Bangladesh mohon bantuan antarabangsa - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Bangladesh mohon bantuan antarabangsa

PATHARGHATA: Bangladesh merayu masyarakat antarabangsa memberi bantuan tambahan untuk membantu mangsa ribut Sidr, ketika pasukan mencari dan menyelamat memperhebatkan gerakan dengan angka kematian rasmi kini meningkat lebih 3,100 orang.

Seorang pegawai kanan kerajaan berkata masih ramai mangsa yang kelaparan dan keletihan belum menerima sebarang bantuan makanan, air bersih, ubat-ubatan dan khemah sementara, berikutan masalah perhubungan.

Angkatan tentera Bangladesh meningkatkan usaha menyelamat untuk membolehkan mereka sampai lebih cepat ke kawasan bencana, manakala helikopter melakukan lebih banyak penerbangan untuk sampai ke kawasan bencana.

Seorang pegawai kanan pusat kawalan yang dibuka Khamis lalu, berkata tentera berjaya tiba di kira-kira 70 peratus daripada kawasan yang terjejas untuk menyampaikan bantuan.

“Kami sangat mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan dan sumbangan tambahan daripada masyarakat antarabangsa untuk membantu mangsa yang kini terdesak. Kami juga sedang berusaha sedaya-upaya untuk membantu mereka,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri Bangladesh.

Kerajaan berkata, bantuan antarabangsa bernilai AS$120 juta (RM406 juta) sudah dijanjikan negara penderma setakat ini, tetapi bantuan segera seperti khemah, beras dan air lambat diterima kebanyakan mangsa ribut terburuk yang pernah melanda Bangladesh dalam tempoh sedekad itu.

Di Patharghata, sebuah bandar perniagaan di Teluk Benggala, lebih 100 wanita berkumpul di sebuah kawasan lapang dengan harapan mendapat bantuan.

“Saya sudah menunggu di sini sejak beberapa jam lalu untuk mendapatkan makanan dan minuman, tapi saya tidak pasti sama ada kami akan menerimanya.

“Sejak tiga hari lalu, saya cuma menerima biskut dan beberapa botol air” kata Safura Begum, 45, seorang ibu yang mempunyai tiga orang anak.

Ribut Sidr melanda pesisir pantai Bangladesh Khamis lalu, menyebabkan berpuluh ribu orang kehilangan kediaman dan kini dalam keadaan amat terdesak untuk mendapatkan bantuan.

Sehingga kelmarin, angka kematian rasmi mencapai 3,113 orang selepas Dhaka menerima laporan dari beberapa kawasan bencana yang sebelum ini terputus hubungan, kata Leftenan Kolonel Main Ullah Chowdhury, jurucakap angkatan tentera yang menyelaraskan semua gerakan mencari dan menyelamat.

Media tempatan melaporkan lebih 4,000 orang mungkin terbunuh, manakala Persatuan Bulan Sabit Merah negara itu berkata angka terakhir kematian mungkin mencapai 10,000 orang. - AP
0 Komentar untuk "Bangladesh mohon bantuan antarabangsa"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI