baik serta mengenakan 'hukuman' untuk yang kurang berprestasi adalah satu budaya kerja yang diiktiraf dalam ilmu pengurusan. Ia terbukti berjaya meningkatkan prestasi organisasi. Justeru, dalam kita mempertikaikan cara Dr Mohamad Khir bertindak, jangan pula kita lupakan niat baik, keikhlasan dan kejujuran beliau meningkatkan prestasi khidmat awam di Selangor.

Datuk Dr Mohd Radzi Abdul Latif ialah Presiden Yayasan Kajian dan Strategi Melayu (YKSM)
0 Komentar untuk "Aspirasi: Anugerah penyapu menongkah arus"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI