‘Duch’ ketua penjara kejam ke mahkamah - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

‘Duch’ ketua penjara kejam ke mahkamah


Kaing Guek Eav duduk ketika dalam perbicaraan di Phnom Penh, Kemboja semalam.

PHNOM PENH 20 Nov. – Bekas ketua pusat tahanan terbesar dan paling kejam Khmer Rouge telah dihadapkan ke mahkamah bagi menghadiri perbicaraan yang sekian lama tertangguh.

Duch atau nama sebenarnya, Kaing Guek Eax kelihatan bersahaja ketika dibawa masuk ke mahkamah yang padat hari ini untuk diadakan praperbicaraan dalam menentukan ikat jamin sementara menunggu perbicaraan bermula pada 2008.

Duch, 66, yang didakwa melakukan jenayah kemanusiaan, telah berdiri di kandang saksi dengan memakai baju polo putih selepas dipanggil bagi menyatakan namanya.

Seorang hakim perbicaraan kemudian membaca pertuduhan daripada fail kes: “Di bawah kuasanya, pencabulan yang tidak terkira banyak telah dilakukan termasuk pembunuhan besar-besaran, penahanan tidak sah dan penyeksaan.”

Beratus-ratus wartawan, pemerhati antarabangsa dan rakyat Kemboja berkumpul di perkarangan bangunan tribunal tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang terletak di pinggir Phnom Penh bagi menyaksikan sesi mahkamah ini, selepas tiga dekad rejim Khmer Rouge runtuh.

“Ini amat bersejarah,” kata Sin Khor, 58, yang suami dan dua abangnya telah mati dibunuh semasa pemerintahan Khmer Rouge.

Katanya, seorang daripada abangnya ditembak ala pembunuhan.

“Tiga puluh tahun sudah berlalu tetapi kejadian itu terus hidup,” ujarnya.

Dua lori satelit milik stesen televisyen Kemboja turut diletakkan di luar bangunan mahkamah bagi membolehkan siaran langsung diadakan di seluruh negara.

Sepanjang pemerintahan rejim Khmer Rouge dari 1975-1979 lebih 1.7 juta penduduk Kemboja mati akibat kebuluran, penyakit, kerja berlebihan, pembunuhan dan penderaan.

Bagaimanapun ramai yang khuatir para pemimpin tinggi Khmer Rouge yang masih hidup tidak sempat didakwa seperti Pol Pot yang mati pada 1998.

Duch yang merupakan seorang daripada lima pegawai kanan tertinggi rejim yang ditahan bagi menghadapi tuduhan di tribunal antarabangsa.

Dia didakwa pada Julai lalu atas dakwaan jenayah kemanusiaan kerana peranannya sebagai ketua di penjara Tuol Sleng atau dikenali S-21 di Phnom Penh.

Hampir 16,000 orang wanita dan kanak-kanak ditahan dan diseksa di penjara ini dari 1975-1979 yang kemudiannya dibawa keluar untuk dibunuh. Hanya 14 orang saja tahanan penjara ini yang terselamat.

– AP

0 Komentar untuk "‘Duch’ ketua penjara kejam ke mahkamah"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI