Cubaan dakwa Arroyo gagal lagi - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Cubaan dakwa Arroyo gagal lagi

MANILA 14 Nov. – Dewan Perwakilan Filipina hari ini menolak percubaan terbaru untuk mendakwa Presiden Gloria Macapagal Arroyo berhubung tuduhan rasuah, sekali gus menghapuskan sebarang ancaman untuk menyingkirkan beliau bagi tempoh setahun lagi.

Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan yang dikuasai oleh sekutu Arroyo memutuskan bahawa aduan yang difailkan oleh peguam, Roel Pulido itu “tidak cukup kukuh dan dengan itu ditolak.”

Aduan itu tertumpu kepada dakwaan rasuah membabitkan kontrak telekomunikasi AS$330 juta (RM1.12 bilion) dengan syarikat kerajaan China, ZTE Corp.

Kontrak itu telah dibatalkan berikutan kemarahan orang ramai dengan wujudnya dakwaan rasuah berjuta-juta dolar.

Aduan itu adalah yang ketiga difailkan terhadap Arroyo dalam tempoh tiga tahun.

Di bawah undang-undang tempatan, hanya satu aduan pendakwaan boleh difailkan terhadap seseorang pegawai awam dalam setahun.

Dewan Perwakilan meneruskan prosiding menimbangkan aduan pendakwaan terhadap Arroyo itu sekalipun seorang anggotanya maut dalam letupan bom malam tadi.

Sementara itu di Senat, para Senator memulakan siasatan berhubung satu lagi dakwaan rasuah melibatkan Arroyo.

Arroyo berdepan dengan beberapa skandal rasuah dan tentangan hebat pembangkang sejak 2001 apabila beliau menguasai kepimpinan kerajaan selepas mengetuai pemberontakan “kuasa rakyat” yang menggulingkan Joseph Estrada sebagai Presiden.

Senat yang mempunyai 24 kerusi, dikuasai oleh ahli politik pembangkang, berlainan dengan Dewan Perwakilan yang dimonopoli oleh sekutu Arroyo.

Siasatan awam yang dilancarkan itu adalah mengenai dakwaan bahawa sekutu Arroyo menyogok beberapa ahli Dewan Perwakilan dan gabenor untuk memastikan sokongan terhadap beliau dalam menghadapi beberapa usul pendakwaan baru.

Dakwaan rasuah itu timbul apabila dua gabenor wilayah berkata, mereka masing-masing menerima 500,000 peso (RM38,624) daripada para pegawai tidak dikenali selepas menemui Arroyo di Istana Presiden bulan lepas.

Pejabat Arroyo menafikan pihaknya menghulurkan wang tersebut.

Gabenor Eddie Panlilio memberitahu Senator hari ini, beliau menganggap wang itu bertujuan membiayai projek pembangunan kampung tetapi kemudian menjadi keliru selepas didakwa sebagai rasuah oleh pembangkang.

“Saya tidak tahu apa yang hendak dibuat dengan wang itu,” katanya di Senat dalam sesi yang disiarkan ke seluruh negara.

Sebelum itu, Speaker Dewan Perwakilan, Jose de Venecia berkata, ahli Kongres tidak gentar dengan serangan bom malam tadi dan sebuah jawatankuasa Dewan akan terus mendengar aduan pendakwaan terhadap Arroyo berhubung tuduhan rasuah, penipuan undi dan pencabulan hak asasi manusia.

– Agensi

0 Komentar untuk "Cubaan dakwa Arroyo gagal lagi"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI