Oleh AMIR SARIFUDIN (WARTAWAN UTUSAN)
|
|
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sering menyatakan ‘Malaysia adalah sebuah negara maritim’. Yang terkini semasa ucapannya pada upacara menamakan Kapal Selam Scorpene pertama Malaysia di Perancis baru-baru ini dan juga semasa majlis pelancaran serta penamaan kapal peronda generasi baru ke-3, Perak (KD Perak apabila ditauliahkan kelak) di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Kenyataan beliau sebenarnya memberi satu impak yang lebih signifikan mengenai peranan kerajaan dalam pembangunan industri maritim yang semakin pesat.
Selain itu, dengan meningkatkan keupayaan negara dalam aspek keselamatan dan juga pertahanan maritim, Malaysia kini dilihat memainkan peranan yang aktif sekali gus menyumbang kepada aspek keselamatan maritim serantau dan antarabangsa.
Sebagai negara maritim, ia bukan sahaja ada kaitan dengan kedudukan geografi Malaysia, terutama sekali hakikat Semenanjung Malaysia dipisahkan dengan Sabah dan Sarawak oleh Laut China Selatan, dan juga keluasan wilayah maritimnya yang hampir dua kali ganda lebih luas berbanding keluasan wilayah daratannya. Bahkan, ia harus dilihat dari berbagai-bagai perspektif seperti sejarah, ekonomi, politik, sosial dan juga keselamatan.
Selat Melaka merupakan salah satu laluan strategik dunia iaitu laluan penting penghubung antara negara-negara di Barat, Asia Barat dan Asia Pasifik. Laluan kapal-kapal dagang telah meletakkan Selat Melaka sebagai jalan penghubung yang sibuk dan digunakan oleh hampir semua negara untuk berdagang.
Kedudukan Malaysia sebagai negara maritim sebenarnya pernah disebut oleh penulis terkenal Portugis satu ketika dulu - berdasarkan pengaruh empayar pemerintahan Kesultanan Melaka. Penulis terkenal, Duarte Barbosa menyatakan: “He who is lord of Malacca, has his hands on the throat of Venice” iaitu, “Sesiapa yang memerintah Melaka, berkuasa terhadap Venice.”
Bayangkan, sejak dahulu lagi, kedudukan strategik kota Melaka boleh dikaitkan dengan nadi kota Venice di Itali. Melaka satu ketika dulu maju dan berkembang disebabkan tarikan perdagangannya ekoran senario keselamatan serta kedudukannya yang strategik menghubungi antara Barat dan Timur.
Tetapi sejarah juga menunjukkan keadaan ini boleh berubah sekiranya kriteria-kriteria tertentu terjejas dan kenyataan ini wajar mengingatkan kita kembali faktor sejarah apabila pengaruh serta kuasa maritim kita pada satu ketika dahulu menurun dan kemudiannya hilang.
Sehubungan itu, kenyataan Timbalan Perdana Menteri bahawa Malaysia sebuah negara maritim adalah sesuatu yang tepat dan wajar direalisasikan. Kenyataan beliau itu, boleh dilihat dari perspektif ekonomi dan keselamatan. Malaysia mempunyai peranan penting bagi menjaga segala khazanah maritimnya, khususnya industri petroleum dan gas serta industri perikanan yang belum lagi diraih potensinya. Pencerobohan nelayan asing dalam perairan negara kita mengakibatkan negara kerugian berbilion ringgit setahun.
Selain laluan perdagangan, negara kita juga banyak bergantung kepada sistem perhubungan telekomunikasi dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melalui talian kabel dasar laut dan tidak lama lagi, tenaga (gas dan juga tenaga elektrik) juga dijangka disalurkan melalui dasar laut.
Strategik
Oleh itu, bayangkan kesannya, jika perairan negara serta aset dan infrastruktur strategik negara tidak dapat dipastikan keselamatannya.
Dalam ucapan Najib semasa majlis pelancaran serta penamaan tersebut, kejayaan Syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) melancarkan kapal ronda generasi baru Perak bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), adalah satu kejayaan besar industri maritim negara.
Pencapaian tersebut juga membuktikan bahawa Malaysia berupaya dalam industri pembinaan kapal perangnya sendiri, khasnya dengan menggunakan tenaga kerja serta sumber tempatan. Ini harus kita rasa bangga bersama.
Yang lebih penting lagi, kejayaan ini diyakini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan keupayaan vendor atau syarikat-syarikat tempatan lain yang mendukung kepada pembangunan industri maritim negara.
Kriteria paling kritikal yang benar-benar boleh menentukan sesuatu kejayaan sesebuah syarikat atau industri adalah integriti iaitu dari aspek pengurusan serta kepimpinannya. Semua faktor yang meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maritim ini secara tidak langsung memerlukan keupayaan tentera lautnya mempunyai satu angkatan yang berwibawa bagi memastikan kedaulatan wilayah maritim serta khazanah negara sentiasa terpelihara.
Kepulauan, stesen-stesen luar pantai serta ratusan pelantar minyak yang merupakan aset strategik negara dan bernilai berbilion ringgit termasuk perairan wilayah negara 12 batu nautika sekelilingnya perlu sentiasa selamat dan terpelihara.
Selain itu, isu keselamatan maritim ekoran tuntutan bertindih antara beberapa negara jiran seperti di Selat Melaka, di perairan Johor, di perairan Gugusan Semarang Peninjau (Spratlys), di perairan Sulawesi dan juga ancaman penyusupan melalui Laut Sulu oleh kumpulan militan Abu Sayaf sentiasa menjadi cabaran yang harus ditangani secara teliti.
Isu-isu keselamatan bukan ketenteraan akibat kegiatan jenayah di laut dan transnasional seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin juga perlu ditangani secara cekap. Di samping itu, berdasarkan statistik, lebih 90 peratus perdagangan antarabangsa Malaysia pada masa ini dikendalikan melalui jalan laut.
Oleh itu, keadaan ini sudah cukup menunjukkan betapa pentingnya keupayaan pertahanan, pengawasan dan juga penguatkuasaan wilayah lautnya diberi perhatian serta keutamaan bagi memastikan Malaysia terus kekal sebagai negara maritim berdaulat.
Selain TLDM dan agensi penguatkuasaan seperti polis marin, kastam, imigresen, Jabatan Perikanan, kerajaan kini telah menubuhkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mengukuhkan keupayaan mengawal persisiran pantai serta perairan negara yang begitu luas.
Di samping itu tahap kesiapsiagaan asetaset agensi penguat kuasa sedia ada turut dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Paling terbaru ialah apabila Malaysia membeli kapal selam jenis Scorpene, yang kini dalam proses pembinaan dan hampir siap, sebelum diserahkan kepada TLDM.
Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ramlan Mohamed Ali ketika diwawancara berkata, kesungguhan Malaysia memastikan keselamatan maritim serantau secara tidak langsung menjawab segala keresahan pihak-pihak luar. Beliau mengakui sebelum ini terdapat pihak asing yang cuba mempersoalkan pendirian serta keupayaan Malaysia terhadap mengawal keselamatan perairan wilayahnya terutama di Selat Melaka.
“Kita sedar bahawa banyak negara asing yang menggunakan laluan Selat Melaka selain Laut China Selatan. Malah negara-negara tertentu seperti China dan Jepun sentiasa bergantung kepada laluan laut bagi perdagangan mereka.
“Kita masih ingat tidak lama dahulu mengenai isu keselamatan maritim di Selat Melaka hinggakan terdapat kuasa-kuasa besar cuba menghantar kapal perang mereka untuk meronda serta mengiringi kapal-kapal dagang mereka apabila ia melalui perairan Selat Melaka, seolah-olah ia tidak selamat.
“Dari perspektif politik, persepsi negatif terhadap tahap keselamatan perairan selat tersebut pada ketika itu secara langsung telah memberi tekanan kepada Malaysia dan juga negara pesisir seperti Indonesia dan Singapura untuk bertindak secara positif bagi menangani persepsi tersebut.
“Dalam hal ini, Malaysia sebagai sebuah negara maritim sedar betapa pentingnya keselamatan perairan serantau bukan sahaja kepada rakyatnya, malah masyarakat antarabangsa, khasnya komuniti maritim serta para pengguna asing,” katanya.
Tambahnya, sebab itu Malaysia sentiasa memastikan keselamatan terhadap laluan perairan negara sentiasa terjamin, tetapi tugas serta peranan ini merupakan satu cabaran yang besar oleh kerana banyak aset TLDM telah melewati usia atau usang.
“Oleh itu, kita sentiasa meningkatkan kemampuan melalui perancangan pembangunan termasuk perolehan aset baru bagi menggantikan yang telah usang tertakluk kepada kemampuan kerajaan, selain mengukuhkan kerjasama dan latihan ketenteraan bersama dengan negara-negara serantau yang secara tidak langsung memupuk serta mengukuhkan keyakinan dalam perhubungan antarabangsa,” tegas beliau.
Menurut Ramlan, Malaysia amat bertuah dan harus bersyukur kerana sebagai sebuah negara maritim, Malaysia telah memberi banyak manfaat dan juga peluang dari aspek kekayaan dan kesejahteraan rakyat negara ini.
Dalam konteks keselamatan dan pertahanan maritim negara, ia tidak seharusnya dilihat kepada pembangunan keupayaan TLDM sahaja, sebaliknya dilihat secara bersepadu merangkumi keupayaan ketiga-tiga perkhidmatan ATM khasnya TUDM dan juga agensiagensi penguatkuasaan maritim yang lain, terutama sekali APMM.
Pada masa sama, sebagai negara maritim, Malaysia meraih banyak manfaat dari aspek ekonomi, bahkan pelbagai perspektif lain, dan semua ini perlu dioptimumkan oleh semua pihak.
Bagaimanapun, sebagai sebuah negara maritim yang merdeka serta berdaulat, Malaysia terpaksa menghadapi berbagai-bagai jenis cabaran serta risiko ancaman yang boleh menggugat keselamatan serta kesejahteraan rakyat dalam kita mempertahankan kepentingan negara tercinta.
Oleh demikian, kesedaran masyarakat terhadap Malaysia sebagai negara maritim, serta manfaat potensi yang seharusnya dioptimumkan bersama, harus dipupuk semula.
Contohnya, lebih banyak lagi nelayan serta masyarakat digalakkan menerokai industri perikanan laut dalam yang lumayan tetapi memerlukan perubahan minda, budaya kerja serta kecekalan hati.
Pada masa sama juga, masyarakat Malaysia juga perlu ditingkatkan kesedaran mengenai peluang yang harus diambil sebagai rakyat negara maritim, khasnya dari aspek sosioekonomi dan alam sekitar.
0 Komentar untuk "Cabaran, peluang negara maritim"