SAMBUTAN MERIAH: Imran dijulang pelajar universiti di Lahore sebelum ditahan polis semalam. |
Dituduh terbabit keganasan sertai bantahan anti-Musharraf oleh pelajar
LAHORE: Legenda kriket Pakistan, Imran Khan, ditahan polis semalam selepas beliau keluar dari persembunyian untuk menyertai perhimpunan menentang perintah darurat yang dilaksanakan Presiden Pervez Musharraf, kata polis.
Mereka berkata, Imran yang juga tokoh pembangkang, akan dikenakan tahanan dalam rumah selari dengan arahan penahanan dikeluarkan minggu lalu selepas Musharraf mengisytiharkan darurat.
Tampil buat kali pertama sejak berjaya melepasi jaring yang dipasang di sekeliling rumahnya minggu lalu, Khan cuba menyertai demonstrasi di kampus universiti di Lahore.
Di tengah-tengah kekecohan, Imran dijulang oleh penunjuk perasaan dan kemudian ditolak masuk ke dalam sebuah bangunan oleh orang ramai, kata saksi. Beratus-ratus polis pencegah rusuhan mengepung kampus itu.
Tidak sampai sejam kemudian, Imran ditolak keluar pula, diiringi berpuluh-puluh orang dan masuk ke dalam sebuah van, kata wartawan AFP yang menyaksikan kejadian itu.
"Beliau berada dalam tahanan polis. Terdapat arahan penahanan dikeluarkan terhadapnya. Imran dikenakan tahanan dalam rumah," kata pegawai kanan polis Lahore, Khalid Batti.
Di bandar raya itu, bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto, meneruskan retorik menentang Musharraf dengan siri panggilan telefon kepada Imran, parti bekas Perdana Menteri dalam buangan yang pernah menjadi seterunya, Nawaz Sharif, malah kepada golongan konservatif Islam yang satu ketika dulu diketepikannya.
"Semuanya sudah berakhir dengan Musharraf. Saya mahu menubuhkan sekutu, agenda satu hala untuk mengembalikan demokrasi," katanya.
Menariknya, ramai pihak termasuk Nawaz memberikan reaksi positif kepada hubungan mereka dengan Benazir.
Sementara itu, stesen televisyen Sky News semalam melaporkan Musharraf mempertimbangkan untuk meletak jawatan dalam satu temubual.
Wartawan Sky News yang baru kembali dari mengadakan temubual itu berkata, Musharraf memberitahu dia berasa dikecewakan oleh Barat dan dikhianati media serta menegaskan: "Saya bukan diktator. Saya mahukan demokrasi. Pada hari tiada lagi kekecohan di Pakistan, saya akan meletak jawatan." � AFP/Reuters
0 Komentar untuk "Imran Khan kena tahan"