Pendapat
SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) adalah badan bebas dengan pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima anggota dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
Maknanya SPR berperanan berdasarkan kepada tanggungjawab yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.
Sebarang tuduhan dan prasangka terhadap SPR bermakna prasangka jugalah kepada Yang di-Pertuan Agong, Majlis Raja-Raja dan Perlembagaan negara.
Fungsi utama SPR ialah:
Membuat kajian dan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan negeri setiap tidak kurang daripada lapan tahun selepas tarikh siapnya urusan kajian dan persempadanan semula yang terdahulu;
Menjalankan urusan pendaftaran pemilih dan semakan daftar pemilih; dan
Menjalankan pilihan raya umum ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, dan menjalankan pilihan raya kecil sekiranya berlaku kekosongan.
Dasar SPR adalah untuk memelihara, menyelia dan mengekalkan proses demokrasi di negara ini melalui pilihan raya yang bebas dan adil. Memastikan rakyat dapat memilih wakil-wakil mereka melalui undian terus dalam setiap pilihan raya menjadi tanggungjawab SPR.
Untuk memenuhi tanggungjawab dan menjalankan serta melaksanakan keputusan-keputusan suruhanjaya, sebuah urus setia diwujudkan selaras dengan Seksyen 3, Akta Pilihan Raya 1958 (Akta 19).
Urus setia berkenaan diketuai oleh seorang setiausaha (pegawai awam) yang menjadi ketua pegawai pentadbir organisasi berkenaan. Urus setia SPR ini mempunyai 14 pejabat pilihan raya negeri, dengan masing-masing diketuai oleh seorang pengarah pilihan raya negeri, untuk melaksanakan fungsi SPR.
Anggota-anggota pejabat pilihan raya negeri diambil daripada Perkhidmatan Awam Malaysia.
Persoalannya apakah mereka yang mempersoalkan kredibiliti SPR dan tenaga penggeraknya yang memikul amanah Yang di-Pertuan Agong dan Perlembagaan negara faham dengan fungsi pilihan raya sehingga berani menuduh SPR tidak telus?
Secara peribadi saya berpendapat Pengerusi SPR Tan Sri Ab. Rashid Ab. Rahman cukup bertanggungjawab terhadap amanah yang diberikan kepadanya dan berani membuat jaminan dan kesanggupan untuk meletakkan jawatan jika terbukti SPR melakukan penipuan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.
Pastinya jaminan beliau yang boleh dikategorikan sebagai sumpah itu barangkali kerana bosan, kecewa dan merasakan segala usahanya bersama-sama dengan anggota SPR untuk memastikan pilihan raya berjalan dalam keadaan adil dan saksama tidak dihargai.
Nampak sangat berlakunya masalah bila kalah, mula ‘gocoh pengadil’ di kalangan parti-parti politik yang gagal dalam mencapai impian kerana tidak menerima sokongan majoriti.
Walhal bila kalah sepatutnya dimuhasabah kenapa pengundi tidak beri undi, bukannya tuding kepada SPR.
Kalau Ab. Rashid yang cukup berpengalaman dalam SPR meletak jawatan, apa labanya kepada negara dan amalan demokrasi di negara ini.
Apakah orang baru dengan pengalaman baru akan lebih mampu memberi sumbangan yang lebih baik sedangkan untuk matang dan mahir dalam sesuatu perkara, memerlukan banyak pengalaman.
– RAMLI ABDUL HALIM,
Kota Bharu, Kelantan.
0 Komentar untuk "Apa faedah kalau Rashid letak jawatan SPR"