Semua perlu bersiap sedia hadapi banjir - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Semua perlu bersiap sedia hadapi banjir

Oleh M. JASNI MAJED

MUSIM hujan yang tidak menentu sekarang sebenarnya memberi amaran kepada kita bahawa musim tengkujuh dan diikuti dengan banjir akan bermula tidak lama lagi.

Banjir yang berlaku di beberapa tempat di Perlis dan Johor pada awal Syawal lalu memberi petanda bahawa bencana ini mungkin akan berulang lagi seperti mana tahun-tahun lepas.

Banjir besar yang melanda beberapa negeri di selatan tanah air terutamanya di Johor penghujung Disember 2006 dan diikuti banjir kali kedua pertengahan Januari 2007 lalu memang memberi pengalaman pahit bagi mereka yang terlibat.

Sampai kini, ramai yang masih trauma dengan banjir tersebut. Seperti juga banjir kilat, setiap kali hujan turun lebat beberapa jam, mereka yang pernah mengalami banjir tidak senang duduk dibuatnya. Segala dokumen penting, dan jalan untuk menyelamatkan diri sudah ada dalam kepala.

Sejarah bencana alam di negara kita menunjukkan bahawa kekerapan banjir sebenarnya telah memberi segala macam pengalaman. Contohnya, banjir kali kedua di Johor pertengahan Januari lalu menyebabkan 109,000 mangsa telah berpindah.

Bulan Disember 2005, penduduk di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu menghadapi bencana yang sama. Oktober 2003, Kedah dan Pulau Pinang mengalami banjir teruk sehingga kerajaan mengeluarkan RM32 juta sebagai bantuan kepada para pesawah yang kerugian akibat banjir.

Pelbagai bentuk kerugian terpaksa kita hadapi ekoran daripada banjir termasuk kerugian harta benda, rumah, kehilangan nyawa, kesan negatif ke atas ekonomi kerana menjejaskan perniagaan dan kerja, kos baik pulih dan yang pentingnya banjir turut menjejaskan industri pelancongan negara.

Bagi meringankan masalah yang dihadapi oleh mangsa banjir, tentunya kerajaan dan agensi-agensi tertentu sudah merangka pelan masing-masing dalam menghadapi situasi genting banjir.

Pusat Ramalan Cuaca di Jabatan Meteorologi Malaysia sentiasa memantau keadaan cuaca dan memberi amaran kemungkinan hujan lebat, banjir dan sebagainya dan ini perlulah diambil perhatian oleh mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi banjir.

Tindakan paling awal yang dibuat ialah persediaan untuk mengelak kejadian banjir yang serius. Segala longkang, parit dan sungai dibersih serta diperdalam supaya aliran air dapat menuju ke muara dan tidak sangkut di mana-mana sehingga mengakibatkan banjir.

Namun, persediaan ini tidak semestinya dapat mengelak banjir kerana hujan yang lebat dan berterusan selama beberapa hari membuatkan segala longkang, parit dan sungai tidak dapat menampung jumlah air.

Oleh itu, tanggungjawab yang perlu dipikul ialah memastikan penyeliaan semasa banjir diperkemas supaya masalah mangsa banjir dapat diringankan, terutamanya mengelak kerugian dan kehilangan nyawa.

Amaran banjir termasuk proses memindahkan mangsa ke tempat yang selamat perlu dirangka sebaik mungkin supaya mangsa banjir tidak menggelabah sehingga ada yang terperangkap dalam banjir.

Petugas-petugas banjir yang terdiri daripada pelbagai badan sukarela dan kerajaan mesti memperkemas jentera mereka dalam usaha meringankan bebanan mangsa banjir.

Pengalaman lalu semasa banjir besar di Johor dan beberapa tempat lain menunjukkan kepada kita bahawa sikap mangsa turut menjadi masalah dalam usaha memindahkan mangsa.

Ada antara mereka yang enggan berpindah kerana mahu memastikan harta benda mereka tidak musnah dalam banjir. Malah ada antara yang melengah-lengahkan masa untuk berpindah dengan harapan banjir akan surut.

Paling menyedihkan ialah ada antara mereka yang mendakwa harta benda di dalam rumah mereka dicuri semasa mereka berada di pusat pemindahan. Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain amatlah dikesali.

Banjir merupakan satu malapetaka yang tidak boleh kita jangka. Bagaimanapun, usaha-usaha untuk meringankan masalah kesan daripada banjir dapat kita tangani jika semua pihak bekerjasama dan yang lebih penting ialah mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

0 Komentar untuk "Semua perlu bersiap sedia hadapi banjir"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI