SAYA bekerja dengan gaji RM950. Notis berhenti adalah selama satu bulan. Saya telah menghantar notis berhenti bertarikh 17 Julai 2007 dan tarikh akhir saya ingin berkhidmat ialah pada 6 Ogos 2007 (tidak cukup satu bulan notis).
Bolehkah majikan saya menolak gaji bulan Julai dengan alasan tidak cukup notis berhenti dan berapa sebenarnya yang akan saya terima?
Majikan dibolehkan oleh peruntukan Seksyen 24(2)(b) Akta Kerja 1955 bagi pekerja yang di bawah skop akta tersebut iaitu mengambil atau menolak daripada gaji pekerja tersebut untuk membayar ganti notis berhenti kerja yang tidak mencukupi sepertimana yang terdapat di dalam surat perjanjian pelantikan jawatan antara pekerja dan majikan.
Baki setelah ditolak gaji bagi menggantikan notis tersebut akan dibayar kepada pekerja tersebut. Bagaimanapun, dari fakta yang diberikan, syarikat berhak menolak sebanyak RM306.45 daripada gaji terakhir anda sebagai bayaran ganti notis yang tidak mencukupi. Jika gaji yang ada tidak mencukupi pekerja tersebut akan diminta untuk membayar baki yang terhutang.
Saya bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan dan bertugas enam hari seminggu serta diberi cuti rehat sehari. Masalahnya adalah apabila saya ditugaskan pada hari cuti rehat, apakah kadar yang sepatutnya dibuat oleh pihak majikan?
Sekarang ini pihak majikan hanya membayar kerja lapan jam pada kadar hari-hari biasa dan yang selebihnya dibayar kerja cuti lebih masa. Apakah kadar lapan jam yang dibayar itu betul atau tidak sedangkan hari itu adalah hari cuti rehat.
Jika anda adalah bergaji bulan, kadar untuk bekerja pada hari rehat adalah sebagaimana Seksyen 60(3)(b) Akta Kerja 1955 iaitu untuk kerja yang tidak melebihi separuh waktu kerja biasa dibayar separuh tetapi tidak melebihi waktu kerja biasa dibayar sehari gaji.
Oleh yang demikian, kadar bayaran yang dibuat oleh syarikat untuk kerja pada hari rehat adalah tidak bercanggah dengan peruntukan undang-undang.
Saya telah memohon cuti tahunan daripada pihak majikan dan telah pun diluluskan. Boleh atau tidak, pada saatsaat akhir, pihak syarikat menarik balik kelulusan yang telah diberikan kepada pekerja.
Jika pekerja yang sedang bercuti (cuti tahunan) dipanggil oleh pihak syarikat untuk bekerja dan dipersetujui pekerja, apakah kadar bayaran yang perlu dibayar oleh pihak syarikat.
Dalam keadaan tertentu majikan boleh menarik balik kelulusan cuti yang telah diberikan kepada pekerja.
Jika pekerja yang sedang bercuti dipanggil balik untuk bekerja kadar bayaran yang ditentukan adalah mengikut kadar bayaran biasa dan cuti pada hari tersebut dianggap tidak diambil dan dimasukkan semula ke dalam baki cuti tahunan.
Hari Sabtu adalah hari cuti rehat tetapi atas arahan ketua, saya dikehendaki bekerja tanpa sebarang bayaran atau cuti ganti. Boleh atau tidak saya mengingkari arahan itu?
Bagaimanakah caranya untuk melaporkan gangguan seksual ketika bertugas. Perkara ini telah dilaporkan kepada ketua tetapi tidak mendapat maklum balas positif.
Jika anda dipanggil bekerja pada hari Sabtu yang merupakan hari rehat anda, maka bayaran untuk bekerja adalah pada kadar lebih masa yang 1.5 kali untuk setiap jam bekerja.
Jika arahan yang diberikan merupakan arahan bekerja yang tidak bertentangan atau menyalahi undang-undang atau mana-mana peraturan anda dinasihatkan supaya mematuhinya kecuali anda mempunyai sebab-sebab yang tertentu seperti sakit dan sebagainya.
Jika gangguan seksual di tempat kerja anda telah anda laporkan kepada ketua jabatan tetapi tidak mendapat apa-apa tindakan dari syarikat maka perkara itu perlu dilapor kepada polis atau Jabatan Tenaga Kerja yang berhampiran.
0 Komentar untuk "Patuhi notis elak pemotongan gaji"