Tambang murah RapidKL jejas Metrobus - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Tambang murah RapidKL jejas Metrobus

Oleh Jamhariah Jaafar

ISU antara swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) adalah antara yang hangat diperdebatkan pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu.

Pada perhimpunan agung parti itu, Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam ucapan dasarnya meminta GLC menjuarai usaha membantu meningkatkan kredibiliti syarikat dan individu Bumiputera.

Perdana Menteri berkata, GLC perlu memainkan peranan sebagai pemangkin untuk membolehkan berlakunya proses pemindahan teknologi asing kepada syarikat tempatan dan syarikat Bumiputera dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Disebabkan tiada kes khusus untuk menilai isu yang dialami syarikat Bumiputera yang terpaksa menghadapi saingan serta kerenah GLC, sebuah syarikat pengangkutan, Metrobus Nationwide Sdn Bhd, sebuah syarikat bas yang memiliki 405 bas beroperasi di seluruh Lembah Klang, tampil meminta kerajaan dan Umno melihat krisis yang melanda syarikat Bumiputera terbabit, berikutan mereka kini mengalami kerugian lebih RM3 juta sebulan.

Pengerusi Eksekutif Metrobus, Ahmad Shah Wadood, berkata syarikatnya sudah tidak lagi mampu untuk terus menanggung kerugian dialami sejak lebih 12 bulan lalu, apabila perkhidmatan RapidKL mengenakan tambang jauh lebih murah daripada yang ditetapkan Lembaga Pelesenan dan Kenderaan Perdagangan (LPKP).

"Sejak April lalu, Metrobus mengalami kerugian lebih RM280,000 sehari dan RM3 juta sebulan. Sekiranya, krisis ini tidak ditangani dalam tempoh terdekat ini, kami terpaksa menjual sebahagian daripada 405 bas milik kami sekarang " katanya.

Kemelut mula melanda syarikat pengangkutan swasta apabila LPKP di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mewujudkan dua kadar tambang yang berbeza bagi kelas lesen (perkhidmatan bas berhenti-henti) dan laluan yang sama � iaitu satu kadar untuk syarikat pengangkutan swasta dan satu kadar berbeza untuk RapidKL.

RapidKL yang diuruskan Syarikat Prasarana Negara Berhad, sebuah GLC yang dikawal selia Kementerian Kewangan, dibenarkan beroperasi tanpa sempadan dan sejak April lalu, mula memperkenalkan sistem tambang murah yang tiket harian pada harga RM2 walaupun ia tidak diluluskan LPKP.

"Kadar tambang RapidKL yang tidak sama dengan kadar ditetapkan LPKP kepada semua syarikat bas swasta adalah antara punca kepada kerugian besar ini. Lebih buruk, tiket harian itu boleh bertukar tangan dan penyiasatan dijalankan mendapati ada pihak mengumpul dan menjual semula tiket yang 'dibuang' pada kadar lebih rendah.

"RapidKL turut mengalami kerugian, malahan lebih besar daripada kami. Tapi ia adalah milik kerajaan dan sebarang kerugian tidak menjejaskan perkhidmatan mereka.

"Sebaliknya, syarikat seperti Metrobus terpaksa membayar balik pinjaman berjumlah lebih RM200 juta dan pada tahap kerugian yang kami alami hari ini, tidak mungkin kami dapat melunaskan pinjaman dengan baik," kata Ahmad Shah.

Sebagai perbandingan, kadar tambang syarikat swasta kepada semua laluan di Lembah Klang ialah antara RM 1.50 hingga RM 3 satu hala, berbanding RM2 yang dikenakan RapidKL untuk sehari iaitu tanpa batasan penggunaan.

Ahmad Shah berkata, beliau sudah menulis surat kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan berjumpa Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, meminta beliau menyemak semula kadar tambang yang diluluskan kepada RapidKL.

Jelasnya, keadaan berbeza di Pulau Pinang kerana kadar yang dikenakan Rapid Penang berasaskan 'trip' dan jauh lebih tinggi daripada kadar tambang yang diguna pakai pengusaha bas henti-henti lain di Pulau Pinang dan kesannya pengangkutan bas awam yang dijalankan syarikat swasta di negeri itu terus 'hidup dan maju'.

"Soalan kami ialah kenapa situasi yang berbeza ini berlaku? Adakah layanan istimewa ini dilakukan bagi menyelamatkan syarikat pengangkutan awam bukan Bumiputera dan adakah juga kerana Pulau Pinang diterajui Presiden Gerakan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya merujuk kepada Tan Sri Dr Koh Tsu Koon

Ironinya, pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, wakil Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, menarik perhatian apabila mendakwa ada pemimpin GLC membelakangkan perjuangan membela usahawan Bumiputera, sebaliknya rakus mengaut keuntungan untuk kemewahan sendiri.

"Saya nak cabar GLC... namakan lima usahawan berjaya yang mereka lahirkan... ada ka? GLC, kalau dapat kontrak, depa tubuh anak syarikat, depa balas (kaut) kat dia. Kita dok meleleh air liuq (air liur). Kalau order barang dari luar negara pun, dia balas kat dia lagi.

"Harap perkara ini diberi perhatian kerana kita mahu GLC berjiwa Melayu dan dapat bantu orang Melayu dan bukannya Melayu lemah dalam negara sendiri.

"Hang Tuah pernah berkata, takkan Melayu hilang di dunia. Tapi Melayu yang bagaimana kita nak untuk negara kita, adakah Melayu yang pentingkan diri, tak amanah, yang lemah, yang hina di negara sendiri atau orang Melayu yang akan menjadi layu di tanah pusaka sendiri," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Ketua Pemuda Umno Johor, Razali Ibrahim pula meminta GLC diminta menyediakan satu penanda aras bagi menentukan bilangan sebenar usahawan Bumiputera berjaya yang ingin dilahirkan jika benar-benar ikhlas mahu membantu golongan itu.

Katanya, GLC mempunyai tanggungjawab besar untuk membantu usahawan Bumiputera selaras aspirasi kerajaan untuk memperbesarkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPBB) dan mereka tidak boleh lagi menggunakan pendekatan retorik bagi menjayakan usaha itu, sebaliknya, perlu turun padang bagi mencari usahawan yang berpotensi untuk dibantu.

Ahmad Shah ketika diminta memberi cadangan menegaskan, Metrobus tidak pernah membantah kewujudan RapidKL, cuma meminta mereka dibenar bersaing di atas platform kadar tambang yang sama dan di laluan yang sama.

Mengulas lanjut, pemilik syarikat swasta terbesar di bandar raya Kuala Lumpur ini berkata, Metrobus memiliki 8,000 pekerja dan mempunyai rekod kewangan yang kukuh sehinggalah RapidKL melaksanakan kadar tambang yang tidak mengikut peruntukan LPKP.

"Dengan modal lebih RM200 juta, Metrobus masih menanggung baki hutang pinjaman sebanyak RM32 juta dan bayaran balik RM1.6 juta sebulan. Bermula dengan kadar tambang murah yang diperkenal RapidKL, menyebabkan Metrobus dan semua syarikat bas swasta lain menanggung kerugian besar dan kami terpaksa menjual sebilangan besar dan memberhentikan tenaga pekerja.

"Bagi syarikat bas swasta di Kuala Lumpur, sekiranya krisis ini tidak ditangani segera syarikat Bumiputera seperti Metrobus dan yang lain akan terpaksa memberhentikan operasi dan boleh mengakibatkan kami muflis," kata Ahmad Shah mengenai nasib bakal menimpa syarikat yang dibina sejak 15 tahun lalu.
0 Komentar untuk "Tambang murah RapidKL jejas Metrobus"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI