Dunia lupakan keperitan penduduk Gaza - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Dunia lupakan keperitan penduduk Gaza

Oleh ZAINURRASHID ZAINUDDIN

SEMENANJUNG Gaza ialah sebuah wilayah kecil Palestin yang terletak di persisiran pantai di selatan negara tersebut. Gaza yang hanya mempunyai keluasan sebanyak 363 km persegi ini diduduki oleh kira-kira 1.4 juta penduduk, menjadikannya sebagai antara kawasan terpadat di dunia.

Menurut Dr. Mohsein Soleh, Pengarah Institut Zaytounah yang berpusat di Beirut menjelaskan bahawa lebih daripada 800 ribu penduduk Gaza adalah pelarian Palestin yang datang dari kawasan-kawasan yang dijajah Israel sejak tahun 1948 lagi.

Gaza sebagaimana wilayah-wilayah Palestin yang lain ditekan dan dicengkam dengan keganasan Yahudi sejak kira-kira 60 tahun yang lalu, kini terus menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis yang memuncak sejak enam bulan yang lalu.

Sekatan ekonomi, politik, kemanusiaan dan kepungan ketenteraan telah dan sedang dikenakan tanpa rasa belas ihsan dan kemanusiaan yang turut menyeksa wanita, kanak-kanak, orang tua serta pesakit-pesakit yang tenat.

Inflasi yang memuncak dan 80 peratus pengangguran adalah sasaran utama Israel yang realistik sebagai hasil sekatan dan kepungan ketenteraan Israel terhadap Semenanjung Gaza yang terkini, menurut tulisan seorang wartawan Saleh Al Naami. Suasana yang ada sangat sukar diterima akal manusia yang normal dan amat mengharukan buat sesiapa yang prihatin.

Rasa lega jelas terserlah pada air muka Mohamed Al Masri dan isterinya Rania ketika mereka mengekori jururawat yang memindahkan anak sulung mereka, Ahmad 12 tahun, dari dewan bedah di Hospital Dar Al Shifa di Gaza.

Pasukan perubatan akhirnya berjaya melakukan pembedahan terhadap telinga Ahmad demi memulihkan deria pendengarannya, apabila Israel sebelum ini telah menghalang pengimportan gas nitrous oksida.

Gas ini digunakan sebagai bahan bius dan ia adalah keperluan asasi untuk kegunaan pembedahan. Israel telah membenarkan penghantaran gas asasi ini ke hospital-hospital di Semenanjung Gaza hanya sehari sebelum Ahmad dibedah baru-baru ini.

Sekatan terhadap gas nitrous oksida yang diimport ke hospital-hospital di Gaza telah memaksa pihak pentadbiran hospital menutup jabatan-jabatan pembedahan serta menghentikan rawatan pembedahan melainkan rawatan kecemasan sahaja.

Menurut Bassem Naim, Menteri Kesihatan kerajaan Ismail Haniyeh bahawa sekatan pengimportan nitrous oksida oleh Israel boleh berlaku lagi pada bila-bila masa.

“Ada kemungkinan bahawa malapetaka ini boleh berulang lagi, dengan kematian pesakit-pesakit kerana hospital kami tidak boleh melakukan rawatan pembedahan,” ketika menjelaskan isu tersebut kepada akhbar mingguan Al Ahram (akhbar rasmi Mesir).”

Campur tangan antarabangsa sangat diperlukan untuk menghalang bencana ini daripada berlaku lagi.

Krisis kesihatan yang melanda Semenanjung Gaza tidak hanya terhad kepada kehabisan stok nitrous oksida, ia turut menjangkaui kekurangan dan kehabisan pelbagai jenis ubatan yang digunakan untuk pesakit-pesakit kronik.

Dr. Mazen Al Tatar, Pakar Perunding dan Ketua Jabatan Kardiologi di Hospital Dar Al Shifa, hospital terbesar di Semenanjung Gaza menyatakan bahawa sekatan ketenteraan Israel memberikan kesan negatif yang teruk kepada pesakit-pesakit jantung.

Sekatan tersebut menyebabkan terputusnya bekalan ubat utama yang sukar didapati dan juga menyebabkan peralatan perubatan tidak lagi boleh digunakan.

Salah satu tanda yang amat ketara tentang keadaan kesihatan di Semenanjung Gaza yang meruncing ialah apabila Hospital Al Wafa, pusat perubatan yang mengkhususkan rawatan pemulihan terhadap pesakit-pesakit yang menghadapi masalah pergerakan anggota badan terpaksa memberhentikan kebanyakan programnya.

Selain dari rawatan rehabilitasi pergerakan anggota, Hospital Al Wafa juga merupakan satu-satunya pusat rawatan yang merawat pesakit yang menghadapi permasalahan saraf yang disebabkan oleh serangan dan penjajahan ketenteraan Israel di Palestin.

Sekatan ketenteraan yang diikuti oleh pergerakan perdagangan yang merudum di antara Gaza dan dunia luar menyebabkan kenaikan harga barang-barang keperluan. Malahan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza tidak boleh bermimpikan produk yang lain seumpama minuman dalam tin.

Deraan dan penindasan terhadap penduduk Palestin di Gaza sebenarnya akan lebih meruncing nanti. Ehud Barak, Menteri Pertahanan Israel telah meluluskan siri hukuman dan kekejaman yang pelbagai yang bertujuan untuk melemahkan pergerakan perjuangan rakyat Palestin. Antara siri tekanan itu ialah mengurangkan bekalan elektrik ke Gaza. Ini bermakna penduduk Gaza akan berada dalam kegelapan malam serta menggigil kesejukan pada musim sejuk nanti.

Itulah suasana terkini saudara kita di Semenanjung Gaza. Apa sumbangan kita sebagai manusia yang prihatin dan apakah pula tindakan selanjutnya?

* ZAINUR RASHID ZAINUDDIN ialah Perunding Aman Palestin.

0 Komentar untuk "Dunia lupakan keperitan penduduk Gaza"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI