Anjing isu khilaf, umat Islam bebas ikut Syafi’i atau Maliki, kata cucu bekas mufti - AHMAD PAZIL BIN MD ISA

AHMAD PAZIL BIN MD ISA

BERITA INFORMASI TERKINI

Facebook

Anjing isu khilaf, umat Islam bebas ikut Syafi’i atau Maliki, kata cucu bekas mufti

Cucu kepada bekas mufti Kelantan Nik Abdul Aziz Nik Hassan berkata apabila timbul dua pandangan berbeza, sepatutnya umat Islam dibenarkan bertaklid. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Raiezal, 2 November, 2014.

Umat Islam di Malaysia tidak perlu taksub kepada pegangan Imam Syafi'i semata-mata, mendakwa jilatan anjing ialah najis, tetapi perlu melihat isu itu dalam kerangka yang lebih luas, kata seorang cucu kepada bekas mufti Kelantan.

Nik Abdul Aziz Nik Hassan berkata, soal jilatan anjing ialah khilafiah (isu yang mempunyai perbezaan pendapat di kalangan ulama), maka umat Islam diberi kebebasan merujuk hukumnya sama ada kepada mazhab Syafi'i atau Maliki.

"Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpegang kepada mazhab Syafi'i. Bagi Syafi'i, jilatan anjing dan anjing itu sendiri adalah najis. Bagi Imam Malik tidak begitu. Ia sangat jelas.

"Imam Malik merupakan guru kepada Syafi'i. Dalam konteks itu, ada perbezaan pendapat," kata cucu kepada mufti Kelantan pada 1908, Wan Musa Abdul Samad, kepada The Malaysian Insider.
“Bagi mazhab Maliki, air liur, peluh dan anjing itu sendiri tidak najis. Pendapat yang masyhur dalam pandangan Malikiah begitu. Bila timbul dua pandangan berbeza, sepatutnya kita dibenarkan bertaklid.

"Inilah yang saya rasa pelik mengapa soal ini timbul masalah. Lainlah jika semua mazhab berpendapat anjing itu najis," katanya dalam satu wawancara.

(Taklid ialah salah satu sumber hukum yang dibenarkan dalam agama Islam, iaitu dengan berpegang pada pendapat ahli hukum yang muktabar.)

Aziz berkata isu jilatan anjing tidak perlu diperbesarkan di Malaysia kerana ia memperlihatkan kedangkalan ilmu masyarakat Islam dalam soal khilafiah.

Katanya, isu berkenaan sudah pun dibahaskan secara mendalam di Kelantan pada 1937 yang akhirnya Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Muhammad IV menyerahkan kepada rakyat untuk berpegang kepada mana-mana pegangan mazhab.

Polemik mengenai jilatan anjing sudah bermula sejak 1936 apabila Raja Kelantan, Tengku Ibrahim ibni Sultan Muhammad IV meminta pandangan ulama muda Nik Abdullah Wan Musa berhubung hasrat baginda memelihara anjing.

Nik Abdullah memberi sudut pandang mazhab Syafi'i dan Maliki kepada baginda selain menerangkan jika terdapat lebih dari satu pandangan, umat Islam dibolehkan beramal dengan mana-mana pandangan tersebut.

Aziz berkata Tengku Ibrahim gemar membela anjing dan Nik Abdullah sendiri pernah menasihati baginda untuk berpegang kepada pandangan mazhab Maliki bagi membolehkan baginda menunaikan solat lima waktu.

Katanya, umat Islam tidak harus taksub berpegang kepada mazhab tertentu kerana keempat-empat mazhab iaitu Syafi'i, Maliki, Hanafi dan Hambali kesemuanya berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Pada prinsip asalnya, zaman Nabi Muhammad dan sahabat, tidak ada soal mazhab. Soal mazhab ini 200 tahun selepas kewafatan Rasulullah.

“Jika kita lihat kepada jiwa Imam Syafi'i sendiri, beliau pernah berkata sekiranya kita bertemu fakta lebih kuat dari apa yang dikatakan, ikutlah. Beliau sendiri pun tidak minta kita bertaklid kepadanya.

“Malah, apabila beliau ke makam Imam Abu Hanifah, bagi memberi penghormatan, beliau melaksanakan ibadah mengikut apa yang dikehendaki Imam Abu Hanifah,” kata Aziz kepada The Malaysian Insider.

Bekas ketua Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan di Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, umat Islam di Malaysia tidak sepenuhnya berpegang kepada mazhab Syafi'i apabila terdapat amalan yang merujuk kepada mazhab lain.

Contohnya, umat Islam di Malaysia secara lazimnya menunaikan zakat fitrah mengikut panduan mazhab Hanafi apabila membayar zakat berkenaan menggunakan wang ringgit.

“Dalam soal zakat fitrah, kita ikut mazhab Hanafi, bayar dengan wang, bukan dengan makanan asasi. Kalau makanan asasi itu, prinsipnya berdasarkan Syafi'i. Kita sudah terkeluar di situ.

"Apakah dalam soal anjing, kita tidak boleh ambil pandangan Imam Malik? Inilah yang dibahaskan di Kelantan dahulu. Pandangan setiap mazhab tidak mutlak. Bila ijtihad, tidak mutlak. Boleh jadi betul, boleh jadi salah.

"Saya bukan hendak ingkar ulama tetapi apabila ada pandangan yang berbeza antara dua ulama, ikutlah mana satu yang kita mahu ikut,” katanya.

Aziz, 67, berkata tidak menjadi masalah umat Islam di Malaysia berpegang kepada mazhab Syafi'i namun perlu ada kelonggaran merujuk kepada mazhab lain.

Katanya, Nabi Muhammad sendiri pernah bersabda menuntut mereka yang pakar dalam agama berijtihad kerana jika ia benar, akan mendapat dua pahala dan jika salah, masih mendapat satu pahala.

“Tidak menjadi masalah kita orang awam mengenal fiqah Islam melalui Imam Syafi'i, tetapi ulama mesti membebaskan pemikiran mereka dari imam besar ini.

“Mereka boleh bertaklid kepada metodologi yang dikemukakan imam besar tersebut, kemudian keluarkan pandangan sendiri berasaskan Al-Quran, hadis dan lain-lain cara ijtihad."

Ini berbeza dengan orang awam katanya, kerana mereka tidak ada kemampuan merujuk Al-Quran dan hadis berpandukan metodologi sebenar seperti dengan mengenalpasti kesahihan hadis dan memahami maksud di sebalik hadis. – 2 November, 2014.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/anjing-isu-khilaf-umat-islam-bebas-ikut-syafii-atau-maliki-kata-cucu-bekas#sthash.vkHISvio.dpuf
0 Komentar untuk "Anjing isu khilaf, umat Islam bebas ikut Syafi’i atau Maliki, kata cucu bekas mufti "

ISU SEMASA

LIKE FACEBOOK

Networkedblogs

Popular Posts

BERITA HARI INI