Pantau lebih dekat, elak kes berulang - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Pantau lebih dekat, elak kes berulang

Rencana Pengarang
MASYARAKAT kini kembali membincangkan mutu kerja kontraktor dan pegawai yang meluluskan pelan dan pemantauan bangunan ekoran bangunan milik Perbadanan Taman Negeri Perak di Tasik Banding ranap sama sekali dalam kejadian kelmarin.

Selepas ini, banyak hujah dan kritikan dilemparkan kepada pihak-pihak tertentu yang terbabit dengan projek bernilai jutaan ringgit itu.

Masalah yang berlaku ini akan menimbulkan kemarahan masyarakat kerana wang negara dibazirkan untuk kerja yang tidak bermutu dan mengancam keselamatan orang ramai.

Dengan ranapnya bangunan yang menjadi pusat pentadbiran Taman Negeri Royal Belum itu bermakna satu lagi projek kerajaan yang jelas tidak dibuat pemantauan teliti.

Orang ramai mungkin mempersoalkan kontraktor yang diamanahkan menyiapkan projek ini.

Bagaimana pembinaan yang hampir siap itu hendak dianggap mengikut spesifikasi, ikut pelan arkitek, ada penyelia projek dengan segala macam kepakaran, dan kemajuan projek diluluskan dari satu tahap ke tahap seterusnya, tiba-tiba ranap?

Kini Kerajaan Negeri Perak perlu menyiasat secara terperinci bagi mengenal pasti punca bangunan dua tingkat itu runtuh dan ranap sama sekali.

Jika spesifikasi pembinaannya tidak mengikut pelan, mengapa jurutera yang dilantik tidak menghentikannya di peringkat awal.

Kejadian ini sudah tentu mencalarkan sedikit imej kerajaan ketika pelbagai strategi untuk memajukan negara dilancarkan.

Mujur bangunan yang hampir siap itu runtuh tanpa mengorbankan nyawa. Bayangkan jika ia runtuh setelah beberapa hari diserahkan untuk digunakan orang ramai.

Nampaknya bukan sekali dua projek yang memberi imej tidak baik kepada kerajaan telah dilakukan oleh sesetengah kontraktor.

Dan budaya menyelenggara projek kerajaan yang lemah oleh kontraktor harus dibayar dengan kos yang dijangka meningkat untuk membaik pulihnya. Kita gesa kos tersebut harus ditanggung sendiri oleh kontraktor terbabit.

Kerajaan sepatutnya sedar kelemahan kontraktor yang terlibat dari awal lagi memandangkan ini bukan isu baru malah telah lama diperkatakan.

Kejadian bangunan runtuh di kawasan pedalaman ini tetap mengimbas kenangan kita pada tragedi runtuhan kondominium Highland Towers pada 11 Disember 1993 dan beberapa siri kejadian tanah runtuh yang lain. Ekoran daripada itu, pelbagai cadangan dan undang-undang digubal bagi menangani projek pembangunan di lereng bukit atau tanah tinggi.

Adakah semua yang digubal dulu, tidak perlu dipatuhi dan boleh dilupakan? Sekarang terserah pada kerajaan sama ada kita mahu menanganinya dengan tegas atau membiarkan isu ini berlalu begitu sahaja dan berulang lagi.

0 Komentar untuk "Pantau lebih dekat, elak kes berulang"

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI